ASMAUL HUSNA – AL-MUQADDIMU (Yang Maha Mendahului)

Asmaul Husna yang ke-71 ialah Al-Muqaddimu yang bererti Tuhan Yang Maha Mendahulukan. Dia yang paling berhak mendahulukan sebahagian dari segala perkara dan mengakhirkan sebahagian dari perkara yang lain. Bahkan Allah SWT meletakkan suatu itu pada tempatnya. 

Misalnya, dalam sekumpulan penuntut yang mempelajari dan mendalami ilmu, tetapi hanya seorang daripada mereka yang begitu cepat memahami ilmu yang diajarkan kepadanya. Begitu cepat mengingat segala fakta ilmu sehingga akhirnya dia lebih awal menjadi tokoh ilmuan atau ulama.

Allah SWT yang menjadikan penuntut itu mendahului rakan-rakannya menjadi tokoh ilmuan atau ulama. Walaupun mereka pernah seangkatan dalam pengajian tetapi salah seorang daripadanya telah menghabiskan masa belajar dengan cepat dan mencapai tahap sebagai ulama mendahului rakan-rakannya.

Kecerdikan dan kepintaran pelajar itu bukan semata-mata kerana usahanya sendiri, tetapi Allah SWT yang menjadikan fikiran dan mindanya cerdas, lebih daripada pelajar yang lain.

Begitu juga kuasa yang menjadikan para penuntut yang lain agak terkebelakang berbanding penuntut yang paling berjaya. Itu terjadi dengan kuasa Tuhan yang menamakan diri-Nya Al-Muqaddimu. Tuhan yang mendahulukan seorang penuntut lebih awal mencapai tahap sebagai ulama. Tuhan yang mendahulukan orang-orang yang soleh mencapai keredaan-Nya.

Di dunia ini manusia akan berhadapan dengan dua keadaan, iaitu berdepan dengan orang-orang yang soleh dan juga dengan puak-puak yang memusuhi Allah SWT ataupun memusuhi hukum dan peraturan Allah SWT. Orang-orang mukmin semestinya mengambil ikhtibar daripada sifat Tuhan yang Al-Muqaddimu itu, dengan mendahulukan pendapat atau apa sahaja daripada orang-orang mukmin yang soleh dalam segala urusan.

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑