Allah SWT telah menjelaskan dalam Surah al-Qiyamah ayat 3-4:
أَيَحْسَبُ ٱلْإِنسَـٰنُ أَلَّن نَّجْمَعَ عِظَامَهُۥ (٣) بَلَىٰ قَـٰدِرِينَ عَلَىٰٓ أَن نُّسَوِّىَ بَنَانَهُۥ (٤)
Maksudnya: “Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).”
(Surah al-Qiyamah 75: 3-4)
Setelah berlakunya kematian, manusia akan berada di alam barzakh sementara menunggu datangnya kiamat. Apabila berlakunya kiamat, manusia keseluruhannya akan dihidupkan semula dan dibangkitkan untuk menerima pembalasan di atas apa yang telah dilakukan di atas dunia ini. Orang yang beriman dan beramal soleh akan mendapat ganjaran yang baik di akhirat manakala golongan yang kufur dan engkar akan mendapat pembalasan berupa azab sengsara.
Namun begitu, terdapat dalam kalangan manusia yang engkar terhadap peristiwa kebangkitan semula di Hari akhirat. Alasan mereka adalah apabila manusia itu mati, maka jasad dan tulangnya akan reput dan hancur. Justeru, bagaimana tulang yang hancur ini dapat hidup semula. Mereka lupa pada kekuasaan Allah yang menciptakan mereka daripada tiada kepada ada. Lalu, rasionalnya menghidupkan semula manusia lebih mudah daripada menciptakannya daripada kosong.
Dalam hal ini, Allah SWT telah menjelaskan dalam Surah al-Qiyamah ayat 3-4, melalui firman-Nya yang bermaksud: “Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).”
Isu Saintifik
Dalam ayat 3-4 Surah al-Qiyamah tersebut, Allah menjelaskan tentang kemampuan Allah SWT bukan sekadar mengumpulkan serta menghidupkan semula tulang-belulang orang yang telah mati, bahkan lebih hebat daripada itu pun Allah mampu melakukannya, iaitu menyusun semula jari-jemari mereka seperti sediakala. Sehubungan itu, didapati seolah-olah penyusunan jari jemari itu lebih sukar dan rumit berbanding dengan penyusunan tulang-belulang. Hal ini telah menarik perhatian bagi mereka yang mengamati isi kandungan ayat-ayat al-Quran.
Ayat al-Quran ini juga seolah-olah mengisyaratkan bahawa terdapat mukjizat yang hebat dalam penyusunan jari jemari manusia yang lebih besar daripada mengumpulkan tulang-belulang mereka pada hari kiamat kelak. Hal ini dapat diketahui rahsianya setelah lebih seribu tahun turunnya ayat ini.
Keunikan Cap Jari Manusia
Cap jari mempunyai keunikannya yang tersendiri. Cap jari adalah tanda identiti seseorang yang sangat penting bagi pengesahan identiti khususnya melibatkan aspek keselamatan, pencegahan jenayah dan sebagainya. Hal ini kerana cap jari merupakan tanda keunikan seseorang dan diterima pakai di seluruh dunia. Betapa hebatnya ciptaan Allah SWT ini, walaupun jari jemari itu kecil sahaja bentuknya, akan tetapi tidak ada sesiapa pun yang sama cap jarinya sejak penciptaan nabi Adam sehinggalah ke hari kiamat.
Justeru, cap jari digunakan sebagai asas pengenalan diri, sistem keselamatan seperti untuk keperluan forensik juga untuk mengenal pasti identiti penjenayah. Disamping itu, cap jari juga mampu mendedahkan rahsia sebenar diri individu termasuk personaliti dan potensi dirinya.
Ia adalah hasil teknologi analisis imbasan cap jari yang boleh menyerlahkan bakat semula jadi insani hasil bawaan genetik. Malah cap jari itu disifatkan pakar umpama berlian yang hanya menanti masa untuk dicanai bagi merungkai rahsia diri seseorang.
Jelasnya, penciptaan cap jari itu sangat unik dan hebat sekiranya dibandingkan dengan tulang. Oleh yang demikian ayat al-Quran dalam surah al-Qiyamah itu telah menjelaskan segala-galanya yang membuatkan sesiapa sahaja termasuk ahli sains terpegun dan tidak boleh berkata apa-apa melainkan mengakui keesaan Allah SWT yang mampu melakukan apa sahaja termasuk menghidupkan semula manusia di akhirat kelak untuk menerima pembalasan.
Sumber: Mukjizat Bahasa & Sains Al-Quran oleh Mohd Sukki Othman
Leave a comment