Teks Khutbah Jumaat: Kesatuan Menjamin Kemakmuran

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita dilimpahkan keberkatan, kerahmatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Marilah kita menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk: “Kesatuan Menjamin Kemakmuran”.

Sebagai peringatan kita bersama, istiqamahlah dan tetapkan pendirian dalam melakukan amal ibadah dan amalan yang membawa ketaatan, imarahkan rumah-rumah Allah melalui solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti kuliah-kuliah pengajian bagi meningkatkan ilmu pengetahuan. Di samping itu, didiklah ahli keluarga tanpa jemu khususnya anak-anak untuk mendirikan solat, mempelajari dan menghayati al-Quran serta mengikuti kelas-kelas pengajian agama. 

Laksanakanlah amar makruf dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) dan suburkan hubungan persaudaraan sesama kita. Para jemaah juga diingatkan supaya memberikan tumpuan semasa khatib menyampaikan khutbah dan tidak menggunakan telefon atau berbual-bual. Berikanlah sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan. Semoga kita beroleh rahmat dan berkat daripada Allah SWT.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Kemakmuran hidup yang diidamkan dan segala kebaikan, rezeki, hasil-hasil serta kesenangan adalah keperluan setiap insan. Demikian juga makmur adalah gambaran perihal kesejahteraan, keamanan, kebebasan, kerukunan dan limpahan rezeki dalam kehidupan di sesebuah penempatan. Tentu sahaja ia merupakan impian hidup kita semua. 

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana Negara Malaysia dianugerahi aman, damai dan harmoni. Kita dapat menikmati kemakmuran dan keselesaan kerana limpah kurnia Maha Pemurah Allah SWT sebagaimana yang diberikan kepada penduduk negeri Saba’ menerusi firman-Nya di dalam surah Saba’, ayat 15 yang dibacakan tadi yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya, (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.”

Bayangkanlah, betapa sukar jika berada dalam situasi peperangan, huru hara tidak berkesudahan, pastinya kita hidup dalam keadaan tertekan penuh penderitaan, segala-galanya dirasakan gelap dan hilang arah tujuan.

Begitulah situasi yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di negara-negara yang bergolak. Negara Madinah dan para penduduknya adalah model unggul yang perlu kita teladani dalam memupuk kecintaan terhadap tanah air. Bermula dengan semangat persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar sehinggalah termeterainya Piagam Madinah menjadi asas penting kepada keharmonian dan kemakmuran negara biarpun dihuni dengan pelbagai bangsa dan keturunan. Sesungguhnya perpaduan sangat penting bagi memastikan kelangsungan kehidupan masyarakat dan negara.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Sesungguhnya Islam merupakan agama yang mencintai kedamaian. Setiap muslim bertanggungjawab membawa mesej Islam melarang umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman dan sebagainya. Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan negara.

Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan keharmonian dan keamanan, peliharalah diri, elakkan diri dan janganlah kita melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan persaudaraan dan perpaduan kaum. Jangan kita pula yang menjadi penyebab membuat provokasi, pertikaian dan pergaduhan. Ingatlah, perbuatan tersebut tidak akan dapat memberi apa-apa kebaikan, bahkan mengundang sikap benci, fitnah-menfitnah dan sangkaan buruk yang berpanjangan. 

Firman Allah SWT di dalam surah Fussilat, ayat 34 yang bermaksud: 

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Bagi menjaga keharmonian, perpaduan dan kemakmuran negara, perkara-perkara yang perlu difahami oleh setiap masyarakat ialah konsep taaruf iaitu saling berkenalan antara kaum dan etnik di negara ini, tafahum iaitu saling memahami dan ta’awun iaitu saling membantu sebagai tanda kasih sayang. Kewujudan pelbagai agama, kaum dan bangsa janganlah dijadikan penghalang dan alasan untuk kita hidup dengan aman dan harmoni.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Kesatuan umat Islam sememangnya menjadi benteng dalam memelihara ketinggian agama Islam. Rasulullah SAW mengajarkan kita bahawa perpaduan merupakan asas kepada kejayaan masyarakat dan negara.

Baginda SAW juga telah berjaya mewujudkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kabilah dan agama menerusi pengamalan nilai toleransi, sikap saling menghormati, bekerjasama dan bantu-membantu. Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Nu’man bin Basyir Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti satu jasad. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan jasad tidak dapat tidur serta demam.”

Justeru, ayuh! kita mengeratkan lebih kuat dan kukuh tautan antara anggota masyarakat. Jalinkan kebersamaan, kemesraan dan kasih sayang tidak kira latar belakang agama, bangsa, kaum dan warna kulit. Hindarkan segala perkara yang boleh memudaratkan keharmonian seperti sikap prejudis, perkauman dan saling menghina lebih-lebih lagi melalui hantaran dan komentar di media-media sosial tambahan pula dalam suasana bahang pilihan raya di beberapa buah negeri di Malaysia. Tunjukkan akhlak mulia sebagai muslim sebenar lebih-lebih lagi di hadapan golongan bukan Islam.

Sentiasalah berlapang dada dan bertolak ansur menjalani kehidupan. Marilah kita bersatu padu dan berganding bahu dalam membasmi segala anasir yang boleh menggugat kestabilan dan kemakmuran negara. Semoga Allah SWT mengurniakan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian yang berpanjangan kepada negara kita.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Negara Madinah dan para penduduknya adalah model terbaik dan tepat yang perlu kita teladani dalam memupuk kecintaan terhadap tanah air.

Kedua: Konsep ta’aruf iaitu saling berkenalan antara kaum dan etnik di negara ini, tafahum iaitu saling memahami dan ta’awun iaitu saling membantu sebagai tanda kasih sayang.

Ketiga: Jalinkan kebersamaan, kemesraan dan kasih sayang tidak kira latar belakang agama, bangsa, kaum dan warna kulit serta hindarkan segala perkara yang boleh memudaratkan keharmonian.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 22 yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”.

Tarikh Dibaca: 24 Muharam 1445H/11 Ogos 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑