Di antara keseronokan ketika melancong ialah mencuba masakan tempatan yang unik. Baru-baru ini ketika kami berada di Miri, Sarawak, kami mencari restoran yang menghidangkan Linut, masakan tradisi masyarakat Melanau yang tentunya lain daripada biasa. Tidak banyak restoran yang menghidangkan sajian ini dan kami menikmatinya di Selihah Cafe Catering di Lutong, Miri.

Linut tidak dikenali ramai di Semenanjung tetapi di Sabah dan Sarawak, Linut atau Ambuyat merupakan makanan ruji tradisional masyarakat tempatan seperti kaum Melanau, Penan dan Orang Ulu di Sarawak. Dikenali juga sebagai ibu kanji, Linut atau Ambuyat adalah makanan kebangsaan negara Brunei Darusssalam. Makanan ini penting kepada masyarakat di Malaysia Timur kerana ianya ialah sajian utama selepas nasi.

Linut diperbuat daripada tepung sagu rumbia dan air panas. Pada masa dahulu, linut merupakan pilihan kepada masyarakat sebagai makanan ruji akibat kekurangan penghasilan beras di beberapa bahagian di Sarawak. Selain dihidangkan sebagai makanan harian, linut juga penting ketika meraikan hari istimewa seperti hari keramaian kaum di bumi Kenyalang ini.
Di Selihah Cafe Catering, linut ditawarkan dalam set Melanau Special di mana pengunjung boleh memilih untuk membeli set asas iaitu linut, sambal dan ulam. Terdapat juga set yang didatangkan dengan ikan goreng dan sayur. Satu set hidangan asas ialah RM6, dan set dengan ikan dan sayur berharga RM15.
Untuk mereka yang tidak biasa dengan linut, menikmati linut ini seronok kerana seperti makan kanji guna chopsticks! Putarkan linut di chopsticks, cecahkan sambal dan hidangan lain. Kalau tak mahir guna chopsticks, memang menguji kesabaran! Siapa lapar, dinasihatkan guna sudu sahaja.


Selain linut, kami juga mencuba umai di sini. Sajian umai, hidangan a la ceviche di Selihah ini sangat sedap cuma dicacatkan sedikit dengan isi ikan yang tidak dibersihkan tulangnya dengan sempurna. Umai di sini ditawarkan dalam dua saiz yang berharga RM5/RM10 sepiring.

Satu lagi hidangan tempatan yang kami cuba di Selihah ialah Tumpik. Tumpik atau juga dikenali sebagai Lempeng Sarawak juga merupakan makanan tradisi masyarakat Melanau di Sarawak. Walaupun ada banyak variasi, tumpik biasa ialah tepung sagu yang dimasak bersama parutan kelapa dan dimakan bersama gula apong. Di Selihah, tumpik didatangkan dengan semangkuk kuah yang tidak dapat kami pastikan apa bahannya. Makan tumpik ketika panas lebih sedap berbanding sejuk kerana apabila sudah sejuk, ianya agak keras untuk dinikmati.
Selain makanan tradisi, Selihah juga menghidangkan pelbagai mi Sarawak seperti mi jawa, laksa Sarawak, mi goreng dan kuetiau.
Jarak Restoran Selihah Cafe Catering ini lebih kurang 30 minit daripada bandar Miri dan ianya terletak di lot rumah di sebuah kawasan perumahan di Lutong.
Selihah Cafe Catering
246, Lor Mulia 10, Lutong, 98000 Miri, Sarawak
Buka- 10:00 Pagi – 3:30 Petang dan 7-9 malam
Tutup: Rabu
Leave a comment