Bungaa & Gula: Kafe Comel di Seremban 2

Oleh: Mymuslimin.com

Teringin untuk minum petang di luar Kuala Lumpur? Seremban menyediakan pelbagai pilihan kafe artisan, hipster, unik dan menarik untuk warga tempatan dan pelawat dari luar. Hanya lebih kurang sejam perjalanan dari ibu kota, Bungaa & Gula yang berlokasi di Oakland Commercial Centre, Seremban 2, menghidangkan anda dengan suasana sebuah kafe comel yang menceriakan! 

Melangkah masuk, Bungaa & Gula membawa kepada memori sebuah kafe kecil di deretan kedai di pekan Brighton, England. Kafe kecil itu dihias comel dengan kek dan pastri yang berwarna-warni serta teh dan kopi yang dihidang dalam teko dan cawan molek beraneka rona.

Bungaa & Gula juga menghidangkan persekitaran yang comel serta pilihan kek dan pastri yang mengujakan! Rambang mata untuk membuat pilihan kerana kesemuanya nampak sedap dan menyelerakan. Bagaimana mampu memilih antara Biscoff Swiss Roll, Kek Raspberry Pistachio, Almond Croissant, Pavlova, Nutella Tart, Apple Crumble dan macam-macam lagi yang sedap? Pilihan yang benar-benar mencabar! 

Kek Raspberry Pistachio di sini is to-die-for! Tekstur keknya lembab, rasanya lazat dan tidak begitu manis, dan icing kek ini mengimbangi semua rasa dengan sedikit rasa masam dari buah raspberi. Pilihan yang sangat tepat sebagai manisan minum petang.

Berries Pavlovanya juga rangup di luar, cair di mulut, dan sangat mengasyikkan apabila dinikmati. Selain kek, pastri Bungaa & Gula juga setanding dengan pastri sedap di kota London. Almond Croissant di sini sama lazat dengan croissant badam di Pret-A-Manger yang berlapis-lapis, rangup dan kaya mentega.

Bila bercerita tentang kafe, kopi menjadi faktor utama selain hidangan pemanis mulut yang comel dan cantik. Biji kopi yang diguna di Bungaa & Gula berlemak dan tidak terlalu pahit, lazat dinikmati tanpa gula dan sedap sebagai latte juga. Selain kopi dan kek, Bungaa & Gula juga menghidangkan makanan berat seperti lasagne, sandwich dan big breakfast. 

Sebelum beredar, rakamlah satu ootd di mural yang cantik di sini. Sangat cantik! Sekiranya anda terlepas Seremban 2, tak perlu patah balik kerana ada satu lagi cawangan Bungaa & Cafe yang terletak di Jalan Campbell di Seremban. Cubalah! InsyaAllah, memuaskan.  

Bungaa & Gula 
386, Jalan Haruan 4/1, Oakland Commercial Centre, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
Buka: 9 am – 7pm setiap hari

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑