5 Pilihan Restoran Untuk Meraikan Hari Istimewa Di Kuala Lumpur

Oleh Mymuslimin.com

Memilih restoran untuk meraikan insan tersayang di hari istimewa tidaklah semudah yang disangka kerana tujuannya ialah untuk memberikan sesuatu yang istimewa. Memanglah ‘it’s the thought that counts’ tetapi jika restoran yang dipilih mempunyai dekorasi yang cantik dengan pilihan makanan yang hebat dan lazat, tentu sekali lebih mengujakan. 

Mymuslimin.com mencadangkan 5 restoran di Lembah Klang untuk meraikan hari istimewa. 

1. Positano Risto @ Publika, Kuala Lumpur

Keenakan sajian Itali memang sudah diiktiraf dunia. Selain pizza yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia, pelbagai hidangan pasta, sup, raviolo, risotto, roti-roti dan juga manisan Itali yang menjadi buruan penggemar makanan. Sajian asli Itali di Positano Risto, Publika ini bebas alkohol di mana pelanggan disediakan dengan banyak pilihan di dalam menu Positano Risto ini dan semuanya menyelerakan. Steak, calzone, pizza, beef panino, chicken florentine, ravioli, pasta, risotto dan banyak lagi. Manisan di sini menggiurkan dengan Panna Cotta, Tiramisu, Creme Brulee dan Cannoli. Positano Risto @ Publika sesuai dikunjungi untuk hari-hari istimewa.   

2. Serai, Kuala Lumpur

Menu di Serai menampilkan sajian masakan Malaysia serta masakan barat yang disediakan sempurna dengan persembahan yang menarik. Inilah sebabnya Serai sentiasa menjadi pilihan, terutama ketika meraikan hari istimewa bersama keluarga dan rakan taulan. Serai Platter ialah di antara hidangan menarik di Serai, Nasi Kerabu, Nasi Ulam Ayam Bakar, Nasi Lemak Pandan, Nasi Campur juga antara menu Melayu yang menarik untuk dicuba di sini. Selain masakan Melayu, masakan Barat juga tidak kurang hebatnya di Serai. Pilihan utama ialah Ayam Bakar Dengan Madu dan Thyme, ayam yang dibakar dengan madu dan dihidangkan bersama kentang putar yang lemak berkrim. Serai juga menawarkan senarai kek dan manisan yang menarik dan beraneka! Kek Pavlova di Serai mesti-cuba, Creme Brulee Pistachio, Ais Kacang, Pisang Goreng dan macam-macam lagi tersedia untuk pelanggan. Dengan suasana di Serai yang cantik, ianya memang sesuai untuk meraikan hari istimewa.

3. Jibby Chow, Bangsar, Kuala Lumpur

Jibby Chow menghidangkan sajian tradisional kaum Cina dengan persembahan kontemporari, memberi suasana mesra yang sesuai untuk perhimpunan keluarga dan teman taulan. Jibby Chow merupakan jenama rangkaian restoran kumpulan Serai yang terkenal di Lembah Klang dengan kualiti dan perkhidmatannya yang cemerlang. Restoran ini terletak di sudut pusat membeli-belah Bangsar Village II. Dekor Jibby Chow tidak kelihatan seperti restoran Cina tipikal dengan pemilihan warnanya yang lembut, pencahayaan dan susun atur tempat duduknya juga menarik dan eksklusif. Tetapi, dari segi menu, tidak syak lagi restoran ini memang sarat masakan Cina dengan pelbagai pilihan Dim Sum, ladu, nasi goreng, sajian itik, nasi ayam Hainan, beraneka jenis sup, tofu, masakan makanan laut, daging, ayam, dan bermacam-macam lagi. Jibby Chow juga menyediakan bervariasi pemanis mulut seperti puding, ais kisar dan penkek kacang merah. Harga di Jibby Chow sedikit tinggi berbanding restoran biasa tetapi berbaloilah dengan suasana, kualiti makanan dan perkhidmatan pelanggannya yang sangat memuaskan. Restoran ini sesuai sekali dikunjungi untuk merayakan hari-hari istimewa bersama keluarga dan teman-teman.

4. Amber, NEXUS, Bangsar South

Restoran Cina Muslim Amber menawarkan pelanggan pengalaman menikmati sajian asli China Utara, resepi tradisional muslim dari kawasan tersebut. Restoran ini boleh menempatkan sehingga 250 pelanggan pada satu-satu masa. Pelbagai jenis hidangan ditawarkan di Amber termasuk hidangan sejuk sebagai pembuka selera, berjenis-jenis masakan panas, hidangan bakar, pastri, dan berjenis mi tarik. Daging kambing dan daging lembu menjadi bahan asas untuk banyak hidangan di restoran ini dan rempah ratus yang digunakan di Amber dibawa masuk khas dari China untuk mengekalkan rasa tradisional yang asli. Amber menyediakan lebih 80 jenis masakan yang berbaloi harganya dengan portion yang banyak. Di antara yang popular di sini ialah hidangan mi tarik, toothpick lamb, tulang rusuk lembu, itik panggang serta ayam/sotong a la ’kebab’. Mereka yang gemarkan sayur juga mempunyai banyak pilihan seperti boleh mencuba terung sizzling atau hidangan kentang goreng dicampur kacang yang sangat lazat. Amber sesuai ditempah untuk kumpulan yang ramai atau jamuan makan malam keluarga/syarikat. Makanannya sedap dan harga juga berbaloi dengan kualiti dan portion hidangannya. 

5. PitBoy BBQ, Bukit Puchong

Di PitBoy BBQ, masakannya diinspirasi oleh resepi bbq Texas, Amerika, dan mereka menggunakan daging halal berkualiti dari Australia yang bukan sahaja lazat tetapi dijual dengan harga berpatutan. Hidangan Platter di sini bermula dari RM169 ke atas dan boleh dikongsi dengan beberapa orang. Tomahawk juga ditawarkan, tetapi perlu ditempah awal, dan harganya mencecah seribu ringgit kerana dagingnya agak besar, dan mengambil masa yang lama untuk disediakan. PitBoy BBQ juga memahami selera orang Malaysia yang tidak boleh bercenggang dengan nasi. Oleh itu disediakan hidangan nasi mendi yang lauknya ialah daging bbq. Kombinasi ini walaupun kelihatan masuk akal, tetapi rasanya agak pelik sedikit kerana sos bbq apabila dimakan dengan nasi, sedikit mengelirukan. Tetapi, dagingnya memang lembut dan berperisa. Hidangan daging tulang rusuk di PitBoy BBQ pula, sempurna! Sesuai untuk meraikan mereka yang suka makan daging.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑