Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam naungan Allah SWT. Khatib mengingatkan para jemaah agar memberi sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara-perkara yang lagha seperti menggunakan telefon dan berbual-bual. Tumpukan perhatian pada khutbah yang akan disampaikan, mudah-mudahan kita semua mendapat hidayah dan taufiq dari Allah SWT.
Khutbah pada hari ini bertajuk: “Mengenang Jasa Pahlawan”.
Sebelum itu, khatib ingin mengingatkan sidang jemaah sekalian agar terus istiqamah mengimarahkan masjid, surau untuk solat berjemaah dan menghadiri majlis-majlis ilmu, serta saling berpesan antara satu sama lain dalam usaha menyeru melakukan kebaikan dan memberi peringatan dalam mencegah sebarang bentuk kemungkaran.
Demi keharmonian negara tercinta ini, khatib juga ingin berpesan kepada seluruh umat Islam, agar sentiasa berhati-hati dengan setiap pertuturan dan tindakan yang boleh menjerumuskan diri sendiri dan orang lain ke lembah kekufuran dan kefasiqan. Janganlah kita memperalatkan agama Islam, menipu dan memfitnah demi mencapai kepentingan sendiri lebih-lebih lagi dalam menghadapi kepelbagaian pandangan dan pendapat yang ada di negara kita.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Setiap kali tibanya Hari Pahlawan, kita akan mengenang kembali sejarah perjuangan para pahlawan tanah air yang memperjuangkan kemerdekaan negara daripada cengkaman penjajah. Antara nikmat terbesar yang kita kecapi hari ini ialah nikmat keamanan dan hidup dalam suasana tenteram dan sejahtera. Keamanan yang kita nikmati hari ini pastinya telah menempuhi satu perjalanan yang panjang dan perih.
Berkat wasilah perjuangan para perajurit memastikan kita dapat menikmati keamanan dan hidup tenteram di negara yang berdaulat. Tidak sedikit darah dan keringat yang tertumpah oleh para perajurit negara yang terdiri daripada tentera, polis, dan badan beruniform lain yang bermati-matian mempertahankan dan membebaskan negara dari cengkaman kuasa luar. Tidak lupa juga kepada para ulama yang membangkitkan semangat perjuangan dan kepahlawanan dalam usaha menentang penjajahan. Perjuangan mereka diiktiraf dalam Islam dalam konteks berjuang mempertahankan negara.
Maka, atas dasar itu, pada tahun 1960, negara memilih tarikh 31 Julai bagi mengenang, menghargai dan meraikan para perajurit yang telah banyak berkorban demi tanah air tercinta dengan mengadakan sambutan Hari Pahlawan.
Sikap menghargai orang lain dan berterima kasih kepada manusia merupakan antara ajaran yang terkandung dalam Islam. Ia menjadi kayu ukur sama ada seseorang itu mensyukuri nikmat Allah SWT atau tidak. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
“Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia”. (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Pahlawan, merujuk kepada definisinya ialah orang yang gagah dan berani, pejuang yang gagah dan perwira yang ditakuti. Jasa para pahlawan negara seharusnya sentiasa dikenang dan dihargai kerana perjuangan dan pengorbanan mereka sama ada sebelum merdeka mahupun pasca merdeka, telah mencipta ketamadunan negara kepada bumi bertuah ini yang terus menjadi titik tolak bagi permulaan dalam kandungan sejarah negara.
Dengan izin Allah SWT jua, segala pengorbanan yang mereka lakukan itu telah memastikan kita dapat hidup aman dan tenteram serta menjalani kehidupan dengan harmoni tanpa rasa takut atau rasa terancam.
Para pahlawan negara telah mewariskan negara ini kepada kita untuk dijaga dengan baik. Maka, sebagai generasi hari ini, menjadi tanggungjawab kita pula untuk memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara dari diusik oleh mana-mana anasir luar yang berniat menghancurkan negara.
Seluruh rakyat juga diingatkan supaya tidak mengamalkan sikap individualistik dan eksklusif yang terarah kepada pengumpulan harta kekayaan dan keuntungan peribadi. Negara ini perlu dibina dan dipelihara bersama-sama oleh setiap lapisan masyarakat. Para pemimpin bertanggungjawab menyatukan rakyat tanpa melihat perbezaan, manakala seluruh rakyat pula perlu menyahut dan mendokong usaha tersebut. Sebarang usaha provokasi dan pemecah belah masyarakat perlu dihindari dan ditepis dengan bijaksana.
Bagi kita umat Islam, kita beriman bahawa segala sesuatu yang kita miliki ini semuanya berasal dari Allah SWT dan kita sangat mengharap kepada Allah SWT agar kedaulatan negara kita akan kekal dalam rahmat dan keberkatan-Nya.
Maka tidak dapat tidak, hendaknya kita sentiasa menjalankan segala perintah Allah SWT seperti solat fardhu, zakat, puasa dan sebagainya dan menjauhi larangan-Nya seperti meminum arak, pergaulan bebas, zina, rasuah dan sebagainya serta sentiasa melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar bagi memastikan rahmat dan berkat Allah SWT sentiasa mendampingi kesejahteraan negara ini.
Firman Allah SWT yang maksudnya:
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”.
(Surah Ali Imraan ayat 169)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Para pemuda khususnya perlu dipersiapkan mental dan fizikal mereka sesuai dengan bidang kepakaran masing-masing supaya dengan itu, negara dapat dibangunkan seimbang dari segenap segi tanpa mencicirkan satu sudut sekalipun.
Dalam Surah al-Anfal ayat 60, Allah SWT memerintahkan supaya dipersiapkan kelengkapan peperangan bagi menghadapi musuh. Namun, bukan semua golongan diwajibkan untuk keluar berperang kerana dalam ayat lain pula, Allah SWT memerintahkan supaya perlunya kumpulan-kumpulan tertentu yang ditugaskan untuk mendalami ilmu pengetahuan sesuai dengan bidang masing-masing. Sampai waktu dan ketikanya, golongan pemuda pada hari ini akan mengambil alih kepimpinan negara dan meneruskan kegemilangan negara berdaulat ini.
Maka semangat kepahlawanan seperti berani, tegas berprinsip, tidak mudah menyerah dan seumpamanya sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh para perajurit negara hendaklah dicontohi dan disematkan dalam jiwa supaya menjadi motivasi dan penguat semangat mempertahankan kedaulatan negara. Golongan pemuda hari ini tidak boleh dilekakan dengan hiburan-hiburan yang melalaikan, fahaman-fahaman songsang, gaya hidup bebas dan amalan-amalan yang tidak baik. Maka persiapkanlah pemuda hari ini dengan bekal didikan agama secukupnya di samping ilmu-ilmu keduniaan yang lain.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Sempena Sambutan Maal Hijrah Wilayah Persekutuan baru-baru ini, kita perlu mengambil semangat hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat untuk terus membuat perubahan ke arah kebaikan dan kemajuan ummah. Peranan semua agensi kerajaan dan swasta mesti dipertingkatkan dalam usaha mencorakkan lanskap kehidupan dan menyatu-padukan seluruh masyarakat di Wilayah Persekutuan yang memiliki kepelbagaian bangsa, agama, warna kulit, taraf pendidikan dan latar belakang terutama melalui program-program bersifat rahmah dan menyantuni masyarakat.
Program-program kemasyarakatan bersama komuniti merentasi budaya dan agama perlu diteruskan untuk memupuk kerukunan dalam masyarakat. Institusi Islam termasuk masjid dan surau perlu tampil ke hadapan menggerakkan agenda ini agar ianya dapat menyerlahkan lagi keindahan ajaran Islam.
Institusi masjid dan surau juga mesti diperkasakan dalam usaha menarik penglibatan anak-anak muda dalam solat berjemaah dan aktiviti-aktiviti pengimarahan. Kita perlu terus berusaha mendekati anak-anak muda untuk dekat dengan majlis-majlis ilmu. Berikan ruang dan peluang kepada para belia untuk turut mengimarahkan masjid dan surau dengan menjadi tulang belakang kepada program-program yang dilaksanakan.
Di samping itu, institusi masjid dan surau juga perlu berani menerokai ruang-ruang baru dalam usaha untuk pengimarahannya dan menjadi pusat perpaduan masyarakat dan ummah. Semoga semangat Maal Hijrah menjadi pemangkin kepada semarak ikatan perpaduan sesama kita dan dapat melestarikan kemakmuran negara tercinta.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Justeru, mengakhiri khutbah hari ini, khatib ingin membuat beberapa rumusan:
Pertama: Sikap menghargai orang lain dan berterima kasih kepada manusia merupakan antara ajaran yang terkandung dalam Islam. Ia menjadi kayu ukur sama ada seseorang itu mensyukuri nikmat Allah SWT atau tidak berdasarkan hadis Nabi SAW.
Kedua: Para pahlawan negara telah mewariskan negara ini kepada kita untuk dijaga dengan baik. Maka, sebagai generasi hari ini, menjadi tanggungjawab kita pula untuk memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara dari diusik oleh mana-mana anasir luar yang berniat menghancurkan negara.
Ketiga: Para pemuda khususnya perlu dipersiapkan mental dan fizikal, rohani dan jasmani mereka supaya dengan itu, negara dapat dibangunkan seimbang dari segenap segi tanpa mencicirkan satu sudut sekalipun.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Berjuang sehari semalam lebih baik daripada puasa selama sebulan berserta solatnya. Jika dia mati, maka pahala amal yang telah dia lakukan akan tetap mengalir, rezekinya pun akan tetap berlangsung dan akan dijaga darifitnah kubur”.
(Hadis riwayat Imam Muslim, al-Nasa’í)

Tarikh Dibaca: 10 Muharam 1445H/28 Julai 2023M
Khutbah Khas Terbitan: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Leave a comment