Oleh Mymuslimin.com
Setiap negara mempunyai sukan unik mereka tersendiri. Di Malaysia, sebagai contohnya, kita ada sukan sepak takraw dan silat, di Indonesia pula terdapat sukan tunggang kerbau dalam selut, manakala di Finland wujudnya sukan mengangkat isteri sendiri!
Kali ini Mymuslimin.com menyenaraikan 5 sukan unik Timur Tengah yang masih diamalkan hingga kini.
1. Gusti Minyak

Gusti minyak telah popular di kalangan masyarakat purba sekitar 4,500 tahun dahulu di negara Thrace dan Balkan. Ketika Empayar Uthmaniyyah meluas ke Eropah, pertandingan gusti minyak telah diadakan dengan penuh istiadat, dan di zaman ini gusti minyak masih amat popular di Turkiye. Tidak seperti gusti Olimpik, perlawanan gusti minyak dimenangi dengan mencapai pegangan kispet (seluar gusti), yang diperbuat daripada kulit kerbau dengan berat sepasang kispet 13kg, dengan berkesan.
Ahli gusti menyapu minyak zaitun di keseluruhan badan mereka agar badan mereka menjadi licin dan tidak dapat ditangkap atau dipegang oleh pihak lawan. Ahli gusti akan cuba untuk meletakkan tangan mereka melalui kispet lawan mereka sebanyak mungkin. Kispet ini diikat dengan rapi untuk menyukarkan pihak lawan untuk meletakkan tangan atau lengan mereka. Ahli gusti yang berjaya meletakkan tangannya melalui kispet lawannya, dan boleh mengawalnya dengan baik dan memegang dari hujung bawah seluarnya akan muncul sebagai pemenang. Hadiah yang ditawarkan untuk pemenang gusti minyak ini boleh mencecah 100 ribu Dollar Amerika dan pemenang 3 tahun berturut-turut juga dikalungkan dengan tali pinggang emas tulen seberat 1.5kg.
2. Falconry

Falconry ialah sejenis sukan yang menggunakan burung helang yang dicetuskan lebih kurang 2000 tahun lalu, berasal dari negara-negara Timur Tengah. Pada asalnya falconry diamalkan untuk mencari sumber makanan untuk keluarga termasuk memburu arnab dan burung houbara. Namun sekarang, falconry bukan sahaja popular di Timur Tengah, tetapi juga di seluruh dunia.
Sukan Falconry ini memerlukan kesabaran, kemahiran dan keberanian untuk menjinakkan, menangkap dan melatih burung helang liar. Pengendali helang atau dikenali sebagai falconer mempunyai kemahiran memburu semula jadi dan dia melatih seekor burung helang untuk memburu bersamanya.
Kerana sukan ini bukan sahaja tertumpu di Timur Tengah, terdapat pelbagai variasi dalam gaya pemburuan berdasarkan undang-undang negara, spesies helang dan jenis rupa bumi yang tersedia untuk burung helang memburu. Hari ini, di bandar-bandar besar Timur Tengah seperti Dubai, falconer tidak lagi dibenarkan memburu. Falconry telah berubah daripada cara berburu untuk mencari makan kepada acara sukan, dan sekarang burung helang dijinakkan dan dibeli daripada peniaga yang mempunyai permit yang dikeluarkan oleh kerajaan.
3. Lumba Unta

Lumba unta wujud semenjak abad ke-tujuh lagi. Ini bukanlah sukan formal pada mulanya dan ia hanya dimainkan ketika perkahwinan atau pada hari istimewa keluarga sekadar untuk berlibur. Sukan lumba unta ini cukup popular di Emiriah Arab Bersatu, Bahrin dan Jordan.
Unta bukanlah binatang yang terkenal dengan kelajuannya, tetapi sebenarnya kepantasannya menghampiri kepantasan seekor kuda! Bermula daripada sekadar suka-suka, sukan lumba unta sekarang sudah melibatkan pertaruhan besar dengan hadiah wang tunai mencecah jutaan ringgit kepada pemenangnya!
Kontroversi lumba unta ini tercetus apabila joki yang digunakan ialah kanak-kanak kerana mereka memerlukan joki yang ringan, dan kemalangan lumba unta boleh menyebabkan kecederaan teruk ke atas jokinya.
4. Sukan Memanah

Walaupun memanah mula digunakan pada Zaman Batu – sekitar 20,000BC – kaum terawal yang diketahui kerap menggunakan busur dan anak panah ialah orang Mesir Purba, yang mengamalkan memanah sekitar 3,000BC untuk memburu dan berperang. Di China, bukti terawal memanah bermula pada Dinasti Shang – 1766-1027BC.
Memanah bukan semata-mata sukan biasa, sebaliknya ia menjadi antara sunnah yang dituntut kepada umat Islam untuk mempelajarinya. Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian (belajar) memanah kerana ia sebaik-baik permainan.” (HR Bazzar dan Tabarani) Selain digunakan untuk memburu, pemanah yang baik juga adalah aset kepada pasukan tentera.
Selama lebih 40 tahun, Korea Selatan telah muncul sebagai juara memanah di Sukan Olimpik dan pemanah nombor 1 dunia ialah Mike Schlesser seorang atlit dari Belanda. Walau bagaimanapun, tiada warga dari Timur Tengah yang mengungguli sukan memanah ini di peringkat antarabangsa.
5. Lumba Saluki

Perlumbaan anjing Saluki telah diamalkan di Semenanjung Arab selama beratus-ratus tahun kerana baka anjing Saluki mempunyai kelajuan luar biasa! Saluki ialah baka anjing seperti Greyhound yang memburu menggunakan penglihatan dan bukan melalui deria bau. Pada tahun 1996, The Guinness Book of Records menyenaraikan Saluki sebagai anjing paling pantas, mencapai kelajuan 68.8 km/h (42.8 mph).
Kaki anjing Saluki mempunyai lapik tebal dan ianya dapat menyerap kesan larian pada badannya dan membuatkan Saluki mempunyai stamina yang luar biasa apabila berlari dan boleh berlari selama 3 batu tanpa henti. Dan sekarang, seperti juga lumba unta, lumba Saluki juga sangat popular di beberapa negara di Timur Tengah dengan penawaran hadiah yang lumayan kepada pemenangnya.
Leave a comment