Abdul Rahman Bin Auf adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang akrab dan merupakan salah satu daripada 10 sahabat Rasulullah SAW yang dijamin syurga. Beliau juga adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang terkaya. Nama asal Abdul Rahman sebelum beliau memeluk Islam ialah Abdul Ka’abah. Menurut ahli sejarah, Abdul Rahman Bin Auf dilahirkan 10 tahun sesudah tahun Gajah dan beliau hidup sebagai seorang pemuda Quraisy di kota Mekah yang ketika itu penuh dengan kemaksiatan jahiliah berupa penyembahan berhala mahupun kejahatan-kejahatan lainnya. Namun demikian Abdul Rahman terhindar dari kejahatan, bahkan sebelum memeluk agama Islam lagi, Abdul Rahman Bin Auf telah mempunyai anggapan bahawa minuman arak itu adalah terlarang.
Abdul Rahman Bin Auf adalah salah seorang dari 8 orang yang mula-mula memeluk Islam. sebelum Rasulullah SAW memasuki rumah Arqam lagi. Selepas mengetahui Abdul Rahman Bin Auf memeluk Islam, ibunya mengancam dengan berkata, “Aku akan berjemur di panas matahari yang terik di waktu siang dan di waktu malam yang sejuk aku akan bermalam di ruang lapang hinggalah engkau mengaku akan kembali semula kepada agama nenek moyangmu.” Sungguhpun begitu Abdul Rahman Bin Auf tetap dengan imannya.
Berjuang Dengan Harta Kekayaan
Abdul Rahman mempunyai satu keistimewaan yang khas iaitu berjuang untuk menegakkan agama Allah bukan dengan pedang dan dengan harta dan kekayaannya. Abdul Rahman membahagi dua kekayaannya, satu kepada fakir miskin dan dua untuk keperluan fi sabilillah demi menegakkan panji-panji Islam.
Ketika Abdul Rahman tiba di Madinah sebagaimana yang diperlakukan oleh Rasulullah SAW terhadap lain-lain sahabat dalam usaha memberikan bantuan, beliau telah dipersaudarakan oleh Baginda dengan Sa’ad Bin Rabi’, seorang daripada golongan Ansar.
Demi kecintaan Saad Bin Rabi’ kepada saudaranya dan golongan Muhajirin, beliau telah mengatakan kepada Abdul Rahman antara lainnya, “Saudara, ketahuilah bahawa saya adalah seorang Ansar yang banyak harta, dan kiranya saudara sudi ambillah separuh dari kekayaan saya itu. Saya juga mempunyai dua orang isteri dan kiranya saudara sudi salah seorang darinya, saya sedia menceraikannya supaya boleh saudara mengahwininya”. Mendengarkan kata-kata sahabatnya itu Abdul Rahman Bin Auf menjawab, “Saudaraku, semoga Allah akan memberikan berkat terhadap keluarga dan harta benda saudara. Janganlah disusahkan tentang diri saya ini, yang penting bagi saya ialah kiranya saudara sudi menunjukkan saya jalan menuju ke pasar.”
Sesungguhnya beliau memang seorang pedagang yang berbakat dan pintar. Dalam sekejap masa sahaja beliau berjaya menunjukkan keahliannya dalam berdagang hingga berjaya memperoleh harta yang banyak. Beliau mempunyai 100 ekor kuda yang boleh digunakan dalam peperangan, 100 ekor unta dan 10,000 ekor kambing sehingga diwaktu beliau meninggal dunia, ketika dihitung seperempat dari kekayaannya menyamai jumlah 84 ribu dinar.
Akan tetapi disamping kekayaannya yang melimpah-limpah itu, beliau termasuk orang yang paling dermawan dan paling pemurah juga merupakan seorang tokoh sahabat yang paling banyak berbuat kebajikan terhadap fakir miskin.
Pada zaman Rasulullah SAW, beliau pernah membahagikan seluruh kekayaannya dan menyerahkan yang sebahagian itu kepada orang-orang yang memerlukannya.
Pernah terjadi dalam satu peristiwa, Abdul Rahman Bin Auf mengeluarkan sedekah sebanyak 40 ribu dinar, dan pernah ia membiayai peperangan dengan menyediakan kelengkapan sebanyak 500 ekor kuda tempur lengkap dengan senjatanya, pakaian dan makanan untuk digunakan oleh para perajurit dan juga dalam waktu yang sama membawa konvoi bekalan yang diangkut oleh 500 unta.
Rasulullah SAW bersabda, “Abdul Rahinan Bin Auf adalah saudagar Tuhan” sebagai memujinya atas peranannya menegakkan agama Allah dengan harta kekayaan. Dalam satu riwayat lain pula Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya mereka yang memelihara keluarga saya setelah saya meninggal dunia adalah manusia yang benar dan manusia yang mempunyai kebajikan.” Dalam hal ini Abdul Rahmanlah salah seorang sahabat yang menyahut seruan Rasulullah SAW kerana beliaulah yang menyiapkan kemudahan untuk Ummul Mukminin dalam melakukan ibadah haji dibawah lindungan beliau.
Takut & Benci Kepada Pengaruh Harta
Disamping memiliki kekayaan yang melimpah-limpah beliau adalah seorang yang takut dan benci kepada harta kekayaan dan selalu menghindarkan diri dari pengaruh kekayaannya.
Adalah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Abdul Rahman Bin Auf menangis tersedu-sedu lalu ia ditanya orang apakah yang menyebabkan beliau menangis itu, lalu dijawabnya, “Sesungguhnya Mas’ab adalah lebih baik daripadaku kerana ia meninggal dunia di zaman Rasulullah SAW dan diwaktu meninggal dunia ia tidak memiliki sepotong kain yang dapat dijadikan kafan untuk membungkusnya. Sesungguhnya Hamzah Bin Muttalib adalah manusia yang lebih utama daripada saya padahal ia tidak mempunyai kain yang dapat dijadikan kafan untuk memakamkannya. Saya khuatir saya ini termasuk di antara orang-orang yang dipercepat untuk menikmati kebahagiaan dunia fana ini dan saya khuatir bahawa saya akan tersisih daripada para sahabat Nabi di Akhirat kelak disebabkan kerana saya mempunyai banyak harta”.
Dalam satu riwayat yang lain pula diceritakan orang bahawa tatkala Abdul Rahman Bin Auf memberikan makanan kepada tamunya beliau tiba-tiba menangis lalu ditanya orang, “Mengapakah engkau menangis hai Ibnu Auf ?” Beliau menjawab, “Nabi telah wafat, sedangkan baginda dan keluarganya tidak pernah kenyang oleh roti gandum.”
Sentiasa Menjaga Agama
Diceritakan juga bahawa Abdul Rahman bin Auf mempunyai 40 ekor unta yang penuh sarat dengan barang dagangan dan masing-masing dijaga oleh seorang hamba. Suatu subuh ketika kafilahnya pulang dengan barang dagangan dari Syam beliau tidak sempat bertakbiratulihram bersama Nabi di subuh itu. Setelah selesai solat beliau berkata kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah SAW, aku tidak sempat takbiratulihram bersamamu, oleh kerana itu aku sedekahkan semua untaku 40 ekor untuk menebusnya, adakah memadai wahai Nabi.” Rasulullah SAW menjawab, “Tidak.” Maka Abdul Rahman menyedekahkan pula kesemua barang dagangan di atas setiap unta itu, tetapi Rasulullah SAW menjawab masih belum memadai. Maka beliau memerdekakan 40 hamba yang menjadi gembala kepada 40 untanya, tetapi Rasulullah SAW masih mengatakan tidak memadai.
Abdul Rahman merasa sedih dan sugul, lalu beliau bertanya lagi kepada Rasulullah SAW,”Berapa banyakkah lagi harta perlu disedekahkan agar dapat menebus kekurangan solatnya.” Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya disedekahkan semua harta seluas langit dan bumi pun masih belum memadai.” Maka Abdul Rahman pun pasrahlah. Begitulah besarnya pengorbanan Abdul Rahman dalam menjaga agamanya, dan beliau tidak pernah mementingkan harta kekayaannya asalkan agamanya sempurna.
Demikianlah jiwa Abdul Rahman Bin Auf salah seorang sahabat besar Rasulullah SAW. Memandangkan besarnya semangat pengorbanannya itu maka tidaklah hairan kiranya Rasulullah SAW mengatakan bahawa Abdul Rahman adalah di antara sepuluh orang yang telah digembirakan oleh baginda akan memasuki syurga.
Petikan: 10 Sahabat Nabi Yang Dijamin Syurga oleh Asratul Kiraam
Leave a comment