Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Pada hari yang mulia ini, marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah dan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan dan tegahan-Nya.
Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan dan tidak melakukan perkara yang melalaikan seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Semoga kita mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat.
Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” bertepatan dengan tema sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Dan Hari Malaysia 2023.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Allah SWT menyukai hamba-hamba-Nya yang mensyukuri nikmat-nikmat-Nya sama ada dengan hati, lisan mahu pun perbuatan sehingga kehidupan mereka dilimpahi keberkatan, kerahmatan dan kemakmuran yang berpanjangan.
Di antara nikmat Allah SWT yang paling besar kepada kita selaku hamba-Nya ialah Dia mengurniakan nikmat persaudaraan dan kasih sayang sesama insan dan warganegara. Justeru, kita diperintahkan untuk bersatu padu dan meninggalkan segala perkara yang menjurus kepada perpecahan.
Firman Allah SWT di dalam surah Ali-‘Imran, ayat 103 yang dibacakan di permulaan khutbah tadi yang bermaksud:
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”
(Ali-‘Imran 3:103)
Lihatlah negara-negara yang bergolak dan berada dalam zon peperangan serta pergaduhan sesama sendiri. Pastinya pembinaan negara menjadi lumpuh, rakyat hidup dalam ketakutan, kemelaratan dan kesusahan malah ada yang menjadi pelarian di negara lain, kemusnahan harta benda dan pembunuhan jiwa yang tidak berdosa. Seharusnya kita mengambil pengiktibaran dan pengajaran supaya kita dapat terus memelihara perpaduan sesama kita demi melestarikan kemakmuran.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kita telah menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 66 tahun. Sebagai muslim, semestinya kita bersyukur dengan pelbagai nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada rakyat dan negara bertuah ini. Dari utara ke selatan dan dari timur ke barat, bumi Malaysia dilimpahi dengan pelbagai hasil manakala penghuninya hidup harmoni dengan aman damai.
Lihatlah negeri kita Wilayah Persekutuan, pembangunan berlaku dengan pesat, ekonomi dapat berkembang dengan baik bahkan ia menjadi pusat tumpuan utama pelancong dari dalam dan luar negara. Nikmat-nikmat ini wajib kita syukuri dan pertahankan supaya ianya dapat dinikmati pula oleh generasi yang akan datang.
Malaysia sememangnya sebuah negara yang unik dengan kepelbagaian kaum dan agama serta bahasa dan adat budaya. Oleh kerana kepelbagaian menjadi latar belakang pembinaan negara bangsa ini, isu perbezaan dan perselisihan pendapat mesti kita harmonikan melalui semangat perpaduan dan sikap saling hormat menghormati sesama warganegara.
Mimbar percaya setiap warganegara Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan memegang prinsip amalan hidup bersatu padu dengan mengeratkan hubungan dan memperkuatkan masyarakat. Kita harus sedar bahawa perpecahan akan melemahkan dan merugikan kita.
Enam nilai teras Malaysia Madani yang sebagai gagasan negara mesti kita fahami dan hayati untuk pengisian pembangunan negara yang maju, cemerlang dan sejahtera, iaitu;
Pertama: Kemampanan iaitu mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan.
Kedua: Kesejahteraan iaitu kesejahteraan ekonomi, sosial dan kelestarian alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan.
Ketiga: Daya Cipta iaitu pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia.
Keempat: Hormat iaitu perilaku budi bahasa kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan dunia.
Kelima: Keyakinan iaitu menghidupkan harapan terhadap perubahan seiring sikap amanah melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Keenam: Ihsan iaitu belas ihsan terhadap nasib semua pihak melalui tindakan pemberdayaan kemanusiaan.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Setelah hampir 66 tahun merdeka, kita mesti menerima hakikat bahawa hidup dalam sebuah negara yang berbilang kaum memerlukan semangat perpaduan yang kukuh dan dipenuhi dengan sikap hormat menghormati, kompromi, toleransi, kerjasama dan meraikan perbezaan. Sedarlah bahawa merdeka tidak muncul dengan sendiri sebaliknya ia diperoleh atas usaha, keringat dan pertumpahan darah para pahlawan, pendekar, pejuang dan perwira negara. Jasa dan pengorbanan mereka wajar kita ingati dan hargai.
Melihat rentetan sejarah, generasi-generasi nenek moyang kita dahulu pernah melalui cabaran hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sejak jatuhnya Kota Melaka ke tangan Portugis sehingga pasca kemerdekaan Tanah Melayu, mereka tidak pernah tidur untuk memastikan tanah air tercinta ini dapat bebas daripada cengkaman penjajah dan mencapai kemerdekaan yang menjamin kemakmuran dan keharmonian kepada anak-anak cucu yang bakal mewarisi negara ini.
Justeru, marilah kita jadikan sejarah negara pada masa lalu sebagai pengajaran dan pengiktibaran agar kita dapat menyemai rasa cintakan tanah air dan bersatu padu tanpa mengira latar belakang, kaum dan warna kulit dalam mempertahankan bumi bertuah ini.
Ibn Khaldun di dalam kitab Mukaddimah pernah menyatakan bahawa kebangkitan, kemunduran dan kejatuhan sesuatu tamadun itu ditentukan oleh sifat fitrah manusia. Sekiranya sesuatu umat itu mengikuti fitrahnya yang asal, iaitu suci dan beragama berdasarkan semangat perpaduan sosial, maka akan meningkat dan majulah masyarakat tersebut dan lahirlah tamadun.
Namun apabila jiwa, agama dan semangat perpaduannya menjadi luntur, maka pada saat itu berlakulah kemunduran dan kejatuhan tamadunnya. Jelas di sini bahawa aspek fitrah menjadi perkara utama bagi sesebuah tamadun yang akan menentukan sejauh mana hala tuju kelangsungan tamadun tersebut pada masa akan datang. Oleh itu, fitrah asal yang suci murni akan menjadikan sesuatu tamadun itu tinggi dan gemilang, sedangkan fitrah menyeleweng akan membawa kepada kemunduran dan keruntuhan.
Justeru, kita perlu memahami bahawa nilai-nilai kemanusian dalam gagasan Malaysia Madani turut meliputi akhlak Islam dan moral yang tinggi. Ianya dapat diserlahkan melalui cara hidup rakyat dan urus tadbir pemimpin negara yang taat kepada ajaran agama, jujur, ikhlas dan amanah yang dapat menjana kemajuan dan kemakmuran serta memperkasa imej negara.
Marilah kita menjadi warganegara yang baik dan rakyat Wilayah Persekutuan yang saling berkasih sayang, bantu-mambantu dan memainkan peranan ke arah pembangunan ummah yang cemerlang dan gemilang demi melestarikan kemerdekaan negara.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama: Panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat kemerdekaan negara sehingga kita dapat hidup dalam suasana aman dan makmur sehingga ke hari ini.
Kedua: Taatilah perintah Allah SWT yang memerintahkan kita agar dapat hidup dalam bersatu padu dan tinggalkanlah segala perkara yang boleh membawa kepada perpecahan yang merugikan.
Ketiga: Jadikan sejarah negara sebagai iktibar dan pengajaran agar kita dapat meningkatkan peranan masing-masing ke arah pembentukan masyarakat yang bersatu padu, saling menghormati, bertoleransi dan berkasih sayang.
Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud:
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
(An-Nisa’ 4:1)
Tarikh Dibaca: 15 Safar 1445H/1 September 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment