Oleh: Mymuslimin.com
Jabatan Statistik Malaysia melaporkan bahawa 72.1% pelajar lepasan sekolah tahun 2022 enggan menyambung pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi.1 Data tahun 2022 menunjukkan 3.9 juta (25.8%) pekerja daripada 15.1 juta jumlah tenaga kerja Malaysia dikategorikan sebagai pekerja gig, terutamanya dalam sektor p-hailing.2 Ini berlaku kerana mereka percaya bahawa menyambung pelajaran tidak akan menjamin masa depan yang lebih cemerlang atau membuka peluang pekerjaan yang lebih baik bagi mereka. Sangkaan ini ada benarnya jika dilihat kepada kadar pendapatan pekerja Malaysia terkini. Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023, lebih dua juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.3
Peluang pekerjaan ekonomi gig memberi pendapatan tunai serta-merta dan masa anjal yang sesuai dengan gaya hidup orang muda. Menurut kajian yang dilakukan pada Januari 2023 oleh Jabatan Perangkaan terhadap 6657 pekerja p-hailing, 97.7% yang terlibat berada dalam lingkungan usia 15-30 tahun dan selebihnya berusia lebih 60 tahun, dan 73.98% daripada mereka menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan tetap. 4
Data kajian ini juga menunjukkan bahawa 39.54% pekerja p-hailing mempunyai tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) atau setaraf, diikuti dengan kelulusan Diploma dan setaraf (23.24%) dan Ijazah Sarjana Muda (11.79%). Dapatan juga menunjukkan terdapat 0.21 peratus pekerja p-hailing yang tidak bersekolah dan 0.99 peratus tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik. 5
Antara pekerjaan ekonomi gig, p-hailing yang merangkumi pemandu dan penghantar adalah yang teramai, diikuti kerja lain seperti pembeli peribadi, pekerja bebas (penulis copywriting, pembaca pruf), penggerak barang, pengambil kaji selidik, penyunting video dan sebagainya.
Keputusan yang diambil ramai golongan remaja untuk menceburkan diri dalam ekonomi gig ini tidak salah, namun, ianya tidak begitu matang dan tepat dalam jangkamasa panjang untuk menghadapi masa hadapan yang semakin mencabar. Walaupun ekonomi gig tidak memerlukan kelulusan tinggi atau kemahiran tertentu daripada calon pekerjanya untuk diterima, bekerja dalam ekonomi gig secara berterusan akan mendedahkan pekerja kepada impak negatifnya di tahun-tahun yang mendatang.
Mymuslimin.com menyenaraikan 5 kesan buruk jangka panjang ekonomi gig kepada pekerja.
1. Kurang Komitmen
Masalah kurang komitmen ini bukan hanya berlaku di pihak pekerja sahaja, pihak majikan juga tidak komited untuk menawarkan faedah yang baik untuk kakitangannya. Easy come, easy go, ekonomi gig membuatkan pekerja berasa tidak terikat atau mempunyai perasaan kekitaan, lantas tiada rasa kepertanggungjawaban yang tinggi terhadap jenama, atau syarikat. Di pihak syarikat juga serupa apabila tiada usaha untuk mengikat kakitangan dengan faedah menarik dan manfaat lain. Apa yang penting kepada pekerja ialah, tugasan dapat dilakukan dengan mudah dan bagi syarikat pula, tugas dapat dilaksanakan dengan kos yang paling minima.
Kajian Jabatan Perangkaan mendapati pendapatan tertinggi yang diperoleh pekerja p-hailing ialah antara RM1,501 hingga RM2,499 (26.78%) diikuti dengan RM1,500 dan ke bawah (23.39%) serta RM2,500 hingga RM3,170 (11.67%) untuk masa bekerja 49 jam sehingga 84 jam seminggu (30.79%) diikuti 30 jam sehingga 48 jam seminggu (25.84%) dan kurang daripada 30 jam (25.42%). 6
Walaupun percaturan ini nampak seperti menghasilkan situasi menang-menang, untuk jangka panjang ianya akan memberi kesan sebaliknya. Dengan kurangnya komitmen daripada pekerja, syarikat sentiasa perlu mengambil pekerja baharu kerana kadar pusing ganti pekerja yang tinggi, dan pekerja pula tidak akan ada peluang untuk maju di dalam kerjaya kerana tiada peluang perkembangan kerjaya yang tersedia.
2. Bawa Peranti Sendiri
Oleh kerana pekerja ekonomi gig ialah bebas dan persendirian, majikan tidak diperlukan untuk menyediakan keperluan kerja sebagaimana pekerjaan lain. Ini secara tidak langsung menambah perbelanjaan peribadi pekerja kerana individu perlu menyediakan sendiri peranti, perkakasan untuk bekerja seperti telefon pintar, kenderaan, minyak kenderaan, komputer, makan dan sebagainya.
Jika difaktorkan semua perbelanjaan ketika bertugas, kerugian berpihak kepada pekerja kerana majikan tidak diperlukan untuk menawarkan elaun-elaun tambahan kepada pekerja sepanjang mereka bertugas. Ini belum termasuk kos penyelenggaraan dan risiko kerosakan peralatan ketika bertugas yang tidak dilindungi oleh majikan.
3. Tiada Caruman Untuk Masa Depan
Majikan bagi kakitangan ekonomi gig tidak dituntut oleh undang-undang untuk mencarum bagi pihak pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau SOCSO. Berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Januari 2023, hanya 22.05% pekerja p-hailing yang mencarum dengan KWSP manakala 77.95% tidak melakukan sebarang caruman dengan KWSP.7 Walaupun terdapat pekerja yang mencarum secara sukarela, angkanya rendah dan sumbangan dari pihak majikan tiada. Hakikat ini tentunya akan memberi impak kepada jumlah simpanan hari tua mereka.
Peratusan yang cukup tinggi tidak mencarum akan mencetuskan masalah yang serius kerana apabila pekerja ekonomi gig semakin meningkat usia, mereka tidak akan cergas bertugas atas faktor umur, kesihatan, dan komitmen keluarga. Oleh kerana tiadanya persiapan lain untuk menghadapi persaraan, masalah besar akan timbul 30-40 tahun akan datang kepada generasi ini dan seterusnya menghasilkan impak besar kepada negara.
4. Kurang Aktiviti Sosial
Ekonomi gig tidak menyediakan ruang kerja atau pejabat untuk kakitangan bersosial dan membina kumpulan sokongan sesama mereka. Semua pekerja ekonomi gig bekerja secara silo dan tidak memerlukan kerjasama atau mengenali pekerja lain. Dengan tiadanya ruang dan peluang untuk bersosial dan bekerjasama, pekerja akan mengalami pengasingan yang boleh membawa kepada masalah kesihatan mental dan memberi kesan yang negatif kepada pekerja. Budaya kerja santai dan tidak formal begini menyukarkan pekerja membezakan antara ‘rakan’ dan ‘rakan sekerja’ dan hubungan yang samar ini menjadikan pekerja gig lebih kecewa. Perhubungan yang terjalin tiada asas yang kuat atau sokongan yang jitu, sekadar sapa dan kenal begitu sahaja.
Menurut kajian penganalisis, pekerjaan gig mengandungi risiko yang tinggi kepada kesihatan mental dan tahap kepuasan hidup pekerja. Ini disebabkan pekerja gig mempunyai tahap kesepian dan ketidakpastian kewangan yang lebih tinggi berbanding pekerjaan tetap yang lain. Walaupun secara teorinya pekerja gig boleh mengatur masa sendiri dan memilih jumlah masa bekerja yang sesuai, tekanan dan beban kerja pekerjaan ini tinggi kerana mereka hanya boleh menerima upah selepas menyediakan perkhidmatan dan terdapat pelbagai faktor yang boleh menggugat jumlah upah seperti gagal menepati masa atau kualiti penghantaran yang tidak memuaskan. Pendek kata, hanya mereka yang bekerja keras, konsisten dan berkualiti tinggi sahaja akan memperoleh pendapatan yang tekal.
5. Berisiko Tinggi
Pekerja ekonomi gig seperti pekerja penghantar berada di jalanraya untuk jangkamasa yang lama setiap hari. Ini mendedahkan mereka kepada beberapa risiko yang merbahaya seperti kemalangan jalanraya, penyakit akibat pendedahan kepada matahari, hujan dan pencemaran, penyakit akibat duduk di atas kenderaan berjam-jam sehari, risiko disamun dan sebagainya.
Menurut Polis Diraja Malaysia, penunggang p-hailing merangkumi 64% daripada semua pelanggaran lalu lintas motosikal. Antara Januari 2020 dan Julai 2021, penunggang p-hailing merekodkan 347 kemalangan, dengan 48 kematian.8
Kajian Jabatan Perangkaan mendapati hanya 36.61% pekerja p-hailing mempunyai simpanan mahupun pelaburan sendiri manakala selebihnya tidak mempunyai apa-apa simpanan. Dari segi pemilikan polisi insuran didapati sebanyak 45.07% pekerja p-hailing mempunyai polisi insurans sendiri manakala 54.93% adalah sebaliknya.9 Statistik ini tidak memberikan kelegaan kerana pekerjaan gig ini berisiko kepada individu kerana mereka tidak bersedia dengan perlindungan yang sewajarnya.
Kesimpulan
Pada zahirnya, ekonomi gig terlihat mudah, menyediakan duit segera tanpa memerlukan ilmu atau kemahiran yang tinggi. Asalkan pekerja mempunyai kenderaan atau peralatan untuk mula bekerja, anda boleh melibatkan diri ke dalamnya. Namun hakikatnya, pekerjaan ini tidak boleh dilihat sebagai jaminan masa depan. Tanpa pendapatan yang tetap, simpanan hari tua, serta perlindungan keselamatan, ditambah dengan terdedahnya kepada risiko pekerjaan setiap hari, penglibatan golongan belia ke dalam ekonomi gig terutama di dalam pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran agak membimbangkan. Walaupun pekerjaan ini mampu menghasilkan pendapatan segera yang diperlukan, tumpuan generasi muda haruslah lebih kepada ilmu dan kemahiran untuk merencanakan masa depan yang lebih baik. Menceburi ekonomi gig untuk sementara waktu dan bukan sepenuh masa itu lebih wajar berbanding menjadikannya punca pendapatan utama.
Rujukan:
- Study why teens don’t want to pursue studies ↩︎
- https://themalaysianreserve.com/2022/10/18/the-gig-economy-what-monster-are-we-breeding/ ↩︎
- https://www.kosmo.com.my/2023/08/08/2-juta-pekerja-malaysia-pendapatan-bawah-rm2000/ ↩︎
- https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-Press_Statement/2023/02.%20Februari/GIG%20-%20combine.pdf ↩︎
- Ibid. ↩︎
- Ibid ↩︎
- Ibid ↩︎
- https://themalaysianreserve.com/2022/10/18/the-gig-economy-what-monster-are-we-breeding/ ↩︎
- https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-Press_Statement/2023/02.%20Februari/GIG%20-%20combine.pdf ↩︎
Leave a comment