Teks Khutbah Jumaat: Kukuhkan Perpaduan Erat Persaudaraan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan mematuhi setiap suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan rahmat serta reda-Nya sentiasa mendampingi kita di dunia mahu pun di akhirat.

Marilah kita menghayati khutbah pada hari ini yang bertajuk: “Kukuhkan Perpaduan Erat Persaudaraan”.

Sebagai peringatan kita bersama, istiqamahlah dan tetapkan pendirian dalam melakukan amal ibadah dan amalan yang membawa ketaatan, imarahkan rumah-rumah Allah melalui solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti kuliah-kuliah pengajian bagi meningkatkan ilmu pengetahuan. Di samping itu, didiklah ahli keluarga tanpa jemu khususnya anak-anak untuk mendirikan solat, mempelajari dan menghayati al-Quran serta mengikuti kelas-kelas pengajian agama. Laksanakanlah amar makruf dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) dan suburkan hubungan persaudaraan sesama kita.

Para jemaah juga diingatkan supaya memberikan tumpuan semasa khatib menyampaikan khutbah dan tidak menggunakan telefon atau berbual-bual. Berikanlah sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan. Semoga kita beroleh rahmat dan berkat daripada Allah SWT.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Akidah Islam telah menyatukan kita sebagai saudara seagama. Tidak kira warna kulit, bangsa, bahasa dan latar belakang, kita telah bernaung di bawah kekuasaan Tuhan yang Esa, mendapat petunjuk daripada kitab al-Quran dan menerima didikan tarbiah Islam daripada seorang rasul yang sama. Kita bersujud ke arah satu kiblat yang sama. 

Namun, tidak dinafikan, manusia sentiasa mempunyai perbezaan pendapat dan pandangan.

Ini merupakan lumrah kehidupan yang mustahil dapat kita elakkan. Sesungguhnya amat tidak wajar sekiranya perselisihan sesama umat Islam terus dipanggang di atas bara persengketaan sehingga menghanguskan ikatan persaudaraan umat ini. Kerana itu Islam memberikan panduan kepada kita agar tidak berlebih-lebihan dan berpada-pada dalam menegakkan pandangan masing-masing dan mengamalkan sikap berlapang dada serta meraikan mereka yang tidak sehaluan bagi memelihara keharmonian yang lebih utama.

Janganlah kerana sengketa, kita membuka aib peribadi sesama saudara dan menabur fitnah sehingga menjatuhkan maruah sesama kita. Perpecahan yang terzahir hanya akan menampakkan keburukan dan kelemahan umat Islam sendiri.

Allah SWT telah mengingatkan menerusi surah al-Anfal, ayat 46 yang dibacakan di permulaan khutbah tadi yang bermaksud:

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, janganlah kamu berbantah-bantahan kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu serta sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta golongan yang sabar.”

(Surah Al-Anfal 8:46)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Berbicara mengenai suasana semasa negara kita, isu politik begitu hangat dibincangkan di mana sahaja. Ada perkara berkaitannya yang menjadi penyatuan umat, namun tidak sedikit yang menjadi medan percakaran sesama sendiri. Meskipun ianya merupakan kebebasan yang dijamin perlembagaan, namun percakaran dan persengketaan tersebut merebak pula ke dalam urusan-urusan lain.

Hubungan kekeluargaan dan persahabatan wajib dipereratkan, damaikanlah saudara-saudara kita yang seteru yang sebelum ini bermusuhan dan kukuhkan semula jaringan sesama warga agar dapat membina semula persaudaraan dan kestabilan negara menuju kejayaan.

Mimbar yakin, dengan kebijaksanaan setiap warga Malaysia, apa jua perbezaan yang menjadi benteng penghalang perpaduan, mampu diurus dengan baik dan mengelakkan persengketaan yang berpanjangan. Sedarlah, fasa berkempen dan bertanding telah berakhir, maka kini adalah fasa berkhidmat dan melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara demi negara tercinta.

Begitu juga dalam meraikan perbezaan kefahaman dalam perkara-perkara cabang dan furu’ fiqh dan menjadi perselisihan pendapat dalam kalangan ulama’. Kefahaman yang berbeza dan wujud dalam kalangan umat Islam kadang kala menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan.

Cacian, pembohongan, ‘batu api’ yang melagakan dan fitnah yang berhamburan telah menyebabkan krisis sesama umat Islam ini sehingga sukar untuk bertemu titik penyelesaian dan perdamaian. Bagi meredakan suasana yang tidak harmoni ini, mimbar menasihatkan agar ikutlah suasana dan pegangan fiqh setempat yang telah disepakati oleh para mufti kita. Hormati pandangan fiqh yang berbeza selagi mana terdapat dalil dan hujah yang diperakui oleh ulama’ muktabar.

Selain itu, hentikanlah perbuatan saling melabelkan dengan nama yang buruk untuk menghina pandangan lain yang tidak sehaluan. Berakhlak dan bertakwalah, semoga perbezaan yang ada menjadi medan rahmat, bukan sebaliknya.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Contohilah Rasulullah SAW dan para sahabat, suasana harmoni dan saling menyayangi sesama umat ternyata wujud dalam sistem sosial di bawah pimpinan Baginda SAW. Mereka tidak bermusuhan sesama sendiri sebaliknya sanggup berkorban harta, malah nyawa demi menjulang nilai akhlak Islam iaitu hubungan baik sesama Muslim.

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis, daripada Anas bin Malik Radiallahu’anhu , bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Janganlah kamu saling benci-membenci, saling dengki-mendengki dan saling bermusuhan, jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Keakraban hubungan sesama Muslim tidak bermaksud golongan bukan Islam perlu dimusuhi. Islam juga tidak menyuruh persengketaan dengan golongan tersebut selagi mereka tidak memusuhi Islam atau berusaha ke arah permusuhan. Hak seperti kepercayaan, nyawa, maruah dan harta mereka juga perlu dipelihara. Inilah antara rahmat Islam yang perlu dipertahankan dalam kehidupan masyarakat majmuk hari ini.

Hentikanlah persengketaan sesama umat Islam tanpa faedah yang hangat berlangsung dalam media sosial. Perbuatan saling menghina, saling merendahkan kedudukan, saling menyindir dengan sindiran melampau, serta saling mengeluarkan kata-kata tidak sopan semuanya adalah petanda keretakan yang boleh melemahkan hubungan sesama umat Islam. Setiap perkara pasti ada hadnya.

Justeru, usah jadikan perbezaan pandangan sebagai racun yang melemahkan ukhuwah Islamiah. Jadilah kita seperti kedua tangan. Apabila bersama mengangkat barang, kekuatan tercipta. Apabila sebelah tangan terluka, sebelah lagi mengubatinya. Usah jadi seperti kedua telinga, biarpun ada di kepala yang sama, namun tidak pernah bertemu dan apatah lagi membantu.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Perbezaan pandangan merupakan lumrah insan, namun sebagai manusia yang matang dan berakal fikiran, uruslah pergeseran tersebut agar tidak berpanjangan dan melahirkan persengketaan yang merugikan.

Kedua: Tampilkan akhlak yang mulia sesama manusia biarpun kepada bukan Islam seperti menjaga hak mereka dan bergaul dengan penuh kehormatan, mudah-mudahan suatu hari mereka akan tertarik untuk memeluk agama rahmat ini.

Ketiga: Persengketaan hanya mengundang derita dan permusuhan sebaliknya kasih sayang dan sikap berlapang dada pasti akan membuahkan keharmonian dan kebahagian hidup bermasyarakat.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah as-Syuura, ayat 8 yang bermaksud:

“Dan jika Allah menghendaki, tentulah Ia menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah (tidak merancang yang demikian bahkan Ia akan) memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan); dan orang-orang yang zalim tidak ada baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan dan pertolongan.”

(Surah As-Syuura 42:8)

Tarikh Dibaca: 1 Safar 1445H/18 Ogos 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑