Bayang-Bayang Bukti Kekuasaan Allah SWT

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Furqan ayat 45-46

أَلَمْ تَرَ إِلَىٰ رَبِّكَ كَيْفَ مَدَّ ٱلظِّلَّ وَلَوْ شَآءَ لَجَعَلَهُۥ سَاكِنًۭا ثُمَّ جَعَلْنَا ٱلشَّمْسَ عَلَيْهِ دَلِيلًۭا (٥٤) ثُمَّ قَبَضْنَـٰهُ إِلَيْنَا قَبْضًۭا يَسِيرًۭا (٤٦)

Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? Bagaimana la menjadikan bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika la kehendaki tentulah la menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu. Kemudian Kami tarik balik bayang-bayang itu kepada Kami, dengan beransur-ansur.”

(Surah Al-Furqan 25: 45-46)

Bayang-bayang merupakan satu kejadian yang dipengaruhi oleh putaran bumi dan matahari. Bayang-bayang mempunyai peranan dan pengaruh yang tersendiri terhadap kehidupan manusia dan alam seluruhnya.

Dalam Tafsir al-Maraghi, diterangkan bahawa jika Allah SWT menghendaki nescaya dijadikanNya bayang-bayang itu berada pada satu keadaan sahaja tanpa mengalami perubahan. 

Namun demikian, Allah SWT membuktikan pada manusia bahawa Dialah yang berkuasa menjadikan bayang-bayang itu berubah mengikut tempoh tertentu. Sejak zaman dahulu kala lagi manusia telah memperolehi manfaat dari kejadian bayang-bayang untuk dijadikan ukuran waktu.

Sebagai contoh, penduduk Mesir mencipta misalah iaitu suatu alat yang digunakan untuk mengukur waktu pada siang hari.

Sementara itu, penduduk di Semenanjung Tanah Arab pula mencipta mizwalah untuk tujuan mengetahui masa masuknya waktu untuk bersembahyang. Mereka mengatakan bahawa sembahyang Zohor wajib dilaksanakan jika bayang-bayang telah condong ke arah timur (Ahmad Mustafa al-Maraghi, h. 4876).

Dalam ayat yang seterusnya dinyatakan bahawa Allah SWT menerbitkan matahari sebagai tanda sehingga manusia dapat melihat menerusi pancaindera mata mereka akan kewujudan bayang- bayang. 

Demikian fitrah alam yang diciptakan oleh Allah SWT secara berpasang-pasangan. Keadaan cahaya dan juga kegelapan telah memungkinkan wujudnya bayang-bayang. Tanpa cahaya dari matahari, bayang-bayang tiada begitu jugalah sebaliknya jika tanpa kegelapan, manusia tidak berupaya untuk mengenali cahaya (Ahmad Mustafa al-Maraghi, h. 4876).

Dalam ayat 46 Allah SWT menyatakan bahawa pada waktu yang tertentu bayang-bayang itu wujud sedikit demi sedikit dengan terbitnya matahari, kemudian Allah SWT menghilangkan bayang-bayang tersebut secara perlahan-lahan sesuai dengan pergerakan matahari (Ahmad Mustafa al-Maraghi, h. 4876).

Semua yang berlaku itu adalah dalam Kekuasaan dan Pentadbiran Allah SWT Yang Maha Berkuasa.

Sesungguhnya kejadian bayang-bayang salah satu tanda kekuasaan Allah SWT yang jarang diperhatikan oleh manusia dalam kesibukan mereka menjalani kehidupan sehari-harian. Allah SWT menyatakan dalam ayat tersebut yang maksudnya: “dan jika la kehendaki tentulah la menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)“. 

Menurut Hamka dalam Tafsir al-Azhar- Juzuk 19, ayat di atas menyatakan bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk menghentikan perjalanan matahari dan kejadian bayang-bayang. Allah SWT juga memperingatkan manusia tentang pentingnya bayang-bayang dan keteduhan terhadap manusia.

Isu Saintifik

Kehadiran cahaya matahari menyebabkan bayang-bayang mula kelihatan dan memanjang ke arah barat. Menjelang tengahari bayang bayang menjadi semakin pendek manakala apabila menjelang petang bayang-bayang semakin beransur-ansur memanjang ke arah timur pula. Bayang-bayang membantu manusia dalam penetapan masa.

Tenggelamnya mahatari di ufuk barat dan menjelangnya suasana kegelapan malam menyebabkan bayang-bayang juga turut hilang. Akan tetapi kegelapan dan kesejukan malam yang mula menginjak seolah-olah memberikan keteduhan yang lebih menyeluruh sehingga jiwa manusia berupaya merasai kerehatan dan ketenteraman untuk tidur.

Ketika manusia bermusafir merentasi padang pasir yang luas terbentang dalam keadaan panas terik matahari, mereka amat memerlukan tempat untuk berteduh untuk berehat dan melepaskan lelah. Teduhan yang mereka gunakan biasanya terdiri daripada teduhan daripada pohon yang rendang atau daripada awan-awan yang menaungi daripada terik pancaran matahari.

Pengembaraan merentasi padang pasir mengambil masa yang lama menyebabkan musafir mengalami siang dan malam di kawasan terbuka yang beratapkan awan semata-mata. Perjalanan pada waktu siang menempuh panas yang terik menyebabkan pada waktu malamnya para musafir berhenti untuk berehat dan tidur. Setelah fajar menyinsing, suasana tenang dan hening pagi membuatkan tubuh kembali segar dan bertenaga.

Sumber: Mukjizat Bahasa & Sains al-Quran oleh Mohd Sukki Othman

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑