Mi Sup Sedap & Halal di Mee Hiris China Muslim, Pavilion Bukit Jalil

Oleh Mymuslimin.com

Untuk menyediakan mi istimewa ini, bahan dan tepung perlu diuli sehingga menjadi doh. Kemudian, dohnya diangkat dengan tangan kiri dan dengan menggunakan pisau bengkok, doh dihiris ke dalam air mendidih untuk menghasilkan mi yang digelar mi hiris. Menurut laman web restoran ini, ShanXi Datong merupakan mi hiris paling terkenal dengan rasanya yang lazat lagi unik.  

Foto: Lamanweb Mee Hiris China Muslim

Mi Tarik Daging pula ialah hidangan masyarakat Muslim di China dari daerah Lanzhou yang mengandungi 5 rencah yang diadun menjadi rasa yang lazat dan unik. Yang pertama ialah sup, kedua ialah lobak putih, ketiga minyak cili merah, keempat daun ketumbar/bawang merah dan kelima mi kuning. Mi tarik ini berbentuk seperti spaghetti kerana mi tarik ini di’tarik’ dengan tangan, berbeza dengan bentuk mi hiris. 

Restoran Mee Hiris China Muslim di Pavilion Bukit Jalil

Menu Mee Hiris China Muslim menawarkan hidangan mi sup dengan pilihan mi hiris atau mi tarik yang dimasak bersama ayam, daging atau sayur sahaja. Untuk yang menggemari mi goreng, anda juga boleh memesan mi tarik atau mi hiris yang digoreng, dan terdapat juga hidangan nasi goreng serta nasi putih berlauk seperti daging kambing toothpick, sup telur dan rumpai laut, cendawan goreng dan banyak lagi. Mereka juga menawarkan sajian ladu berinti ayam, daging atau kambing.

Mi hiris daging rebus

Mi hiris dengan daging rebus merupakan sajian utama di Mee Hiris China Muslim. Sup sajian ini ringan dihirup dengan sedikit kepedasan dan sedikit masam, begitu lazat dinikmati dengan mi hiris yang anjal. Satu lagi hidangan yang sedap di sini ialah mi sup mi hiris dengan kepingan daging yang tidak kurang lazatnya. Sesuai untuk kanak-kanak, lazat dan berkhasiat. Portion mi sup di Mee Hiris China Muslim ini sesuai untuk seorang, tidak terlalu besar untuk dihabiskan. 

Mi hiris sup dengan kepingan daging dan dumpling yang super sedap

Selain menu a la carte, ada juga set menu untuk memudahkan pesanan yang mengandungi sajian mi, dumpling dan air soda yang berharga di antara RM23.90 sehingga RM32.90 satu set. 

Suasana Mee Hiris China Muslim ini lapang, terang, mewah dan cantik, sesuai untuk makan berdua atau jamuan dengan kumpulan yang ramai juga. 

Eight Treasure Tea @ Healthy Babao Tea

Kami sempat mencuba minuman istimewa di sini yang digelar Healthy Babao Tea. Teh ini dikenali juga sebagai Eight Treasure Tea yang mengandungi campuran 8 bahan iaitu kurma merah, bunga melati, buah laici, buah longan, gula batu, aprikot, bunga ros dan wolfberry.  Khasiat teh ini dipercayai mampu membantu menghilangkan lingkaran gelap bawah mata, menghidrat kulit kering, melawan keletihan, dan boleh membantu wanita mengekalkan kitaran haid yang teratur, menurut pakar herba Cina. Untuk yang tak biasa dengan teh cina, agak sukar untuk meneguk airnya. 

Untuk menikmati hidangan mi sup istimewa, sedap lagi halal, kami mengesyorkan restoran Mee Hiris China Muslim ini. Selain Pavilion Bukit Jalil, terdapat beberapa lokasi lain cawangan restoran ini di sekitar Lembah Klang.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑