4 Sebab Memilih Ekonomi Gig

Oleh Mymuslimin.com

Ekonomi gig semakin mendapat perhatian di pasaran buruh Malaysia di mana statistik terbaharu menunjukkan bahawa mereka yang terlibat dalam pekerjaan ekonomi gig ini mencecah lebih 1.16 juta orang. Ketika negara bergelut dengan pandemik Covid-19 dua tahun lalu, pekerja-pekerja gig diperlukan dalam jumlah yang ramai untuk memenuhi keperluan yang mendesak apabila rakyat ‘terkurung’ di premis masing-masing. 

Pasca pandemik kemudiannya menyuburkan lagi permintaan kepada pekerja-pekerja gig ini apabila ekonomi Malaysia semakin mengukuh yang menyebabkan pelbagai sektor perniagaan memerlukan perkhidmatan mereka. Natijahnya, ramai yang melibatkan diri dalam ekonomi gig samada sebagai pekerjaan hakiki atau sekadar untuk mencari pendapatan tambahan. 

Ekonomi gig merupakan pasaran buruh yang bergantung kepada jawatan sementara dan sambilan yang diisi oleh kontraktor bebas berbanding pekerja sepenuh masa. Ekonomi gig menawarkan faedah kepada pekerja dan majikan. Dengan tersedianya ekonomi gig di pasaran, majikan mempunyai pilihan kepada pelbagai bakat yang boleh diupah secara sementara dan pekerja boleh meraih pendapatan tanpa memerlukan komitmen yang tinggi kepada syarikat. Ekonomi gig tentu sekali mempunyai kelebihan dan kepincangannya dan Mymuslimin.com menyenaraikan 4 sebab pekerja memilih ekonomi gig berbanding kerja tetap. 

1. Jalan Mudah untuk Raih Pendapatan

Pekerjaan di dalam ekonomi gig tidak memerlukan komitmen jangka panjang, ianya lebih berorientasikan tugasan. Pekerja perlu menyiapkan tugasan yang diberikan dalam jangkamasa tertentu untuk menerima sejumlah bayaran. Lebih banyak tugasan disempurnakan, lebih kerap bayaran boleh dikutip, dan pendapatan bulanan akan bertambah.

Selain daripada kontraktor perkhidmatan p-hailing atau e-hailing, banyak lagi pekerjaan gig yang tersedia seperti penulis, penterjemah, tugas berkaitan acara, pemasaran digital, pengendali perisian tertentu, kemahiran unik, dan lain-lain lagi. Namun, kesemua tugasan gig ini memerlukan permintaan dari pasaran untuk dipenuhi. Pendek kata, tiada istilah gaji buta atau goyang kaki dalam ekonomi gig. Bukan sahaja boleh diceburi oleh mereka yang tidak mempunyai kerjaya tetap, mereka yang bekerja juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti gig di masa terluang untuk menambah pendapatan. 

2. Seimbangkan Kerja dan Kehidupan

Pasaran buruh zaman ini mementingkan ‘work-life balance’, atau keseimbangan kerja dan kehidupan. Tidak lagi ramai di kalangan pekerja yang sudi untuk bekerja bermati-matian, bekerja sampai malam untuk syarikat. Pekerja zaman ini hanya akan melakukan perkara yang termaktub di dalam skop kerja sahaja.

Ekonomi gig memberi pilihan kepada mereka yang tidak tahan kepada tekanan bekerja sepenuh masa atau golongan yang mempunyai komitmen lain seperti menguruskan ahli keluarga yang sakit dan sebagainya, yang menyukarkan mereka untuk menerima jawatan tetap. Kerap menerima tekanan di tempat kerja berisiko kepada kesihatan mental jika tidak diurus dengan baik. Memilih ekonomi gig mengeluarkan mereka daripada tekanan kerja dan ini membantu individu untuk menjadi lebih produktif dan berkesan.

Tambahan, dengan bekerja mengikut masa yang ditetapkan sendiri dan memilih beban kerja yang sanggup dipikul pada satu-satu masa dapat membantu individu untuk menguruskan kehidupan mereka dengan lebih baik. 

3. Bebas Meneroka

Apabila pekerja tidak terikat dengan kontrak jangkamasa panjang sesuatu jawatan, seseorang bebas meneroka pelbagai bidang. Mereka yang gemar menulis boleh mencuba banyak jenis tugasan gig penulisan untuk memantapkan kemahiran. Pekerja boleh lompat dari satu tugasan ke satu tugasan yang berbeza bila-bila masa sahaja tanpa memerlukan persetujuan sesiapa, dan menerima bayaran untuk kesemuanya tugasan yang dilaksanakan. Orang-orang muda yang tidak gemar terikat dengan komitmen dan jadual yang tidak fleksibel memilih ekonomi gig yang memberi mereka ruang untuk melakukan perkara yang mereka suka di samping menjana pendapatan. 

4. Tidak Perlu Kekal Di Satu Tempat 

Pekerjaan dalam ekonomi gig juga tidak memerlukan seseorang itu berada kekal di satu lokasi seperti pekerja tetap yang lain. Ekonomi gig melahirkan ramai digital nomad yang merujuk kepada mereka yang bekerja tetapi tidak ada pejabat yang tetap. Kebanyakan digital nomad di seluruh dunia merantau dan menjejalah dunia di samping melakukan tugasan-tugasan gig dari lokasi sementara mereka.

Konsep ‘terapung’ ini memudahkan pekerja dan majikan kerana asalkan kerja siap, mereka akan dibayar mengikut kadar yang dipersetujui. Malaysia juga memberikan insentif kepada pekerja digital nomad untuk memasuki negara ini melalui visa program De Rantau. Mereka yang terlibat perlu ada kemahiran dalam bidang-bidang IT yang seperti UX, UI, keselamatan Siber, rantaian blok, kecerdasan buatan dan sebagainya. Visa De Rantau akan diberikan selama 3-12 bulan kepada pekerja digital nomad untuk membolehkan mereka bekerja di negara ini. 

Ekonomi gig tidak tertumpu kepada perkhidmatan e-hailing atau p-hailing sahaja. Mereka yang berkemahiran tinggi juga mempromosikan perkhidmatan secara gig untuk memberikan mereka autonomi dalam kerja. Semakin negara maju ke hadapan, semakin ramai yang akan menceburkan diri dalam aktiviti ekonomi gig kerana ianya memberikan kebebasan dalam kehidupan yang sering didambakan.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑