Oleh Ustaz Muhammad Luqman Hakim Bin Roslan
Apakah Rizq?
Rizq dalam Bahasa Arab atau Rezeki dalam Bahasa Melayu adalah sesuatu tidak dapat diramal. Kadang-kadang ianya datang daripada sumber yang tidak diketahui dan dalam pelbagai bentuk. Kekayaan, kesihatan, wa’ima rambut beruban juga ialah Rizq dari Allah SWT. Sesetengah ulama’ mentafsirkan Rizq sebagai rezeki, pendapatan dan sesetengah memanggilnya keberkatan. Rizq juga dilihat sebagai sesuatu yang membawa faedah dan menolak mudarat. Oleh itu, agak sukar untuk merangkumkan maksud Rizq dalam terjemahan tunggal kerana Rizq adalah rezeki, pendapatan, keberkatan dan banyak lagi.
Allah SWT ialah Ar-Raziq dan Ar-Razzaq
Istilah Rizq disebut 123 kali di dalam Al-Quran dan kebanyakannya memberitahu bagaimana rezeki itu datang dari Allah Ta’ala. Allah SWT yang menentukan apa yang seseorang itu perolehi dalam hidupnya. Allah SWT yang memberi kebahagiaan dan Allah SWT yang menentukan peristiwa yang akan membawa kepada kesedihan. Dialah Allah Ar-Raziq and Ar-Razzaq, Maha Pemberi. Ini telah dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya di dalam Al-Quran:
إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ
“Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya”
(Surah Adh-Dhariyat, 51:58)
وَإِنَّ اللَّهَ لَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.
(Surah Al-Hajj, 22:58)
Istilah ‘Razzaq’ ialah ungkapan hiperbolik atau aktif bagi perkataan ‘Raziq’. Kedua-dua perkataan itu secara harfiah bermaksud ‘Pemberi Rezeki’ tetapi yang pertama memberikan makna yang lebih mendalam tentang limpahan Rizq yang Allah SWT berikan kepada ciptaan-Nya dan bagaimana Rizq-Nya sampai kepada sesiapa sahaja dan semua orang yang telah ditulis untuknya.
Rizq Sudah Tertulis
“Konsep rizq itu sangat indah. Walaupun kau makan sepotong buah, ia (buah itu) sentiasa ditulis untukmu. Dari saat ia tumbuh dari pokok, ia melalui mengembara jauh sehingga ia berada di dalam tanganmu. Buah itu ditulis untuk menjadi milikmu.”
Terdapat hadis terkenal yang melaporkan bagaimana setiap manusia berkongsi peringkat awal kehidupan yang sama – bermula dari dalam rahim selama 40 hari, dan kemudian menjadi segumpal darah untuk tempoh yang sama, sebelum bertukar menjadi segumpal daging untuk jumlah masa yang sama. Selepas itu, hadis tersebut menyatakan bahawa:
ثم يرسل إليه الملك فينفخ فيه الروح، ويؤمر بأربع كلماتٍ: بكَتْبِ رزقه وأجله وعمله، وشقي أو سعيدٌ
“Kemudian (Allah) mengutuskan kepadanya seorang malaikat lalu ditiupkan padanya ruh dan diperintahkan untuk ditetapkan empat perkara, yaitu rezekinya, ajalnya, amalnya dan samada dia akan bahagia atau celaka”
(Sahih Bukhari & Muslim)
Daripada hadis yang disebutkan, kita memahami bahawa Rizq, sebagaimana segala-gala yang lain dalam kehidupan, telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Terdapat dua cara untuk memproses maklumat ini.
1. Seseorang boleh menyalahkan takdir atas keadaannya yang menyedihkan dan melarat. Seseorang mungkin akan cepat mengatakan bahawa mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang baik kerana semuanya telah ditetapkan.
2. Kami mengakui bahawa kemudahan dan kesukaran datangnya dari Allah SWT dan seorang Muslim perlu berusaha ke arah memperbaiki keadaannya atau dengan kata lain, berusaha sewajar mungkin.
Seseorang tidak boleh berkata bahawa ‘Saya ditakdirkan dengan rezeki yang sedikit sehingga akhir hayat’ sehingga ianya telah benar-benar terjadi. Sebaliknya, seseorang tidak boleh menuduh atas sesuatu yang belum berlaku.
Kepentingan Usaha dan Pelbagai Jenis Rizq
Allah SWT telah memerintahkan setiap individu yang berkemampuan untuk berusaha sebaik mungkin dalam mencari rezeki walaupun semuanya telah ditetapkan untuk setiap orang. Ini juga tercermin dalam cara Allah SWT menciptakan burung dan haiwan, cara hidup mereka, untuk terus hidup dan berkembang biak. Nabi s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis:
لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا يُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan tawakkal kepada-Nya, nescaya kamu akan diberi rezeki seperti burung. Ia keluar dalam keadaan lapar pada waktu pagi dan kembali dengan perut kenyang pada waktu senja.”
(Sunan At-Tirmizi)
Sebagai insan yang beriman, seseorang itu perlu sedar tentang hubungan yang rumit antara iman dan usaha dalam konsep mencari Rizq. Menghadkan kepada kepercayaan bahawa rezeki itu akan datang tanpa usaha, tidak mencukupi. Namun, melakukan sebaliknya dengan melakukan usaha yang sewajarnya tanpa mengakui pergantungan kepada Allah s.w.t, juga adalah sesat dan akan membawa seseorang itu kepada hasil yang tidak diinginkan.
Analoginya adalah seperti seorang pemandu teksi. Jika pemandu hanya berdoa untuk mendapat pelanggan dan menunggu, dia mungkin tidak dapat melihat bakal pelanggannya yang berdekatan. Sebaliknya, jika pemandu membuat banyak pusingan di bandar tetapi tidak bergantung kepada Allah, dia kehilangan Tuhan yang membekal dan memberi rezeki, lantas dia menipu dan meletakkan pencapaian atau kegagalannya hanya kerana usahanya sendiri.
Seorang mukmin perlu sedar bahawa apa sahaja yang dibawa ke meja makan di rumah hanyalah sebahagian daripada Rizq yang Allah kurniakan kepadanya. Kita boleh lihat bagaimana sesuatu hari itu berlalu tanpa kemalangan dan seluruh ahli keluarga dapat berkumpul di bawah satu bumbung juga sebagai Rizq. Keadaan di mana anak-anak boleh belajar dan menjadi muslim yang baik juga Rizq. Terlalu banyak yang Allah berikan kepada kita tetapi kita cenderung mengabaikan dan hanya fokus kepada ujian kesusahan daripada-Nya. Rizq bukan sahaja fizikal. Ia merangkumi segala-galanya daripada segi emosi dan rohani, seperti perasaan puas dan tenang sebagai contohnya.
Pelbagai Faktor yang Akan Membantu Memakmurkan Rizq
Dengan semua yang dibincangkan tentang Rizq, ada kalanya kita masih terkial-kial untuk memahami dan merasa terancam ketika melihat bil bulanan kita. Kami berasa tidak selamat, merisaukan sama ada kita mampu boleh mengharungi tahun ini dengan apa yang kita ada.
Ada juga yang mungkin mempertimbangkan untuk melabur secara haram untuk kekal bertahan. Tidak dinafikan bisikan ini datang daripada Syaitan sendiri. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah:
الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.”
(Surah Al-Baqarah, 2:268)
Kunci kemakmuran dalam Rizq kita adalah sesuatu yang semua orang boleh capai. Memandangkan Rizq datang dari Allah, mendekatkan diri kepada-Nya secara automatik akan memperoleh nikmat-nikmat-Nya. Allah sendiri menjanjikan dalam pelbagai ayat al-Quran dan riwayat hadis kunci-kunci Rizq, antaranya ialah:
Solat
Solat yang biasa dikaitkan dengan Rizq ialah Solat Dhuha. Namun begitu, Allah menyebut solat secara keseluruhan dalam ayat berikut, menandakan bahawa setiap solat yang dilakukan dengan ikhlas dan khusyuk boleh mendatangkan Rizq dihajatkan:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْـَٔلُكَ رِزْقًۭا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَٱلْعَـٰقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Taha, 20:132)
Doa
Nabi s.a.w. sering membaca doa ini di pagi harinya. Walaupun kedudukan Nabi s.a.w yang paling dekat dengan Allah, Nabi terus membaca doa ini. Justeru marilah kita mengikuti jejak langkah baginda dan terus meminta daripada Ar-Razzaq, tidak kira status kita di dunia ini.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا
“Ya Allah, aku memohon daripadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima” (Musnad Imam Ahmad)
Istighfar
Dalam Surah Nuh, Allah menceritakan kisah Nabi Nuh a.s. yang berdakwah kepada kaumnya supaya menyembah Allah. Di antara seruan baginda kepada mereka ialah memohon keampunan (istighfar), yang membuahkan Rizq daripada Allah s.w.t:
فَقُلْتُ ٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ إِنَّهُۥ كَانَ غَفَّارًۭا. يُرْسِلِ ٱلسَّمَآءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًۭا. وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَٰلٍۢ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّـٰتٍۢ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَـٰرًۭا
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”
(Surah Nuh, 71:10–12)
Selepas mengingatkan kita untuk memohon keampunan, Allah menjelaskan kepada kita dalam ayat berikut bahawa Dia akan menghantar Rizq dalam pelbagai bentuk. Doa ‘astaghfirullah‘ yang mudah dengan hati dan jiwa yang ikhlas dapat membuka pintu Rizq.
Oleh itu, seseorang tidak boleh meremehkan sesuatu perbuatan, walau sekecil mana pun perbuatan itu terlihat pada mata manusia. Cara lain untuk dikurniakan Rizq termasuklah bertaqwa (perasaan takut dan sentiasa mengingati Allah), sentiasa bertawakkal (bergantung) kepada-Nya dan bersedekah atas nama-Nya.
Ini tidak bermakna bahawa semua amalan-amalan ini boleh diabaikan jika seseorang itu sudah kaya atau hidup senang. Menyinggung sikap tersebut, Allah s.w.t. memperingatkan kita dengan tegas dalam ayat berikut:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.”
(Surah Ibrahim, 14:7)
Sesungguhnya segala-galanya adalah kepunyaan-Nya dan manusia tidak berhak untuk bermegah-megah dan menyombongkan diri dengan rezeki yang diberikan kepadanya.
Kesimpulannya, dapat dilihat bahawa konsep Rizq adalah sesuatu yang mudah dihadam dan didakwah. Ia boleh difahami oleh hampir semua orang, secara teori. Namun, apabila berdepan dengan ketiadaan rezeki, tindakbalas seseorang itu berbeza-beza. Apabila dihimpit dengan ujian, lapar, murung dan terdesak, adakah kita masih akan mempraktikkan teori itu? Kita berdoa agar Allah Ar-Raziq memberikan kita kekuatan untuk berbuat demikian dan semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang soleh.
Tentang Penulis: Ustaz Luqman merupakan lulusan Universiti Islam Madinah, dalam jurusan Undang-undang Islam. Beliau merupakan Pegawai Pembangunan Belia dan Pegawai Agama Masjid di masjid An-Nahdhah.
Sumber: Muslim.SG
Terjemahan: Mymuslimin.com
Leave a comment