Oleh Mymuslimin.com
Menurut ceritanya, sate di restoran ini mewarisi resepi sate turun-temurun keluarga pemilik semenjak 1940-an lagi. Ini menjadikan resepi sate yang disajikan sudah berusia lebih 80 tahun! Tidak hairanlah mengapa gerai ini sering menjadi tumpuan warga Muo serta menjadi buruan pengunjung luar yang ingin merasai sate legenda ini.
Gerai Sate Dhuha ini bertempat di Laman Ole-Ole Maharani bersebelahan hotel Muar Traders dan Pejabat Daerah Muar. Kawasan gerainya agak terhad tetapi banyak lagi meja dibuka (jika tidak hujan) di bahagian belakang untuk membolehkan pelanggan menikmati satenya yang lazat.

Ada empat jenis sate ditawarkan di sini, daging, ayam, perut dan paru. Setelah diperap dengan rempah ratus yang sempurna, sate dibakar perlahan menggunakan bara arang. Teknik bakar menggunakan kipas menghasilkan kesan terbakar di keliling daging yang tentu sekali menambahkan tekstur dan kesedapan rasa setiap cucuk sate di sini. Sate dihidang dengan timun dan bawang racik beserta kuah kacang yang sedap. Namun, tiada ketupat atau nasi impit mengiringi, mungkin boleh dibeli berasingan.

Selain sate, Sate Dhuha juga menyajikan sarapan Johor yang popular seperti Kacang Pool, Lontong, Soto, Mi Kari dan lain-lain. Kacang Pool di sini boleh tahan rasanya, cuma roti bakar yang disediakan kosong tanpa sapuan mentega sebelum dibakar. Dari segi estetik, sedikit kurang pada pandangan kami.

Apa-apa pun, pengalaman menikmati sajian Johor di Sate Dhuha tidak menghampakan. Kepada mereka yang berminat, jangan pergi lambat kerana kedai ini tutup cepat.
Lokasi: Laman Ole-Ole Maharani
Buka: Setiap Hari
Tutup: Selasa
Masa Operasi: 7.30 pagi – 12.00 tengah hari
Leave a comment