Catatan Pencinta Kopi – Aku Berhenti Kerja

Oleh Ananimos

Aku akan mencapai usia 50-an dalam masa beberapa bulan, jika diizinkan Allah SWT. Ketika Covid melanda negara, aku berhenti kerja. Aku tinggalkan pendapatan besar dan menganggapnya bukan lagi rezeki untuk perjalanan hidup aku yang seterusnya. Aku reda. Adalah sebab-sebabnya aku mengundurkan diri.

Tidak mudah untuk aku melepaskan; gusarnya hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Namun, natijah daripada keputusan itu membuatkan keyakinan aku kepada Allah, Al-Khaliq, mengukuh dan menebal. Episod ini membawa aku memohon perlindungan dan pertolongan sungguh-sungguh hanya daripada-Nya. Keputusan yang aku buat ini walaupun kelihatan berat dan sememangnya berat, hati aku terasa mudah, lapang dan tepat. Ironi. Tetapi aku percaya, inilah qada’-Nya untuk aku.  

Dahulu, segala yang aku hajat, aku beli sahaja. Apa yang nak berkira-kira, duit aku kan ada. Makan tidak kira harga, tak sedap tidak perlu gusar, tinggalkan saja. Namun, kekurangan pendapatan membuatkan aku berfikir tentang setiap keputusan yang aku buat dalam hidup. Sekarang, setiap kali berbelanja, akan aku tanya Do I need to buy this? Banyak masa jawapannya ialah tak perlu, tak perlu, tak perlu.  Dan lama-kelamaan berbelanja itu menjadi sesuatu yang berasaskan keperluan, bukan keinginan. 

Sesungguhnya Allah SWT memberi rezeki yang mencukupi untuk kehidupan manusia; yang membuat tidak cukup ialah keinginan manusia itu sendiri. Nafsu-nafsi.

Sekarang, kasut dibeli hanya bila kasut lama sudah rosak. Baju yang lama-lama sebenarnya belum tercapai pun ROInya (return on investment). Beli baju mahal, pakai hanya dua tiga kali, ini antara sikap kita sendiri yang zalim. Beli barang-barang berjenama hanya untuk dilihat orang yang kita ini berduit. Apa salahnya repair berbanding beli baru? Aku tidak mahu menjadi manusia kufur nikmat, cukup-cukuplah.

Sekarang, setiap pembelian amat bermakna bagi aku, hati ini lebih mensyukuri setiap benda yang Allah SWT kurniakan, waima sekeping roti. Perubahan paradigma, melihat semua pemberian datangnya dari Allah yang Maha Pemurah, tanpanya, aku ini tiada apa-apa, kedana.

Cara aku melayan makanan juga berbeza. Sekarang tidak sewenang-wenangnya aku tinggalkan makanan yang aku tidak gemar. Tidak sesuka hati membeli makanan berharga tinggi hanya kerana aku ‘teringin’ merasainya. 

Kekurangan pendapatan menjadikan aku menghargai pemberian Allah SWT kepada aku ini dan aku sedar yang selama ini terlalu banyak berkat yang Allah SWT kurniakan kepadaku. Mana syukurku??? Bertahun-tahun menikmati segala, syukur aku di mana? Tamparan ini membuat aku taubat, sujud kepada Dia, tidak putus-putus memohon keampunan-Nya, semoga Allah SWT, Al-Ghaffar, menerima taubat hamba-Nya yang kerdil ini. 

Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).”

(Saba’ 34:36)

Peristiwa aku meninggalkan kerjaya bergaji tinggi mengajar aku tentang kehidupan yang lebih bermakna. Kekurangan pendapatan menjadikan aku edit semula gaya hidup, edit keutamaan dalam hidup aku. Kekurangan pendapatan menjadikan aku manusia yang lebih bersyukur, mencari redaNya dan bukan mengejar dunia. 

فَإِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًا     

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

إِنَّ مَعَ ٱلْعُسْرِ يُسْرًۭ

(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

(Ash-Syarh 94: 5-6)

“Dan bersikap redhalah dengan apa yang telah dibahagikan oleh Allah kepada kamu, maka kamu akan menjadi orang yang paling kaya,” 

(HR Al-Tirmizi)

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑