Nabi Muhammad SAW memeterai pelbagai perjanjian dengan sekutu dan juga musuh Baginda. Baginda SAW sangat menghormati semua butiran perjanjian dan dengan tegas memerintahkan para Sahabat untuk melakukan perkara yang sama walaupun perjanjian itu kelihatan tidak menguntungkan umat Islam. Keadaan seperti itu berlaku dalam perjanjian Al-Hudaibiyah yang ditandatangani pada bulan Dzulqa’dah tahun keenam Hijrah.
Mimpi Rasulullah SAW
Rasulullah SAW melihat di dalam mimpi ketika masih berada di kota Madinah, bahawa Baginda telah memasuki kota suci Makkah dengan aman bersama para pengikutnya dan mereka sedang melakukan upacara ‘Umrah (haji yang lebih kecil). Kepala mereka dicukur dan digunting.
Sebaik sahaja Baginda SAW memberitahu beberapa Sahabatnya tentang kandungan mimpinya itu, hati mereka semua melonjak gembira. Selepas melakukan persiapan, Nabi SAW keluar menuju ke Makkah, membimbing 1500 orang Islam termasuk isterinya Ummu Salamah. Mereka tidak membawa senjata kecuali pedang bersarung kerana mereka tidak berniat untuk berperang.
Bersiap-sedia Memasuki Kota Makkah
Ketika mereka menghampiri kota Makkah, dan di sebuah tempat bernama Dhi Hulaifa, Baginda SAW telah memerintahkan agar binatang korban dipersiapkan, dan semua orang Islam memakai ihram dengan tujuan untuk masuk ke kota Makkah dan menunaikan ibadat ‘Umrah.
Terlebih dahulu, Baginda SAW menghantar seorang peninjau untuk memantau berita tentang musuh di sepanjang perjalanan. Lelaki itu kembali dan memberitahu Rasulullah bahawa sejumlah besar hamba serta pasukan tentera yang besar telah berkumpul untuk menghalang Baginda SAW dan rombongan baginda dan bahawa jalan ke Makkah telah terhalang sepenuhnya.
Baginda kemudian berunding dengan para Sahabatnya, yang berpendapat bahawa mereka tidak akan memerangi sesiapa pun melainkan mereka dilarang mengerjakan haji.
Quraisy Datang Berunding
Orang Quraisy memutuskan untuk menentang dakwah Nabi dalam cara apa sekali pun. Pertamanya, Budail bin Warqa’ Al-Khuza’i bersama beberapa orang terkenal dari suku Khuza’ah telah datang ke kem Rasulullah dan bertanya tentang hajat Rasulullah datang ke Makkah. Nabi SAW menjawab bahawa kedatangannya bukanlah untuk berperang:
“Aku tidak mempunyai rancangan lain selain melakukan ‘umrah di kota suci (Makkah). Sekiranya Quraisy memeluk agama baru, seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang, mereka amat dialu-alukan, tetapi jika mereka menghalang jalanku atau menghalang orang Islam daripada menunaikan haji, aku akan sesungguhnya perangi mereka sehingga ke orang yang terakhir, dan perintah Allah mesti dipenuhi.”
Utusan yang membawa mesej tersebut kembali kepada Quraisy, yang kemudiannya menghantar seorang lagi utusan yang bernama Mikraz bin Hafs. Apabila melihat susuk Mikraz, Nabi SAW berkata bahawa pemuda itu adalah seorang yang khianat. Baginda SAW diberi mesej yang sama untuk disampaikan kepada rombongannya. Beliau diikuti oleh seorang lagi utusan yang dikenali sebagai Al-Hulais bin ‘Alqamah. Hulais sangat kagum dengan semangat pengabdian umat Islam terhadap Ka’bah. Dia pulang kepada orang-orangnya dan memberi amaran kepada mereka agar tidak menghalang Muhammad dan para Sahabatnya daripada melakukan penghormatan kepada rumah Allah atas bahaya memutuskan pakatannya dengan mereka.
Hulais kemudian digantikan oleh ‘Urwah bin Mas’ud Ath-Thaqafi untuk berunding dengan Muhammad SAW. ‘Urwah, semasa berada di kem Rasulullah itu telah memerhatikan dengan teliti kasih sayang yang tidak berbelah-bagi dan rasa hormat yang mendalam yang ditunjukkan oleh para pengikut Muhammad kepadanya.
Dia kembali dan menyampaikan kepada Quraisy bahawa Sabahat Rasulullah SAW itu tidak akan meninggalkan Nabi SAW dalam apa jua keadaan; “Saya pernah ke Chosroes, Caesar dan Negus dalam kerajaan mereka, tetapi saya tidak pernah melihat seorang raja di antara kaum seperti Muhammad di kalangan para Sahabatnya. Jika dia berwuduk, mereka tidak akan membiarkan airnya jatuh ke tanah; jika dia bercakap, mereka akan merendahkan suara mereka. Mereka tidak akan meninggalkannya dalam apa jua keadaan. Dia, sekarang, telah menawarkan kita rancangan yang munasabah, jadi lakukanlah apa yang kau suka.”
Masa berlalu dan rundingan diteruskan tanpa ada hasil yang dipersetujui. Selepas beberapa pertukaran mesej, mereka bersetuju untuk memasuki perjanjian damai dengan orang Islam.
Perjanjian Hudaibiyyah
Fasal-fasal perjanjian tersebut adalah seperti berikut:
1. Orang Islam hendaklah pulang pada tahun ini dan kembali pada tahun hadapan, tetapi mereka dilarang untuk tinggal di Makkah melebihi tiga hari.
2. Mereka tidak boleh datang dengan bersenjata tetapi boleh membawa bersama mereka pedang yang bersarung sahaja dan senjata ini hendaklah disimpan di dalam beg.
3. Aktiviti peperangan akan digantung selama sepuluh tahun, di mana kedua-dua pihak akan hidup dalam keadaan selamat dan tidak akan mengangkat pedang (memulakan perang) terhadap yang lain.
4. Jika sesiapa dari Quraisy pergi kepada Muhammad tanpa kebenaran penjaganya, dia hendaklah dihantar kembali ke Quraisy, tetapi sekiranya mana-mana pengikut Muhammad kembali ke Quraisy, dia tidak akan dihantar pulang.
5. Sesiapa yang menyertai Muhammad, atau mengadakan perjanjian dengannya, hendaklah mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian; dan begitu juga sesiapa yang ingin menyertai Quraisy, atau mengadakan perjanjian dengan mereka, hendaklah dibenarkan berbuat demikian.
Beberapa pertikaian timbul berkaitan dengan mukadimah tersebut. Sebagai contoh, apabila perjanjian itu sedia untuk ditulis, ‘Ali bin Abi Talib, yang bertindak sebagai jurutulis memulakan dengan kata-kata: Bismillah ir-Rahman ir-Rahiim, iaitu, “Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penyayang” tetapi wakil dari Makkah, Suhail bin Amr mengatakan bahawa dia tidak tahu apa-apa tentang Ar-Rahman dan menegaskan penggunaan formula biasa Bi-ismika Allahumma iaitu, “Dengan NamaMu, Ya Allah!” Umat Islam merungut dengan rasa tidak senang tetapi Rasulullah bersetuju.
Baginda SAW kemudian menambah satu perkara lagi, “Inilah yang telah disepakati oleh Muhammad, Rasulullah bersama Suhail bin Amr.” Setelah itu Suhail sekali lagi membantah: “Sekiranya kami mengakui kamu sebagai seorang Nabi, kami tentu tidak menghalang kau dari memasuki Baitullah, dan tidak memerangi kamu. Tulis nama kamu sendiri dan nama bapa kamu.” Umat Islam tidak berpuas hati dan enggan bersetuju dengan perubahan yang diminta itu. Namun, Nabi SAW sendiri yang memadamkan kata-kata itu dan menulis: “Muhammad, ibn Abdullah.”
Saat Cemas
Ketika perjanjian ini sedang ditulis, Abu Jandal, anak kepada Suhail, muncul di tempat kejadian. Dia telah dirantai dengan kejam dan berjalan terhuyung-huyung akibat lapar dan keletihan. Rasulullah SAW dan para Sahabatnya berasa kasihan dan berusaha untuk membebaskannya tetapi Suhail berkeras dan berkata, “Untuk membuktikan bahawa kamu setia dengan kontrak kamu, inilah peluangnya.” Nabi SAW kemudian berkata, “Tetapi perjanjian itu tidak ditandatangani ketika anakmu memasuki kem.”
Mendengar hujah itu, Suhail berang seraya berkata, “Tetapi syarat-syarat perjanjian telah pun dipersetujui!” Ia sememangnya detik yang mencemaskan.
Di satu pihak, Abu Jandal meraung dengan suara yang tinggi, “Adakah saya akan dikembalikan kepada orang-orang musyrik agar mereka dapat menarik saya keluar dari agama saya, wahai orang-orang Islam!” Tetapi, sebaliknya, taat setia kepada perjanjian juga perlu dihormati, di atas semua pertimbangan lain. Hati Nabi SAW bersimpati kepada Abu Jandal, tetapi Rasulullah kekal berpegang teguh kepada janji-janji baginda.
Rasulullah menenangkan Abu Jandal dan berkata, “Bersabarlah, berserah diri kepada takdir Allah SWT. Allah akan memberikan kepadamu dan para sahabatmu yang tidak berdaya, jalan keluar. Kami telah mengikat perjanjian damai dengan mereka dan kami telah bersumpah dengan Nama Allah. Oleh itu, kami tidak akan melanggarnya dalam keadaan apa pun.”
Umar ibn Al-Khattab tidak dapat menahan ketidakpuasan hatinya yang mendalam. Lantas, dia bangkit berdiri sambil mengucapkan kata-kata yang penuh kebencian yang mendalam dan kemarahan yang melampau dan meminta Abu Jandal untuk mengambil pedangnya dan membunuh Suhail. Tetapi Abu Jandal tidak berbuat demikian. Sebaliknnya, Abu Jandal berdamai dengan takdir Allah SWT.
Rasulullah SAW Menghormati Perjanjian
Perjanjian yang hanya dimeterai dengan niat itu sudah cukup untuk Rasulullah SAW menghormatinya walaupun dalam keadaan Abu Jandal yang menyedihkan. Tetapi, peristiwa yang berlaku kemudiannya mengesahkan hikmah yang mendalam dan hasil yang mengagumkan dari perjanjian damai tersebut. Di mana menerusinya orang Quraisy telah mengiktiraf kewujudan orang Islam yang sah di kancah kehidupan politik di Arab, dan mula berurusan dengan orang-orang Islam dengan syarat yang sama. Quraisy di dalam perjanjian tersebut, secara tidak langsung telah melepaskan tuntutannya terhadap kepimpinan agama, dan mengakui bahawa mereka tidak lagi berminat dengan orang selain daripada kaum Quraisy, dan tidak lagi campur tangan dalam hal agama orang Arab Semenanjung.
Petua Kepada Pemimpin
- Lebih ramai orang mempercayai kita, lebih ramai yang sanggup untuk melakukan perkara untuk kita mencapai matlamat bersama. Untuk membina kepercayaan bersama; kita mesti mempercayai orang lain juga.
- Kita boleh memperoleh tahap kepercayaan yang tinggi dengan menunjukkan kemahiran dan kecekapan memimpin. Kita mesti menunjukkan tingkah laku yang konsisten dan boleh diramal supaya orang ramai tahu apa yang diharapkan daripada kita dan apa yang anda harapkan daripada mereka.
- Kita mesti berkomunikasi dengan jelas dan berkesan untuk memberikan semua maklumat yang diperlukan kepada pengikut, tepat pada masanya. Kita juga mesti menjadi contoh untuk diikuti oleh orang lain.
- Kita perlu membina kepercayaan bermula dengan memberitahu kebenaran tetapi ianya lebih dari itu. Tidak ada yang lebih merosakkan kepercayaan daripada tipu daya, jadi Nabi SAW tidak pernah berbohong walaupun dalam gurauan. Tidak ada yang lebih membina kepercayaan daripada sikap terbuka dan jujur, malah Nabi SAW telah diakui oleh musuhnya sebagai As-Siddiq (orang yang benar).
Petikan: Prophet Muhammad SAW: The Hallmark of Leadership by Dr Azman Hussin, Dr Rozhan Othman & Dr Tareq Al-Suwaidan
Leave a comment