Jibby Chow menghidangkan sajian tradisional kaum Cina dengan persembahan kontemporari, memberi suasana mesra yang sesuai untuk perhimpunan keluarga dan teman taulan. Jibby Chow merupakan jenama rangkaian restoran kumpulan Serai yang terkenal di Lembah Klang dengan kualiti dan perkhidmatannya yang cemerlang.

Restoran ini terletak di sudut pusat membeli-belah Bangsar Village II. Dekor Jibby Chow tidak kelihatan seperti restoran Cina tipikal dengan pemilihan warnanya yang lembut, pencahayaan dan susun atur tempat duduknya juga menarik dan eksklusif. Tetapi, dari segi menu, tidak syak lagi restoran ini memang sarat masakan Cina dengan pelbagai pilihan Dim Sum, ladu, nasi goreng, sajian itik, nasi ayam Hainan, beraneka jenis sup, tofu, masakan makanan laut, daging, ayam, dan bermacam-macam lagi.

Untuk pembuka selera, kami mencuba Grilled Calamari Salad, salad ringkas dengan kombinasi sayur anak bayam, kobis cina, timun, tomato ceri, bawang merah jeruk dan hirisan sotong bakar. Salad ini sedap dan ringan untuk dinikmati sementara menunggu hidangan utama sampai ke meja. Taburan gegelung bawang merah jeruk yang masam dan tajam membuka semua deria rasa, bersedia untuk menikmati hidangan seterusnya.

Kami memulakan hidangan utama dengan Nasi Itik (RM35) yang didatangkan dengan nasi, itik bakar, sayur kailan, sup ladu dan sos. Jibby Chow terkenal dengan masakan itik yang baik, lembut dan berperisa.

Hidangan kedua pilihan kami ialah Chow Linguine Buttermilk Salted Egg Yolk Carbonara (RM30). Hidangan fusion pasta ini menggabungkan masakan cina popular, Buttermilk Telur Asin, dengan cara masakan Itali, sos karbonara menggunakan pasta linguini. Sekeping ayam goreng rangup disajikan di tengah-tengah hidangan pasta ini. Ayam gorengnya cukup garing walau bahagian bawahnya sedikit ‘terendam’ dalam sos karbonara. Hidangan ini sesuai untuk kanak-kanak kerana ianya tidak pedas.

Hidangan utama paling menarik pula ialah Mongolian Style Australian Lamb Ribs (RM56). Di mana hendak bermula? Segala-gala tentang hidangan ini sempurna! Tulang rusuk lembut diadun dengan sos stail Mongolia dan dipadankan dengan jeruk cili merah serta riben timun untuk memberi sedikit kesegaran kepada palet anda selepas menikmati hidangan yang ‘kaya rasa’ ini. Sajian ini benar-benar melangkaui jangkaan kami!
Jibby Chow juga menyediakan bervariasi pemanis mulut seperti puding, ais kisar dan penkek kacang merah.
Harga di Jibby Chow sedikit tinggi berbanding restoran biasa tetapi berbaloilah dengan suasana, kualiti makanan dan perkhidmatan pelanggannya yang sangat memuaskan. Restoran ini sesuai sekali dikunjungi untuk merayakan hari-hari istimewa bersama keluarga dan teman-teman.
Jibby Chow @ Bangsar Village II
4, Jln Telawi 4, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Buka: 10 am – 10 pm setiap hari
Leave a comment