Teks Khutbah Jumaat:  Mewujudkan Keharmonian Dalam Perbezaan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan ketakwaan ini, hidup kita sentiasa diberkati oleh Allah SWT. Khatib mengingatkan para jemaah agar memberi sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara-perkara yang lagha seperti menggunakan telefon dan berbual-bual, kerana perbuatan tersebut boleh menghilangkan pahala jumaat kita pada hari ini.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Mewujudkan Keharmonian Dalam Perbezaan”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Budaya fanatik dan taksub adalah budaya negatif yang wujud dalam masyarakat Islam sejak saman berzaman. Menurut Kamus Dewan, fanatik bererti sikap keterlaluan pada sesuatu pegangan atau pendirian, dan biasanya ia dikaitkan dengan keagamaan. Perkataan yang berlawanan bagi fanatik dan taksub ini ialah tasamuh dan toleransi, yang memberi erti kelapangan dada, keluasan fikiran dan kesabaran. Sikap fanatik dan taksub telah dilarang oleh Allah SWT terhadap umat terdahulu, khasnya ahli kitab.

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Maidah ayat 77 yang telah dibacakan di awal khutbah ini, yang bermaksud:

Katakanlah: Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka juga tersesat dari jalan yang lurus.”

(Surah Al-Maidah 5:77)

Malah, Rasulullah SAW juga telah memberikan amaran dengan tegas tentang bahaya fanatik dan taksub dalam beragama. Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan hadis, daripada Abdullah bin Abbas Radhiallahu’anhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Jauhilah kamu dari sikap melampau, kerana sesungguhnya umat terdahulu menjadi binasa disebabkan sikap melampau mereka dalam beragama.

Sikap fanatik dan taksub telah dicela dalam Islam, dan ia pernah menjadi punca umat terdahulu ditimpa kebinasaan. Justeru, bagi mencairkan sikap fanatik dan taksub dalam beragama, Islam mengajarkan penganutnya prinsip wasatiyyah iaitu berseimbang dan bersederhana ketika berbeza pandangan.

Dengan prinsip inilah agama Islam tampil dengan misi menyebarkan rahmat ke seluruh alam melalui pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul akhir zaman. Allah SWT menegaskan melalui firman-Nya dalam surah al-Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud:

“Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan agar kamu menyebarkan rahmat ke seluruh alam.”

(Surah Al-Anbiya’ 21: 107)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Di antara gejala melampau yang berlaku di dalam masyarakat kita ialah fanatik dan taksub terhadap pendapat sendiri atau sesuatu kumpulan. Hakikatnya, orang yang taksub dan melampau hanya memenjarakan akal fikiran disebabkan oleh faktor tokoh, guru, puak, aliran mazhab, ideologi politik dan lain-lain, tanpa dapat berfikir dengan rasional.

Sikap ini sebenarnya menggambarkan kebekuan fahaman seseorang yang tidak mampu melihat sisi kebaikan atau maslahah yang dominan di dalam sesuatu perkara. la juga menjadikan seseorang itu tidak berkemampuan membuka ruang perbincangan untuk membandingkan pendapatnya dengan pendapat pihak-pihak lain bagi mencari pandangan yang lebih kuat dari sudut dalil dan hujahnya. Gejala ini timbul disebabkan oleh sikap memandang hanya diri atau kumpulannya sahaja yang betul, manakala pihak lain adalah salah.

Akibatnya lahirlah dakwaan sesetengah pihak yang menganggap mereka sahaja yang benar dan suci, manakala pihak lain adalah sesat, salah, batil atau kufur. Lantaran itu, muncullah dakwaan seperti ‘kami sahaja yang Islam’, kami sahaja pendokong sunnah’ atau ‘tidak bersama kami akan masuk neraka’.

Kenyataan ini, seolah-olah mengangkat diri atau kumpulannya setaraf rasul yang maksum dan kata-katanya setaraf sabda yang diwahyukan, sedangkan semua ulama’ salaf dan khalaf telah berijmak bahawa semua pendapat dari siapa pun boleh diambil dan diketepikan, kecuali sabda Rasulullah SAW.

Imam Malik Rahimahullah pernah berpesan suatu ketika dahulu sambil mengisyaratkan ke arah kubur Nabi SAW yang bermaksud: “Setiap orang, kata-kata atau pandangannya boleh diambil dan ditolak, melain kata-kata pemilik kubur ini.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Hakikatnya, Islam adalah agama yang membebaskan manusia daripada kejumudan fikiran dan mengajak mereka kepada keluasan rahmat dan ihsan. Hal ini telah disebut oleh seorang panglima Islam, Rib`iy bin `Amir (عامر بن ربعي ) ketika menjelaskan tujuan Islam disebarkan di hadapan seorang ketua panglima besar Parsi yang bernama Rustum. Kata Rib`iy: “Kami adalah kaum yang diutuskan Allah SWT untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan sesama manusia kepada menyembah Tuhan Yang Esa, membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat serta membebaskan manusia dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Justeru, umat Islam perlu menyedari bahawa apa jua ideologi yang kita ikuti, apa jua aliran kumpulan yang kita sertai dan siapa sahaja guru atau tokoh yang kita segani, tetaplah agama Islam menjadi rujukan yang tertinggi mengatasi segala tokoh, ideologi dan kumpulan. Semua ideologi, aliran kumpulan atau tokoh rujukan, adalah terletak di bawah agama Islam dan tertakluk dengan nilai dan prinsip agama Islam.

Sebagai contoh, di dalam pertembungan ideologi politik, setiap ketetapan dan keputusan yang diputuskan oleh mana-mana tokoh atau aliran kumpulan, semua itu termasuk dalam kategori ijtihad dalam usaha menampilkan idea dan solusi pengurusan terbaik untuk negeri dan negara. Barangkali sukar untuk menentukan pihak mana benar atau salah secara pasti dan qat`iy. 

Namun, secara amnya, setiap pihak yang mengerah fikiran menampilkan idea dalam membina dan memajukan negara, jika ia benar di sisi Allah SWT, akan mendapat dua ganjaran. Jika salah di sisi Allah SWT, ia mendapat satu ganjaran. Ini menunjukkan, perbezaan idea pengurusan politik bukanlah suatu yang ditegah dalam syarak, sebaliknya ia medan untuk semua pihak yang berkaitan berusaha menyumbang idea-idea yang bermanfaat atau mengelakkan mudarat daripada menimpa rakyat dan negara.

Atas dasar ini, perbahasan politik dibincangkan di bawah ilmu fiqh dan bukan di bawah perbahasan aqidah.

Kerana itulah kita dapati banyak ijtihad-ijtihad baharu oleh para pemimpin politik muslim sepanjang zaman disebabkan sifat fiqh yang fleksibel. Justeru, bersetuju, menolak atau mengkritik sesuatu pihak dalam hal ehwal tata kelola negeri dan negara tidaklah menyebabkan seseorang itu kehilangan iman. Tidak dinafikan, terdapat juzuk kecil perbahasan politik dibahaskan dalam kitab-kitab aqidah.

Namun hal ini berlaku kerana ulama’ Ahli Sunnah wal Jama’ah memberi respon terhadap mazhab Syiah yang mengaitkan isu imamah atau kepimpinan dengan akidah sehingga akhirnya ia menjadi pertelingkahan akidah di antara dua mazhab ini.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulannya, perbezaan pandangan adalah lumrah dalam kehidupan. Ia berlaku di antara suami dan isteri, anak-anak dan ibu bapa, majikan dan orang bawahan, sesama rakan taulan dan sebagainya. Malah perbezaan pandangan juga berlaku di antara para ulama’ dan mazhab fiqh yang empat sejak dahulu lagi.

Justeru, kita boleh berbeza pandangan dengan syarat ia mesti berasaskan bukti, hujah dan kesimpulan yang munasabah. Kemudian kita berlapang dada dengan perbezaan daripada pihak yang lain tanpa menanam kebencian atau memberikan gelaran-gelaran buruk. 

Bukanlah semua perbezaan yang berlaku melibatkan pertembungan di antara kebenaran dan kebatilan, namun yang berlaku disebabkan oleh kepelbagaian pendekatan atau idea yang berlainan dalam satu-satu perkara.

Sebagai penutup, marilah kita merenung beberapa kesimpulan daripada khutbah minggu ini.

Pertama: Umat Islam hendaklah menjauhi sikap taksub dan fanatik dalam sesuatu perkara kerana ia ditegah oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW serta boleh menyebabkan umat Islam ditimpa kemunduran disebabkan perpecahan.

Kedua: Umat Islam hendaklah menyedari bahawa Islam mengajarkan kesederhanaan ketika menyokong atau menolak sesuatu perkara serta membebaskan manusia daripada sikap taksub terhadap seseorang tokoh atau sesebuah kumpulan.

Ketiga: Umat Islam boleh berbeza pandangan secara objektif, meraikan adab dan mengambil sikap bersetuju untuk tidak bersetuju, sambil berlapang dada dan mengekalkan rasa hormat terhadap pihak yang berbeza dengan mereka.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah, ayat 8 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah Al-Maidah 5:8)

Tarikh Dibaca: 8 Safar 1445H/25 Ogos 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑