Dalam usaha kita mendekatkan diri kepada Allah SWT, latih diri untuk melakukan dua perkara ini.
Takkan Kau Dapat Apa Yang Kau Hajati Sehingga Kau Tinggalkan Sesuatu Kau Idam
Kita tidak akan dekat kepada Allah SWT tanpa meninggalkan sesuatu dari dunia ini. Firman Allah SWT:
“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.”
(Ali Imran 3:92)
Kunci kepada ketaqwaan ialah membelanjakan wang, mendermakan harta benda, menggunakan kemahiran, mendermakan pakaian, membuang tabiat, pendeknya mengorbankan perkara yang kita idamkan dan yang kita sayang. Ini melatih diri kita untuk melihat dunia, semua kekayaan dan gemerlapannya dari perspektif yang betul. Dalam menujuk kepada penyucian rohani dan menghias jiwa dengan ciri-ciri keimanan yang tinggi perlu didahului dengan pembersihan atau penyingkiran sifat-sifat buruk yang lama, perbuatan dan kualiti yang tidak diingini.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus…”
(Al-Baqarah 2:256)
Tak Akan Kau Capai Tahap Yang Kau Jangka Melainkan Dengan Bersabar Dengan Perkara Yang Tidak Kau Senangi
Seorang penyair berkarya:
Aku akan merasakan semua kesusahan itu mudah, sehingga aku capai apa yang aku inginkan. Dan, keinginan hanya ditundukkan oleh mereka yang sabar.
(Ibn Hisham 92)
Allah SWT hanya meninggikan darjat mereka yang berusaha. Apa sahaja yang bernilai di dunia ini perlu datang dengan usaha, dan tidak ada yang lebih berharga daripada jiwa yang bersih dan hati yang diperbetulkan. Tentang hati, Allah SWT berfirman di dalam al-Quran,
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);”
(Asy-Syu’araa’ 26:88-89)
Dari sudut rohani, salah satu bentuk usaha yang paling bermanfaat ialah menentang kemahuan jiwa seseorang. Seorang bijaksana pernah berkata, “Menentang kehendak jiwamu adalah ubat yang akan merawat dirimu.”
Firman Allah SWT:
“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.”
(An-Naazi’aat 79:40-41)
Latih diri untuk tinggalkan keinginan dan bersabar dengan ujian dalam usaha membersihkan jiwa dan rohani. Sesiapa yang tidak mengendahkannya akan sukar untuk mencapai kemajuan dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Rujukan: Treatise for the Seekers of Guidance
Leave a comment