Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Marilah kita mempersiapkan bekalan akhirat dengan sentiasa bertakwa kepada Allah SWT di sepanjang hayat. Laksanakanlah segala perintah-Nya dan tinggalkanlah semua larangan-Nya. Mudah-mudahan reda dan syurga-Nya menjadi ganjaran buat kita di akhirat sana.
Bersama-samalah kita menghayati bicara mimbar pada hari ini yang bertajuk: “Kebersihan Asas Kesempurnaan Ibadah”.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Allah SWT sangat menyukai keindahan dan kebersihan dengan menjadikan Islam sebagai agama dan jalan hidup yang menekankan aspek-aspek ini kepada kehidupan manusia. Islam mementingkan kesucian melalui amalan bersuci seperti berwuduk dan mandi sebagai cara untuk menyucikan diri.
Bukan semata-mata pada luaran jasmani bahkan kesucian rohani turut dititik beratkan daripada dicemari dengan kekotoran sifat-sifat mazmumah seperti dengki, riak, mementingkan diri sendiri, sombong dan sebagainya. Cuba kita renungkan firman Allah SWT melalui surah Taha, ayat 76 sebagaimana yang diperdengarkan di awal khutbah tadi, yang bermaksud:
“(Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat.”
(Taha 20:76)
Ayat ini jelas memberikan kita pedoman hidup untuk menghindari segala kekotoran yang boleh mencemarkan rohani dan jasmani. Sebagai orang beriman, kita seharusnya menjaga kesucian jasmani mahupun rohani pada sepanjang masa dan di mana pun kita berada.
Situasi kehidupan kita masa kini, ternyata masih dibelenggu dengan sikap mengambil mudah dengan perkara kesucian dan kebersihan ini. Tandas-tandas awam masih dikotori dengan sisa najis dan berbau busuk dan sampah sarap dibuang merata-rata dan pelbagai lagi tabiat yang menunjukkan kurangnya penghayatan kita mengenai aspek kesucian dan kebersihan.
Mungkinkah kita sebenarnya tidak mengambil peduli? Atau adakah kita tidak memahami dan menghayati bahawa berwuduk itu merupakan didikan untuk kita sentiasa mengamalkan kebersihan dan kesucian diri?
Hayatilah pesanan Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Malik al-Asy’ari Radiallahuanhu, baginda SAW bersabda yang maksudnya:
“Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bersuci sangat penting dalam kehidupan seorang Muslim kerana ia punca penerimaan amal ibadah seperti solat. Bersuci dari segi bahasa sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab al-Fiqhul Manhaji ‘ala Mazhabi as-Syafi’e ialah bersih dan terhindar daripada kekotoran luaran seperti najis atau kekotoran dalaman seperti sifat-sifat keji.
Manakala dari segi istilah syarak pula ialah perbuatan yang dapat mengharuskan seseorang melakukan solat atau apa sahaja ibadah yang mempunyai hukum sepertinya. Imam an-Nawawi pula menjelaskan maksud bersuci itu ialah mengangkat hadas dan menghilangkan najis atau perbuatan yang serupa dengan kedua-duanya dari sudut bentuk dan maknanya. Justeru, jelaslah bahawa tanpa bersuci, ibadah-ibadah tertentu menjadi tidak sah dan tidak diterima Allah SWT.
Ilmu berkaitan bersuci daripada hadas besar iaitu dengan mandi wajib atau hadas kecil dengan berwuduk wajib dipelajari oleh setiap muslim kerana ia merupakan tuntutan fardu ain biarpun ia dianggap suatu yang remeh. Syarat-syarat dan rukun-rukunnya mestilah dipenuhi supaya kita mendapat kesempurnaan ibadah.
Rukun mandi wajib ada tiga iaitu pertama; niat, kedua; menghilangkan najis dan ketiga; meratakan air pada seluruh tubuh badan, manakala rukun wuduk pula ada enam iaitu pertama; niat, kedua; membasuh muka, ketiga; membasuh dua tangan hingga ke siku, keempat; menyapu kepala, kelima; membasuh dua kaki daripada tumit hingga ke buku lali dan keenam; tertib. Fahamilah dengan jelas perkara-perkara yang mewajibkan mandi hadas dan perkara-perkara yang membatalkan wuduk. Walaupun ia dianggap remeh namun jika tidak dilakukan dengan betul, ia mengundang kepada tertolaknya ibadah-ibadah kita.
Kesucian tidak hanya dengan tuntutan mandi wajib dan berwuduk semata-mata, tetapi membersihkan diri daripada najis seperti air kencing dan seumpamanya pada tubuh badan dan pakaian juga menjadi syarat penerimaan ibadah seperti solat. Pernah suatu ketika Rasulullah SAW berjalan bersama para sahabat. Apabila tiba di dua buah pusara, Baginda SAW menyatakan bahawa penghuni kubur tersebut disiksa disebabkan tidak membersihkan diri daripada kekotoran air kencing dengan sempurna. Justeru, pastikanlah kita bersuci dengan sempurna supaya Allah SWT tidak murka kepada kita.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kebersihan mengandungi makna yang mendalam dari sudut fizikal, mental dan rohani. Kebersihan fizikal merangkumi kebersihan tubuh badan yang zahir, kebersihan mental merangkumi minda dan akal yang sihat dalam berfikir manakala kebersihan rohani pula merangkumi keluhuran naluri, hati yang dapat mendidik nafsu dan tingkah laku yang baik dan mulia. Setiap perintah Allah SWT pasti mengandungi hikmah yang besar termasuklah perintah bersuci, di antaranya ialah:
Pertama: Perintah bersuci membuktikan Islam sesuai dengan fitrah manusia iaitu ingin hidup dalam keadaan bersih dan menghindari kekotoran. Ini termasuklah pada pemikiran dan akhlak yang buruk. Seringkali di media-media sosial memaparkan keruntuhan akhlak melalui hantaran jelik, keji, penghinaan dan permusuhan. Ianya seolah-olah kita lupa bahawa tuntutan bersuci itu juga pada rohani dan jiwa yang mencerminkan akhlak terpuji.
Kedua: Kewajipan bersuci dapat menjaga kemuliaan dan kewibawaan umat Islam. Sememangnya imej suci dan bersih amat disenangi dan akan dipandang mulia oleh sesiapa sahaja. Inilah contoh tauladan yang mesti kita tonjolkan bermula pada diri sendiri, tempat tinggal, masjid dan surau serta di mana-mana sahaja termasuklah di tempat-tempat awam.
Ketiga: Amalan bersuci itu dapat menjamin kesihatan kita. Kebersihan merupakan bahagian yang paling penting dalam memelihara kita daripada penyakit-penyakit berbahaya seperti Kolera, taun dan sebagainya. Justeru, bersuci adalah cara yang terbaik dalam melindungi kehidupan manusia.
Keempat: Melalui amalan bersuci, kita dapat mempersiapkan diri dengan keadaan terbaik saat menghadap Allah SWT iaitu bersih dan suci. Dalam solat, doa, dan munajatnya, seorang hamba memang seharusnya dalam keadaan suci secara zahir mahupun batin.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kepentingan menghayati tuntutan bersuci juga berkait rapat dengan tuntutan memelihara kesucian akidah. Kehidupan kita hari ini sedang menghadapi cabaran yang besar dalam mempertahankan kesucian akidah terutama terhadap anak-anak kita. Pelbagai bentuk ajaran-ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam dan pemikiran-pemikiran yang sesat seperti liberal, sekular dan sebagainya telah disebarkan secara meluas melalui pelbagai medium seperti media-media sosial. Apa yang menyedihkan ialah ianya telah menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam dalam memahami ilmu akidah Islam yang sebenar.
Justeru, sebagai ibu bapa kita sangat bertanggungjawab untuk memastikan pendidikan akidah anak-anak sentiasa dipertingkatkan supaya mereka memiliki kekuatan akidah yang dapat menjadi benteng daripada terpengaruh dengan ajaran-ajaran dan pemikiran-pemikiran yang terpesong daripada Islam.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Sebagai orang beriman, kita seharusnya menjaga kesucian jasmani mahupun rohani pada sepanjang masa dan di mana pun kita berada. Jangan biarkan kekotoran jasmani dan rohani menjadi asbab kemurkaan Allah SWT.
Kedua: Ilmu taharah wajib difahami dengan betul bagi memenuhi kesempurnaan ibadah agar Allah SWT menerima segala amal ibadah yang kita lakukan dan melepaskan kita daripada azab yang pedih.
Ketiga: Fahamilah hikmah di sebalik perintah bersuci yang dapat menyucikan rohani dan jasmani, menjaga kemuliaan manusia, menjamin kesihatan dan mendapat kasih sayang Allah SWT di saat kita mengadap-Nya.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nur, ayat 21 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.”
(An-Nur 24:21)

Tarikh Dibaca: 17 Muharam 1445H/4 Ogos 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment