Begitu Indahnya Syurga

Syurga itu dipenuhi dengan segala keindahan dan kenikmatan yang dijanjikan oleh Allah SWT untuk para hambaNya yang soleh dan beriman. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Insan, ayat 20 yang bermaksud:

“Dan apabila kamu melihat di sana (syurga), nescaya kamu akan melihat berbagai macam kenikmatan dan kerajaan yang besar”. 

(Al-Insan 76:20)

Keindahan yang terdapat di dalam syurga adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, tidak pernah terlintas oleh hati dan tidak pernah terbayang oleh akal fikiran. 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Allah tabaraka wa taala berfirman: Aku telah menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh apa-apa yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas dalam jantung hati manusia”. 

Terdapat banyak dalil-dalil dari sumber Al-Quran dan Hadis yang menyebut tentang keindahan dan kenikmatan yang diperolehi oleh ahli syurga, antaranya ialah; 

Pertama – Nikmat Keluasan Yang Tiada Tara

Syurga yang bakal didiami oleh para penghuninya amatlah luas. Seluas langit- langit dan bumi, sepertimana Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hadid ayat 21:                 

Maksudnya: “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya”. 

(Al-Hadid 57:21)

Kedua – Dibina Dengan Bahan Yang Amat Berharga

Syurga bukan sahaja luas, tetapi binaan dan segala perhiasan di dalamnya terdiri daripada Emas, Perak, Permata, Mutiara Zamrud, wangian minyak kasturi, za’faran, dan segala perkara yang menyukakan hati dan pandangan mata, para penghuninya pula sentiasa muda buat selama-lamanya. 

Maksudnya: Kami (para sahabat Radiyallahuanhum) bertanya: “Syurga itu , binaanya (diperbuat) daripada apa?” Beliau (Nabi SAW) menjawab: ” (Diperbuat daripada) batu bata dari perak dan emas, tanah liatnya dari minyak kasturi yang harum, batu kerikilnya dari mutiara dan permata, debu (tanahnya) dari za’faran, barangsiapa memasukinya, ia bersenang-senang (didalamnya) dengan tidak merasa jemu, (hidup) kekal (didalamnya), tidak mati, pakaian-pakaian mereka (yang cantik) tidak (akan menjadi) lusuh, mereka sentiasa muda, tidak dimamah (usia).

(Hadis Sahih, Riwayat Attirmizi) 

Ketiga – Sangat Cantik, Nyaman & Selesa

Suasana di dalam syurga dan tempat berehatnya amatlah cantik, selesa, nyaman, tenang, tidak panas membakar dan tidak pula sejuk menggigil, sepertimana Allah SWT berfirman; 

Maksudnya: “Mereka berehat di dalam syurga dengan berbaring di atas pelamin- pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk”.

(Al-Insan 76:13) 

Keempat – Nikmat Sungai Yang Luarbiasa

Terdapatnya sungai-sungai yang indah, luarbiasa di syurga dan amat jauh bandingannya dengan sungai-sungai yang indah di dunia ini. Sungai di syurga terdiri daripada sungai susu, madu yang bersih, segar, lazat yang tidak berubah rasa dan baunya. Kekal selama-selamanya. Tiada hujan, panas dan segala perkara yang boleh mengurangkan rasa nikmatnya minuman di Syurga. Ada pula sungai-sungai yang berisi dari arak yang begitu lazat, yang tidak memabukkan seperti mana di dunia hari ini. Segalanya tak dapat nak dibayangkan, cukuplah kepercayan, keyakinan kita akan benarnya janji-janji Allah SWT sebagaimana telah dijelaskan dalam FirmanNya: 

Maksudnya: “Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari tuhan mereka.”

(Muhammad 47:15) 

Kelima – Nikmat Pasangan Yang Tiada Tandingan

Dianugerahkan pula buat ahli syurga pasangan yang cantik lagi sempurna rupa parasnya, tingkah lakunya serta akhlaknya, iaitu bidadari-bidadari yang telah dijadikan khas oleh Allah SWT buat mereka. Kecantikan, kesucian, keayuannya tidak dapat dikhayalkan atau digambarkan hakikatnya yang sebenar oleh akal fikiran. Sepertimana Allah SWT berfirman; 

Maksudnya: “Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka (pasangannya-pasangannya), lagi yang amat indah luas matanya; (putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (burung kasuari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya”. (As-Saaffat 37: 48-49) 

Keenam – Nikmat Melihat Allah Azza Wa Jalla

Seterusnya nikmat yang paling terbesar, bakal diperolehi oleh para penghuni syurga ialah, dapat melihat Allah SWT, sepertimana Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Qiyaamah ayat 22-23:

Maksudnya: “Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri, melihat kepada tuhannya”.

( Al-Qiyaamah 75: 22-23)

Dan Nabi SAW bersabda:


Maksudnya: “Maka, pada waktu itu Allah membuka hijab (yang menutupi wajahNya Yang Maha Mulia) dan penghuni syurga tidak pernah mendapatkan suatu (kenikmatan) yang lebih mereka sukai daripada melihat (wajah) Allah”.

(Hadis Riwayat Muslim) 

Inilah diantara keindahan dan kenikmatan yang akan dimiliki oleh para penghuni syurga dan ini semua adalah nikmat-nikmat yang berkekalan, kekal abadi buat selama-lamanya. Oleh itu, dikesempatan hidup ini, marilah sama-sama kita manfaatkan peluang yang ada ini untuk menjadi hambanya yang melaksanakan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya, dan banyak berdoa kepadanya supaya dimasukkan ke dalam syurganya.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Maka Apabila kamu memohon syurga kepada Allah, maka mohonlah (syurga) al-Firdaus, sebab (syurga) firdaus adalah syurga yang paling tengah dan yang paling tinggi, di atasnya ada arsy (Allah) Arrahman, dan daripadanya terpancar sungai- sungai di syurga”.

(Riwayat Al-Bukhari) 

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perlis

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑