ASMAUL HUSNA – AL-QADIRU (Yang Maha Berkuasa) 

Asmaul Husna yang ke-69 ialah Al-Qadiru yang bererti Tuhan Yang Maha Berkuasa. Kudrat Allah SWT dalam mengadakan sesuatu apa jua yang dikehendaki-Nya tanpa memerlukan pertolongan atau bantuan, Dia tidak bergantung kepada situasi.

Sebahagian manusia juga memiliki kuasa. Namun kuasa itu hanyalah suatu yang dipinjamkan atau diamanahkan oleh Allah SWT kepada mereka. Manusia tidak bebas menggunakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka. Manusia telah diberi panduan oleh al-Quran tentang bagaimana sepatutnya menggunakan kuasa itu.

Sekiranya ia berjalan seperti yang dikehendaki Allah SWT, bererti mereka telah melaksanakan amanah Allah SWT. Tetapi jika mereka menggunakan kuasa di luar batas ketentuan Allah SWT, bererti mereka telah khianat bukan sahaja kepada Allah SWT tapi juga kepada diri sendiri.

Keperkasaaan Allah SWT Di Alam Semesta

Keperkasaan Allah SWT dapat diperhatikan di mana-mana jua. Lihat sahaja diri kita sendiri. Renungkan betapa kesempurnaan anggota badan yang membentuk tubuh kita yang tidak mampu dicipta oleh makhluk biasa. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu menciptakannya.

Kemudian, pandanglah di sekeliling. Lihatlah pada pepohonan yang menghijau, bukit-bukau, lautan yang berombak, sungai yang mengalir, angin yang berpuput, langit yang terbentang, awan yang berarak, matahari yang tergantung di dada langit dan seumpamanya. Fikirkan seketika, mampukah manusia atau makhluk lain mencipta segala isi alam dengan sesempurna dan seindah yang ada di sekeliling kita ini?

Apatah lagi andai kita mengajak minda berfikir kewujudan alam semesta ini; pergerakan bulan, bintang, matahari dan segala planet serta seluruh isi cakerawala yang tidak terjangkau. Sorotan mata kasar terbukti kewujudannya hasil daripada kajian sains. Apalagi yang mampu kita ungkapkan selain daripada ungkapan Maha Agung Allah SWT yang menciptakan. Maha Perkasa Allah SWT yang mengatur segala perjalanan isi alam ini untuk kita nikmati erti sebuah kehidupan. Segalanya merupakan bukti kukuh sifat keperkasaan Allah SWT.

Hanya mereka yang kufur sahaja tidak akan mengaku betapa keperkasaan dan keagungan itu adalah milik Allah SWT.

Firman Allah SWT yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah menahan langit dan bumi supaya jangan lenyap; dan sungguh jika keduanya akan lenyap tidak ada seorang pun yang dapat menahan keduanya selain Allah. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.”

(Surah Fatir 35: 41)

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑