Menjelang Merdeka: Bibit 31 Ogos 1957

Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytihar tepat jam 930 pagi pada 31 Ogos 1957. Upacara Pemasyuran Kemerdekaan ini berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-Raja Melayu, tetamu-tetamu khas luar negara, anggota kabinet kerajaan persekutuan dan rakyat jelata.

Pada upacara yang bersejarah ini, wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri menandakan berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu.

Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra dan selesai sahaja pengisytiharan dibaca, YTM Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak 7 kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang hadir pada hari itu. 

Upacara itu kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’. Sebanyak 100 das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Duke and Duchess of Gloucester tiba di Stadium Merdeka untuk Upacara Pemasyuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, 31 Ogos 1957.

Upacara menurunkan Bendera Union Jack di Padang Kelab Selangor pada 30 Ogos 1957.

Barisan Jemaah Kabinet Pertama selepas Merdeka

Barisan Depan Dari Kiri: Abdul Aziz Ishak (Menteri Pertanian), V.T.Sambathan (Menteri Kesihatan), Dato’ Abdul Razak Hussein (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan), YTM Tunku Abdul Rahman Putra (Perdana Menteri), Kolonel Sir Henry Hau Shik Lee (Menteri Kewangan), Sulaiman Dato’ Abdul Rahman (Menteri Dalam Negeri dan Keadilan), Sardon Haji Jubir (Menteri Kerja, Pos dan Telekom)

Barisan Belakang Dari Kiri: Ong Yoke Lin (Menteri Buruh dan Kebajikan Masyarakat), Abdul Rahman Talib (Menteri Pengangkutan), Mohamed Khir-Johari (Menteri Pelajaran), Tan Siew Sin (Menteri Perniagaan dan Perindustrian), dan Bahaman Shamsuddin (Menteri Hasil-Hasil Bumi)

YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah dianugerahkan dengan gelaran ‘Bapa Kemerdekaan Tanah Air’ pada 29 Ogos 1957 sebagai mengenang jasa perjuangan Tunku dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajahan British. 

Sumber: Arkib Negara Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑