Disediakan oleh Mymuslimin.com
Sebagai hamba Allah SWT, kita disarankan untuk melihat penciptaan alam semesta, langit, bumi, bintang serta makhluk-makhluk Allah SWT untuk mengenali Pencipta kita yang Esa. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran di mana Allah SWT menyuruh manusia memerhatikan penciptaan-Nya untuk menambah taqwa kepada-Nya.
Allah SWT berfirman dalam Al-Quran yang maksudnya:
“Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?”
(Surah al-Ghashiyah, ayat 17-20)
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi golongan yang berakal.”
(Surah Ali ‘Imran, ayat 190)
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang dan kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuhan di bumi sesudah mati, serta Ia biakkan padanya daripada pelbagai jenis binatang; demikian juga peredaran angin dan awan yang tunduk terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (semua itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah) bagi kaum yang menggunakan akal fikiran.”
(Surah al-Baqarah, ayat 164)
Mymuslimin.com Membawakan 8 Makhluk Unik untuk Kita Merenung Kebesaran Allah SWT
1. Naga Laut Biru

Glaucus Atlanticus atau dikenali sebagai ‘blue sea dragon’ atau naga laut biru ini ialah sejenis siput laut yang hidup di laut lepas. Siput naga ini terapung terbalik menggunakan tegangan permukaan air untuk kekal di atas ketika ia dibawa oleh angin dan arus laut. Walaupun nampak comel, jangan suka-suka memegang si naga laut biru ini kerana ia menyimpan nematocyst yang menyengat dan sengatan si biru ini sangat menyakitkan dan berbahaya walaupun siput ini hanya berukuran 3cm!
2. Obor-Obor Bunga Api

Halitrephes Jelly atau dikenali sebagai “firework jellyfish” atau obor-obor bunga api, ialah spesies hidrozoa laut dalam. Obor-obor ini memakan ikan, udang, ketam, dan tumbuhan kecil seperti kepingan kecil rumpai laut, di mana mereka melumpuhkan makanan mereka dengan sesungutnya dan kemudian mereka mencerna mangsanya. Loceng obor-obor Halitrephes ini boleh mencapai sehingga 10 sentimeter (empat inci) lebar dan majoriti badan obor-obor terdiri daripada 95 peratus air. Obor-obor ini memaparkan bentuk yang menakjubkan apabila ia mengedarkan nutrien melalui badannya.
3. Pena Laut

Sea Pen atau Pena Laut ini haiwan marin invertebrata kolonial, dan nama pena laut berasal dari persamaannya dengan rupa pen dakwat bulu ayam. Komuniti megafauna pena laut ini terdapat di dasar laut yang lembut dan berlumpur dan membentuk liang dan busut mereka sendiri. Komuniti ini boleh ditemui di perairan terlindung dan di perairan luar pesisir yang lebih dalam. Pen laut ini bukanlah haiwan tunggal tetapi lebih kepada koleksi haiwan yang lebih kecil yang dipanggil polip. Pena laut ini kelihatan cantik di dalam laut tetapi apabila dikeluarkan dari laut, lain ceritanya.
4. Ikan Terbang

Betul, ikan tak boleh terbang macam burung tetapi ikan ini digelar ikan terbang kerana mereka boleh membuat lompatan kuat dan keluar dari air, di mana sirip seperti sayap panjang mereka membolehkan meluncur untuk jarak yang jauh di atas permukaan air untuk melarikan diri daripada pemangsa di bawah air. Terdapat kira-kira 64 spesies ikan terbang atau flying fish yang dikenalpasti. Barbados dikenali sebagai “negara ikan terbang”, dan ikan ini menjadi satu simbol kebangsaan negara tersebut. Rekod paling lama ikan terbang boleh ‘terbang’ di udara ialah selama 45 saat dan ikan terbang ini juga dipancing secara komersial di Jepun, Vietnam, China, Indonesia dan India.
5. Obor-Obor Abadi

Turritopsis dohrnii atau digelar ‘immortal jellyfish’ ialah sejenis obor-obor kecil yang ditemui di seluruh dunia di perairan sederhana hingga tropika. Walaupun digelar ‘obor-obor abadi’, Turritopsis dohrnii ini bukanlah abadi kerana mereka ini boleh dimakan oleh pemangsa atau dibunuh dengan pelbagai cara. Tetapi mereka mempunyai keupayaan untuk bertukar-tukar antara peringkat kehidupan sebagai tindak balas kepada tekanan. Oleh itu, secara teorinya, mereka ini boleh hidup lebih lama daripada biasa.
6. Narwahl

Narwhal juga dikenali sebagai narwhale, sejenis ikan paus bergigi saiz sederhana yang mempunyai “gading” besar daripada gigi taringnya yang menonjol. Ia hidup sepanjang tahun di perairan Artik di sekitar Greenland, Kanada dan Rusia. Purata berat narwhal dewasa ialah 800 hingga 1,600 kg dan panjang sekitar 18 kaki. Pada musim sejuk, narwhal memakan ikan pipih di bawah ais yang padat dan ketika musim panas, narwhal memakan ikan kod Artik dan halibut Greenland, dengan ikan lain seperti ikan kod kutub membentuk baki makanan mereka. Gading ikan ini tumbuh sepanjang hayat, mencapai panjang kira-kira 1.5 hingga 3.1 m, ia berongga dan beratnya sekitar 10 kg. ‘Gading’ ini mungkin berfungsi untuk memecahkan ais untuk mendapatkan makanan.
7. Kuda Emas

Akhal-Teke ialah baka kuda dari Turkmenistan. Kuda-kuda ini mempunyai reputasi kelajuan, ketahanan, kecerdasan, dan kilauan logam bulunya yang tersendiri. Bulu berkilat baka itu membawa kepada nama panggilan mereka, “Kuda Emas”. Ketika ini hanya terdapat kira-kira 6,600 Akhal-Tekes di dunia, kebanyakannya di Turkmenistan, walaupun ia juga ditemui di seluruh Eropah dan Amerika Utara. Warna bulu kuda ini berbeza mengikut warna seperti coklat muda, putih, hitam, buah berangan, kelabu, krim dan kuning. Bulu kuda jenis ini selalunya mempunyai kilauan logam yang khas yang menghasilkan kesan keemasan yang luar biasa.
8. Naga Laut Berdaun

Phycodurus eques atau Naga Laut Glauert ini ialah sejenis ikan laut, satu keluarga dengan kuda laut. ‘Daun-daun’ yang mengelilingi tubuh ikan ini hanyalah semata-mata sebagai penyamaran. Ikan ini hanya kira-kira 20–24 cm dan makan plankton dan krustasea kecil. Ikan ini biasanya menjalani gaya hidup solo. Apabila tiba masanya, jantan akan datang mencari betina, kemudian berpasangan untuk membiak.
“Dan tiadalah sesuatu pun daripada kalangan makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia kembali. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada para malaikat yang berkenaan).”
(Surah Hud, ayat 6)
Leave a comment