Menjelang Merdeka: 5 Fakta Menarik Tentang Malaysia 

Oleh Mymuslimin.com

Kurang 15 hari lagi, warga Malaysia di tanahair dan di seluruh dunia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66 pada 31 Ogos 2023. Malaysia dikenali sebagai sebuah negara berbilang kaum yang mempunyai pelbagai resam dan budaya. Walaupun Malaysia hanya bersaiz sebesar New Mexico atau hanya 82% saiz bandar California di Amerika, banyak juga pencapaian hebat yang telah dicapai semenjak penubuhannya. Mymuslimin.com menyenaraikan 5 fakta menarik yang mungkin anda tidak tahu tentang negara tercinta, tanah tumpah darah kita ini.

1. Semenanjung Malaysia dikenali sebagai Aurea Chersonesus  

Semenjung Malaysia dalam peta dunia Claudius Ptolemy (Sumber: Wikipedia)

Sebelum negara ini diberi nama Malaya atau Malaysia, kita dikenali sebagai  Aurea Chersonesus (o-ria cher-sen-ses) yang bermaksud “Semenanjung Emas”. Nama ini telah diberi oleh ahli geografi Yunani Claudius Ptolemy pada 150 sebelum Masihi di dalam atlas dunia.

Semenanjung kita dilihat sebagai pengeluar emas di zaman dahulu, dan lombong emas juga ada disebut di kurun ke-17 oleh penulis Portugis bernama Godinho de Erédia. Nasib baiklah nama negara kita ditukar kepada Malaysia kerana terbelit lidah untuk menyebut Aurea Chersonesus

2. Bendera Malaysia direka oleh seorang arkitek!

Ukuran Jalur Gemilang (Sumber: Wikipedia)

Untuk menggantikan bendera Malayan Union, pada tahun 1963 Persekutuan Malaysia telah mengadakan peraduan mereka cipta bendera baharu. Mohamed bin Hamzah yang berusia 29 pada ketika itu, seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya di Johor Bahru telah memenangi pertandingan tersebut dan itulah bendera yang kita guna sehingga kini. 

Mohamed bin Hamzah, pencipta Jalur Gemilang (Sumber: Wikipedia)

Bendera Malaysia kemudiannya telah diberi nama spesifik iaitu Jalur Gemilang pada malam 31 Ogos 1997 oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

3. Ringgit bermakna rigi-rigi

Nota 1000 Ringgit Pernah Dikeluarkan BNM (Sumber: Galeri Sha Banknote)

Matawang negara Malaysia ialah ringgit yang membawa makna gerigi atau rigi-rigi. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, [ring.git] | ريڠݢيت gerigi atau rigi-rigi (pd tepi roda pemetik api dll); beringgit, beringgit-ringgit bergerigi, be­rigi-rigi; meringgiti membuat ringgit-ringgit (pd besi dll); besi baik diringgiti prb perihal sesuatu yg sudah baik dibaiki lagi.

Perkataan ini merujuk kepada rigi-rigi yang terdapat di tepi dolar perak Sepanyol. Matawang ini digunakan oleh mereka pada kurun ke 16 dan 17.  Pada Jun 1967, Bank Negara mula menggunakan Dolar Malaysia untuk menggantikan matawang sebelumnya, dan Ringgit diisytihar sebagai nama rasmi matawang Malaysia pada Ogos 1975.  

4. Masa Semenanjang telah diselaras 8 kali!

Siapa sangka waktu yang kita guna sekarang sudah diselaras sebanyak 8 kali! Sebelum 1880, semenanjung Tanah Melayu mengikut waktu tempatan di Kuala Lumpur, 6j 46m 48s lebih cepat daripada GMT. Kemudian, waktu di semenanjung Malaysia mengikut waktu Singapura. Selepas 31 Mei 1905, apabila dijajah oleh British, waktu semenanjung dipiawaikan  ke +7:00 GMT dan dikenali sebagai Waktu Malaya. Selepas 1932, waktu dipercepatkan 20 minit untuk memanjangkan waktu siang (daylight saving time) menjadi +7:20 GMT. Bermula 1 September 1941, waktu dipercepatkan lagi 10 minit menjadi +7:30 GMT.

Pada 1942, waktu diselaraskan mengikut waktu Tokyo disebabkan pendudukan Jepun di Tanah Melayu, menjadi +9:00 GMT. Bermula 13 September 1945, waktu diselaraskan semula sama seperti 1941, menjadi +7:30 GMT. Dan akhirnya pada 1 Januari 1982, waktu dipercepatkan 30 minit untuk diseragamkan dengan waktu Sabah dan Sarawak, menjadi +8:00 GMT yang dipanggil ‘Waktu Piawai Malaysia’. 

5. Lagu ‘Negaraku’ bukan asal dari sini

Lagu “Mamula Moon” nyanyian kumpulan Felix Mendelssohn & His Hawaiian Serenaders ada persamaan dengan melodi “Negaraku”

Lagu “Negaraku” telah dipilih daripada lagu rasmi negeri Perak yang berasal daripada Pulau Mahé di Kepulauan Seychelles. Lagu ini telah dibawa pulang oleh Sultan Abdullah setelah Baginda selesai menjalani hukuman dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles. Lagu ciptaan penggubah Perancis, Pierre Jean de Beranger ini, kemudiannya telah diberikan seni kata baru dan dinamakan “Allah Lanjutkan Usia Sultan”, dan seterusnya dijadikan lagu rasmi Negeri Perak Darul Ridzuan.

Kemudian lagu ini telah dipilih menjadi lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu oleh jemaah hakim yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 5 Ogos 1957, dan ianya menjadi lagu kebangsaan yang kita banggakan sehingga ke hari ini.

Satu lagi lagu yang mempunyai persamaan dengan lagu ‘Negaraku’ ialah lagu ‘I Shall Return’ nyanyian Anne Shelton pada tahun 1953.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑