Saad bin Abi Waqas, Sahabat Nabi Yang Membawa Islam Ke China 

Saad lahir dan membesar di kota Mekah. Ia dikenali sebagai pemuda yang serius dan memiliki pemikiran yang cerdas. Tubuhnya tidak terlalu tinggi namun bertubuh tegap dengan potongan rambut yang pendek. Orang selalu membandingkannya dengan singa muda.

Saad berasal dari keluarga bangsawan yang kaya raya dan sangat disayangi kedua orang tuanya, terutama ibunya. Walaupun berasal dari Mekah, dia sangat benci kepada agamanya dan cara hidup yang dianuti masyarakatnya. Ia membenci upacara penyembahan berhala yang menjadi budaya di Mekah ketika itu.

Suatu hari dia didatangi Abu Bakar yang dikenali sebagai orang yang ramah. Dia mengajak Saad menemui Nabi Muhammad SAW di sebuah bukit dekat Mekah. Pertemuan itu amat berkesan di jiwa Saad yang ketika itu baru berusia 20 tahun. Beliau pun segera menerima undangan Muhammad SAW untuk menjadi salah seorang penganut ajaran Islam yang dibawanya. Saad kemudian menjadi salah seorang sahabat yang pertama masuk Islam.

Saad sendiri secara tidak langsung memiliki hubungan yang rapat dengan Rasulullah SAW. Bonda Rasulullah SAW, Aminah binti Wahab yang berasal dari suku yang sama dengan Saad iaitu dari Bani Zuhrah. Kerana itu Saad juga sering disebut sebagai Saad dari Zuhrah, untuk membezakannya dengan Saad-Saad yang lain.

Tentangan Terhadap Islam

Namun keislaman Saad mendapat tentangan keras terutama dari keluarga dan anggota keluarganya. Ibunya mengancam akan bunuh diri. Selama beberapa hari, ibu Saad menolak untuk makan dan minum sehingga membuatkan dirinya kurus dan lemah. Walau dipujuk dan dibawakan makanan, namun ibunya tetap menolak dan hanya akan makan jika Saad kembali ke agama lamanya. Namun Saad berkata bahawa walaupun ia memiliki kecintaan luar biasa kepada ibunya, namun kecintaannya pada Allah dan Rasulullah jauh lebih besar lagi.

Mendengar ketegasan hati Saad, si ibu akhirnya menyerah dan makan kembali. Fakta ini memberikan bukti kekuatan dan keteguhan iman Saad bin Abi Waqqas. Di masa-masa awal sejarah Islam, kaum Muslim menghilangkan diri ke bukit jika hendak menunaikan solat. Kaum Quraisy selalu menghalangi mereka dari beribadah.

Ketika sedang solat, sekelompok kaum Quraisy mengganggu dengan saling melemparkan ucapan kasar. Kerana kesal dan tidak tahan, Saad bin Abi Waqqas memukul salah seorang orang Quraisy dengan tulang unta sehingga melukainya. Ini menjadi darah pertama yang tumpah akibat konflik antara umat Islam dengan orang kafir. Konflik yang kemudian semakin hebat dan menjadi batu ujian keimanan dan kesabaran umat Islam.

Setelah peristiwa itu, Rasulullah meminta para sahabat agar lebih tenang dan bersabar menghadapi orang Quraisy seperti yang difirmankan Allah dalam surah al-Muzzammil ayat 10. 

“Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik.”

(Al-Muzzammil 73:10)

Cukup lama kaum muslimin menahan diri. Hanya beberapa dekad kemudian, umat Islam diperkenankan melakukan serangan terhadap orang kafir. Saad bin Abi Waqqas menjadi salah satu tonggak pemimpin utamanya.

Saad Dijamin Syurga

Pada suatu hari ketika Rasulullah sedang duduk bersama para sahabat, tiba-tiba baginda menatap ke ufuk dan berkata, “Seorang penghuni syurga akan muncul.”

Ketika para sahabat mencari di sekeliling siapa yang dimaksud Nabi, tiba-tiba Sa’ad muncul.

Abdullah bin Amr menanyakan “rahsia” sehingga mendapat jaminan syurga. Sa’ad mengatakan, “Ibadah yang aku kerjakan juga dikerjakan yang lain, kecuali aku tidak pernah menaruh dendam atau berniat jahat terhadap kaum muslimin.”

Saad terlibat dalam perang Badar bersama saudaranya  yang bernama Umair yang kemudian syahid bersama 13 pahlawan Islam lainnya. Pada perang Uhud, bersama Zaid, Saad terpilih menjadi salah seorang pasukan pemanah terbaik Islam. Saad berperang dengan gigih dalam mempertahankan Rasulullah SAW selepas beberapa pahlawan Islam meninggalkan kedudukan mereka. Saad juga menjadi sahabat dan pahlawan Islam pertama yang ditusuk panah dalam usaha mempertahankan Islam.

Saad dikurniakan kekayaan yang banyak dan digunakannya untuk kepentingan dakwah. Dia juga dikenali kerana keberanian dan dermawannya. Saad hidup sehingga usianya menjelang 80 tahun. Menjelang wafatnya, Saad meminta puteranya untuk mengafaninya dengan jubah yang dia gunakan dalam perang Badar. “Kafani aku dengan jubah ini kerana aku ingin bertemu Allah dalam pakaian ini,” ujarnya.

Kepahlawan Saad dalam Peperangan Qadisiah 

Ilustrasi: Alternative History Fandom

Penolakan Kaisar Parsi untuk menerima Islam membuat air mata Saad bercucuran. Berat baginya melakukan peperangan yang harus mengorbankan banyak nyawa kaum Muslim dan bukan Muslim.

Kepahlawanan Sayyidina Sai’dina Saad bin Abi Waqqas tertulis dengan tinta emas ketika memimpin pasukan Islam melawan tentara Parsi di Qadisiah. Peperangan ini merupakan salah satu peperangan terbesar umat Islam.

Bersama 3000 tentera pasukannya, dia berangkat menuju Qadisiah. Di antara mereka terdapat sembilan bukan muslim. Selepas itu, untuk beberapa hari ia terbaring sakit kerana tidak kuat menanggung kepedihan jika perang terjadi. Saad tahu, bahawa peperangan ini akan menjadi peperangan yang sangat sengit yang akan menumpahkan darah dan mengorbankan banyak nyawa.

Ketika sedang berfikir, Saad akhirnya tahu bahawa ia tetap harus berjuang. Kerana itu, meskipun terbaring sakit, Saad segera bangkit dan menghadapi pasukannya. Di depan pasukan Muslim, Saad membaca surah Al-Anbiya ayat 105 tentang bumi yang akan dipusakai oleh orang-orang soleh seperti yang tertulis dalam kitab Zabur.

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh” (Al-Anbiya’ 21:105)

Selepas itu, Saad menukar pakaian kemudian menunaikan solat zuhur bersama pasukannya. kemudian dengan bertakbir, Saad bersama pasukan Muslim memulakan peperangan. Selama empat hari, peperangan berlangsung tanpa henti dan menimbulkan korban dua ribu tentera Islam dan sepuluh ribu tentera Parsi. Peperangan Qadisiah merupakan salah satu peperangan terbesar dalam sejarah dunia. Pasukan Muslim memenangi peperangan itu.

Dimana Saad bin Waqas dikebumikan?

Menurut catatan rasmi dari Dinasti Tang yang berkuasa pada 618-905 M dan berdasarkan catatan serupa dalam buku A Brief Study of the Introduction of Islam to China karya Chen Yuen, Islam pertama kali datang ke China sekitar tahun 30 H atau 651 M.

Disebutkan bahawa Islam masuk ke China melalui utusan yang dikirim oleh Khalifah Uthman bin Affan, memerintah selama 12 tahun atau pada tahun 23- 35 H/644-656 M. Sementara menurut catatan Lui Tschih, penulis Muslim China pada abad ke 18 dalam karyanya Chee Chea Sheehuzoo (Perihal Kehidupan Nabi), Islam dibawa ke China oleh rombongan yang dipimpin Saad bin Abi Waqqas.

Sebahagian catatan lagi menyebutkan, Islam pertama kali datang ke China dibawa oleh panglima besar Islam, Saad bin Abi Waqqas, bersama sahabat lainnya pada tahun 616 M. Catatan tersebut menyebutkan bahawa Saad bin Abi Waqqas dan tiga sahabat lainnya datang ke China dari Habsyah (yang sekarang dikenal dengan Etiopia.)

Selepas kunjungan pertamanya, Saad kemudian kembali ke Arab. Dia kembali lagi ke China 21 tahun kemudian atau pada masa pemerintahan Uthman bin Affan, dan datang dengan membawa salinan Al-Quran. Uthman pada masa kekhalifahannya memang menyalin Al-Quran dan menyebarkan ke berbagai tempat, demi menjaga kemurnian kitab suci ini.

Pada kedatangannya yang kedua di tahun 650, Saad belayar melalui Lautan Hindi ke Laut China menuju pelabuhan laut di Gwangzhou. Kemudian ia belayar ke Chang’an atau kini dikenal dengan nama Xi’an melalui jalan darat yang kemudian dikenali sebagai Jalan Sutera. 

Bersama para sahabat, Saad datang dengan membawa hadiah dan diterima dengan baik oleh Maharaja Dinasti Tang, Kao-Tsung (650-683). Namun Islam sebagai agama yang tidak terus diterima oleh maharaja. Setelah melalui proses penyelidikan, maharaja kemudian memberikan izin bagi pengembangan Islam yang dirasanya sesuai dengan ajaran Konfusius.

Maharaja Kao-Tsung, Dinasti Tang

Namun maharaja merasa bahawa kewajipan solat lima kali sehari dan puasa sebulan penuh terlalu berat baginya hingga akhirnya ia tidak jadi memeluk Islam. Namun begitu ia mengizinkan Saad bin Abi Waqqas dan para sahabat untuk mengajarkan Islam kepada masyarakat di Gwangzhou. Oleh orang Cina, Islam disebut sebagai Yi si lan Jiao atau agama yang murni. Sementara Mekah disebut sebagai tempat kelahiran Buddha Ma-hia-wu (atau Rasulullah Muhammad SAW).

Saad bin Abi Waqqas kemudian menetap di Gwangzhou dan ia mendirikan Masjid Huaisheng yang menjadi salah satu tonggak sejarah Islam paling berharga di China. Masjid ini menjadi masjid tertua yang ada di Benua Cina dan usianya sudah melebihi 1300 tahun. Ianya terletak di jalan Gwang Ta Lu. Masjid ini terus bertahan sebagai monumen sejarah China dan ketika ini masih berdiri tegak dan masih seindah dahulu setelah diperbaiki beberapa kali. Baru-baru ini masjid ini di perbaiki sekali lagi dengan melibatkan pembesaran ruangan solat apabila pihak pengurusan masjid membeli sedikit ruang bahagian belakang masjid.

Masjid Raya Gwangzhou Remember the Sage di China

Masjid Huaisheng ini kemudian dijadikan Masjid Raya Gwangzhou Remember the Sage, atau masjid untuk mengenang Nabi Muhammad SAW. Masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid Gwang-ta, kerana masjid dengan menara elok ini letaknya di jalan Gwangta. Ta bererti menara, kerana menurut sejarahnya menara masjid ini adalah yang tertinggi pada awal pembinaannya berbanding bangunan lain.

Sebahagian percaya bahawa Saad bin Abi Waqqas menghabiskan sisa hidupnya dan meninggal dunia di Gwangzhou, China. Sebuah pusara diyakini sebagai makamnya. Makamnya menjadi satu lagi tempat kunjungan pelawat dari seluruh pelusuk dunia. Sampai di Gwangzhou adalah tidak sah bagi kita orang Islam jika tidak menziarahi makam Sayyidina Saad.

Namun sebahagian lagi menyatakan bahawa Sayyidina Saad meninggal dunia di Baqi’ berhampiran Madinah dan dimakamkan dikawasan makam para sahabat. Meskipun tidak diketahui secara pasti di mana Saad bin Abi Waqqas meninggal dunia dan dimakamkan, namun yang pasti dia memiliki peranan penting terhadap perkembangan Islam di China.

Kalaupun kubur yang ada di China itu bukan kubur Saad bin Abi Waqas tetapi pastinya kubur tersebut adalah kubur seorang berbangsa Arab yang memiliki jasa besar kepada perkembangan Islam di China.

Sumber: 10 Sahabat Nabi Yang Dijamin Syurga oleh Astarul Kiraam

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑