3 Keputusan Penting Pasangan Muda

Oleh Mymuslimin.com

Pasangan muda yang baru mendirikan rumahtangga akan berhadapan dengan cabaran-cabaran hidup bersama. Setelah sekian lama hidup sendiri atau bersama ibu bapa, kehidupan seharian akan berubah sejurus selepas melafaz akad nikah kerana yang mengemudi segalanya ialah kamu berdua. 

Pengurusan kewangan, pengurusan operasi kediaman dan pengurusan keluarga merupakan perkara yang perlu jelas bagi kedua-dua pihak. Untuk mengurangkan tekanan rumahtangga yang baru dibina, 3 keputusan penting perlu diambil oleh pasangan muda di awal perkahwinan supaya semuanya jelas dan tidak cacamarba.1 

Membeli Rumah Atau Menyewa

Dengan harga kediaman yang semakin melambung di bandar-bandar besar, kebanyakan pasangan muda memilih untuk menetap bersama ibu bapa selama beberapa bulan atau beberapa tahun sebelum mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal berasingan.

Persoalannya, perlu atau tidak untuk membeli rumah atau lebih baik menyewa sahaja? Kos membeli kediaman di Lembah Klang sangat tinggi dan menyebabkan ramai di kalangan pasangan muda yang bergaji biasa-biasa tidak mampu untuk memiliki rumah di awal perkahwinan mereka. 

Sumber: iProperty.com

Secara idealnya semua orang inginkan rumah sendiri. Di dalam masyarakat Tionghua sebagai contohnya, pasangan muda digalakkan memiliki rumah sebelum berkahwin kerana bagi mereka, rugi membayar sewa kerana akhirnya mereka tidak memperoleh apa-apa. Namun, untuk memastikan tiada bebanan kewangan yang berat kepada pasangan muda, menyewa ialah pilihan yang lebih rasional. Walaupun begitu, ini tidak bermakna pasangan perlu terus menyewa sehingga tua. 

Pasangan muda boleh membuat perancangan awal untuk memiliki rumah dengan menentukan di mana lokasi, berapa bajet yang dipersetujui dan bila untuk memulakan proses mencari dan membeli rumah sendiri. Tanpa perancangan ke arah itu, pembelian besar tidak mungkin terjadi sekelip mata. 

Menurut iProperty.com Malaysia, kos membeli akan menjadi lebih murah berbanding menyewa selepas 8 tahun pembelian sesebuah rumah. Oleh itu, perancangan untuk membeli perlu ada, dan usaha ke arah itu perlu dimulakan di tahun-tahun awal perkahwinan.2

Sumber: iProperty.com

Seandainya tidak mampu atau tidak berhajat untuk memiliki rumah, menyewa juga bukanlah pilihan yang merugikan kerana akhirnya anda tidak dibebani dengan hutang besar sepanjang hidup. Tepuk dada, tanya selera dan berbincanglah. 

Akaun Asing Atau Akaun Gabungan

Topik kewangan dalam perkahwinan ini sangat penting kerana banyak perkahwinan yang gagal kerana kurang kemahiran mengurus kewangan. Kerana cinta yang mendalam terhadap satu sama lain, ada pasangan yang mengambil keputusan untuk menggabungkan akaun mereka dan bergerak sebagai satu unit keluarga sebaik sahaja memeterai perkahwinan.

Ada kelebihan membuka akaun gabungan kerana kedua-duanya suami isteri tahu pergerakan duit dan perancangan boleh dibuat sebaik mungkin dengan jumlah dana keluarga yang ada. Namun, masalah akan mula timbul apabila pembelian atau perbelanjaan seseorang melebihi seorang yang lain. Pendek kata, apabila seorang boros dan seorang lagi berjimat. Ketidakpuashatian ini akan bertambah apabila seorang menyumbang lebih berbanding yang lain. 

Di dalam Islam, suami juga tidak boleh membelanjakan duit hasil usaha isteri sewenang-wenangnya tanpa persetujuan empunya badan, dan isteri juga tidak boleh membelanjakan duit suami sesuka hati hanya kerana suami mampu. 

Semua perbelanjaan dalam akaun gabungan adalah telus dan tiada istilah pembelian sendiri-sendiri. Secara teorinya apabila seseorang telah berkahwin, tiada apa yang hendak dirahsiakan tetapi realitinya, ada benda yang ingin dibeli tanpa pengetahuan pasangan kita. 

Oleh itu, berbincanglah dan fikirlah panjang-panjang sebelum membuat keputusan berkait hal kewangan kerana ini berpotensi mencetus masalah yang besar jika terdapatnya perselisihan. 

Anak Secepat Mungkin Atau Anak Tangguh Dahulu

Datuk nenek sememangnya kalau boleh ingin menimang cucu secepat mungkin tetapi pasangan muda juga perlu mempunyai perancangan dalam hal membina keluarga. Jika seorang okay dan seorang lagi tidak mahu secepat mungkin, ini akan mencetus masalah. 

Pasangan muda selalunya ialah mereka yang baru memulakan kareer dan sekiranya kerjaya itu menuntut komitmen yang tinggi, mempunyai anak sejurus selepas perkahwinan mungkin akan menyulitkan keadaan. 

Islam menggalakkan pasangan untuk tidak merancang keluarga, tetapi jika terdapat masalah atau kekangan yang akan memudharatkan perkahwinan tersebut, perlulah dipertimbangkan untuk merancang keluarga dengan iktikad bahawa jika Allah SWT kehendaki, dan tetap mendapat anak, maka itu adalah rezeki, hadiah dan amanah daripada-Nya.3 

Doktor muda yang baru berkhidmat contohnya, begitu terikat dengan jadual yang padat. Oleh itu, adalah agak sukar untuk mengimbangi kerjaya, perkahwinan baharu dan bayi dalam satu masa. Pasangan yang berpendapatan rendah dan bergelut dengan cabaran kehidupan seharian juga boleh menangguhkan dahulu untuk mencari rentak dalam kehidupan. 

Sebaiknya, berbincanglah dengan pasangan masing-masing tentang ketersediaan untuk menimang cahayamata dan bilangan anak yang diinginka kerana kesuburan wanita itu sendiri mempunyai tetingkap yang terhad masanya. Sekali lagi, perlu ditekankan di sini bahawa anak itu anugerah dan amanah Allah SWT dan jika ditakdirkan mengandung, jangan sesekali disia-siakan dengan cara yang tidak dibenarkan agama. 

Kesimpulannya, setiap perkahwinan yang dibina perlu utuh tiangnya dan mampu bertahan sehingga ke hujung hayat. Perbincangan dan keputusan-keputusan besar perlu diperhalusi oleh kedua-dua suami dan isteri dalam merencanakan perjalanan kehidupan bersama. 

Rujukan:

  1. Definisi perkataan: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=cacamarba ↩︎
  2. https://www.iproperty.com.my/guides/should-buy-or-rent-property-malaysia-30437 ↩︎
  3. Hukum Perancangan Keluarga: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1784-hukum-perancagan-keluarga ↩︎

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑