Kisah Hatim al-Asham dan Gurunya Syaqiq al-Balkhi
Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulum al-Din (1/145-147) menceritakan: Syeikh Syaqiq al-Balkhi bertanya kepada muridnya Hatim al-Asham: “Sudah berapa lama awak belajar denganku?” Jawab Hatim: “Tiga puluh tiga tahun, guru.” Tanya Syaqiq: “Berapa banyak ilmu yang kamu petik?” Jawab Hatim: “Hanya lapan masalah sahaja.” Terkejutlah gurunya seraya berkata: “ ‘إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ’ Tiga puluh tiga tahun hanya lapan masalah?” Jawab Hatim: “Benar guru. Saya tidak berdusta.” Gurunya, Syaqiq berkata: “Sila nyatakan lapan masalah tersebut.” Kata Hatim:
Pertama, aku memperhati seluruh manusia. Kemudian aku dapati masing-masing daripada mereka mencintai kekasihnya. Dia bersama kekasihnya tersebut hingga sehingga sampai di kubur. Namun, ketika dia sudah sampai kubur, maka kekasihnya justeru berpaling darinya.
Maka aku jadikan amal-amal kebaikan sebagai kekasihku. Sehingga, ketika aku masuk kubur, maka amal kebaikan tersebut akan ikut bersamaku.
Kedua, aku memperhatikan firman Allah SWT:
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ ﴿٤٠﴾ فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ
Maksudnya: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, – Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.
Surah al-Nazi’at (40-41)
Maka, aku yakin bahawa sesungguhnya firman Allah SWT adalah benar. Oleh itu, aku memaksa nafsuku untuk menolak hawa (kesenangannya) sehingga nafsuku tenang untuk taat kepada Allah SWT.
Ketiga, sesungguhnya aku memperhatikan seluruh manusia. Aku melihat setiap orang yang memiliki sesuatu yang berharga dan bernilai, maka dia akan menjaganya agar tidak hilang. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:
مَا عِندَكُمْ يَنفَدُ ۖ وَمَا عِندَ اللَّـهِ بَاقٍ
Maksudnya: “(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal.”
Surah al-Nahl (96)
Dari situ, apabila aku memiliki sesuatu yang berharga, maka segera sahaja aku serahkan kepada Allah, agar barang milikku tetap terjaga bersama-Nya tidak hilang.
Keempat, sesungguhnya aku memerhatikan seluruh manusia. Aku melihat bahawa masing-masing dari mereka kembali kepada harta, keturunan mulia, pangkat dan nasabnya. Aku renungkannya, ternyata semua itu tidak ada ertinya. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
Surah al-Hujurat (13)
Maka aku bertakwa, sehingga menjadikan aku mulia di sisi Allah SWT.
Kelima, aku memperhatikan seluruh manusia. Sebahagian dari mereka mencela sebahagian yang lain, dan sebahagian dari mereka melaknat sebahagian yang lain. Aku tahu penyebab utamanya adalah sifat dengki dan iri hati. Kemudian aku membaca firman Allah SWT:
نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا
Maksudnya: Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita);
Surah al-Zukhruf (32)
Maka aku kemudian meninggalkan sifat dengki dan iri hati serta menghindar dari manusia. Kerana aku tahu bahawa pembahagian rezeki itu benar-benar dari Allah SWT yang menjadikanku tidak patut memusuhi dan iri hati kepada orang lain.
Keenam, aku memerhatikan manusia. Sebahagian dari mereka menganiaya dan berbuat zalim pada sebahagian yang lain. Dan sebahagian dari mereka memerangi sebahagian yang lain. Kemudian aku kembali kepada firman SWT:
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا
Maksudnya: Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya);
Surah Fatir (6)
Maka aku menghindari dari memusuhi orang lain dan sebaliknya aku berusaha fokus dan penuh waspada dalam menghadapi permusuhan syaitan.
Kerana sesungguhnya Allah SWT telah bersaksi bahawa sesungguhnya syaitan adalah musuhku. Oleh itu, aku tidak memusuhi makhluk selain syaitan.
Ketujuh, aku memperhatikan manusia dan aku dapati masing-masing menghinakan diri mereka sendiri dalam mencari rezeki. Bahkan ada di antara mereka yang sampai berani melanggar sesuatu yang tidak halal. Kemudian aku melihat firman Allah SWT:
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا
Maksudnya: Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya.
Surah Hud (6)
Maka aku yakin bahawa sesungguhnya aku merupakan salah satu daripada dawwab (makhluk hidup) ini yang ditanggung rezekinya oleh Allah. Maka aku sibukkan diriku dengan apa yang menjadi hak Allah SWT atas diriku, dan aku menyerahkan apa yang menjadi hakku di sisi-Nya.
Kelapan, aku melihat manusia menyerahkan diri dan bertawakkal kepada makhluk. Sebahagian tawakkal pada kebunnya, sebahagian lagi tawakkal pada barang dagangannya, sebahagian lain tawakkal pada pekerjaannya, dan sebahagian lain lagi bergantung pada kesihatan badannya.
Semua makhluk bertawakkal pada makhluk yang lain yang sama lemahnya dengannya. Kemudian aku kembali pada firman Allah SWT:
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
Maksudnya: Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Surah al-Talaq (3)
Maka aku berserah diri kepada Allah SWT. Aku yakin Allahlah Tuhan yang akan mencukupkan segala keperluanku.
(Setelah mendengar huraian Hatim) Syaqiq berkata “Semoga Allah memberimu taufik. Aku telah telah melihat Taurat, Injil, Zabur dan Furqan (Qur’an) ternyata semua kitab itu membahas kelapan-lapan persoalan ini. Oleh kerana itu, barangsiapa mengamalkannya, maka dia telah mengamalkan keempat kitab tersebut.”
Alhamdulillah, marilah kita merenung dan menekuni hikmah-hikmah yang disampaikan oleh Hatim al-Asham di atas. Mudah-mudahan hikmah yang diberikan tersebut berguna buat kita dalam melayari bahtera kehidupan. Begitu juga, mudah-mudahan ia dapat memberi satu semangat dan motivasi dalam usaha kita meraih kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat. Sesungguhnya akhirat itulah kehidupan yang kekal abadi.
Artikel Asal: Lapan Hikmah Hatim Al-Asham Daripada Gurunya Syaqiq Al-Balkhi
Leave a comment