Imam Al-Ghazali
Dalam sebuah hadith dikisahkan bahawa pada suatu hari, Jibril a.s. datang kepada Nabi s.a.w. Dia bertanya: “Ya Rasulullah, pernahkah anda melihat malaikat di langit di atas bangku dengan dikelilingi tujuh puluh ribu malaikat lain berbaris? Mereka setia melayaninya. Dari setiap nafas yang dihirup malaikat itu Allah menciptakan malaikat lain. Kini aku melihat malaikat itu berada di atas gunung Qaf dan sayapnya hancur. Ketika ia melihatku, ia meminta tolong kepadaku. Aku bertanya, ‘Apa kesalahanmu?’ Dia menjawab, ‘Pada malam Mikraj aku sedang berada di atas bangku. Lalu Muhammad s.a.w. lalu di hadapanku, tetapi aku tidak berdiri untuk menghormatinya. Allah lantas menghukumku dengan hukuman ini dan menempatkanku di tempat ini, sebagaimana yang kamu lihat.” Lalu aku menundukkan diri kepada Allah dan memohon syafaat-Nya. Allah s.w.t. berkata: “Wahai Jibril, katakan kepadanya agar dia berselawat kepada Muhammad.” Dia lalu berselawat kepadamu. Lalu Allah pun mengampuninya dan menumbuhkan lagi sayapnya.”
Diriwayatkan bahawa amalan hamba yang pertama kali dilihat pada hari kiamat adalah solat. Jika didapati sempurna, diterima darinya dan juga amalan-amalan yang lain. Akan tetapi, jika didapati cacat, dikembalikan solat itu kepadanya dan jua amalan-amalan lainnya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perumpamaan solat fardhu adalah seperti timbangan. Barangsiapa yang menyempurnakannya, bererti sempurnalah ia.”
Sementara itu Yazid ar-Riqasy berkata: “Solat Rasulullah s.a.w. itu setanding seakan-akan benda yang ditanding.”
Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua orang dari umatku mendirikan solat. Rukuk dan sujud mereka sama. Apa yang ada di antara kedua-dua solat mereka itu seperti apa yang ada di antara langit dan bumi.” (Baginda menunjuk pada kekhusyukan satu atas yang lain).
Disebutkan dalam sebuah hadith: “Pada hari kiamat Allah tidak memandang hamba yang tidak meluruskan tulang punggungnya di antara rukuk dan sujudnya.”
Diriwayatkan bahawa baginda bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan solat pada waktunya; membaguskan wuduknya; serta menyempurnakan rukuk, sujud dan kekhusyukannya, solat itu naik ke langit dalam rupa wajah putih bercahaya. Dia berkata, Semoga Allah memeliharamu sebagaimana kamu telah memeliharaku.”
Akan tetapi, barangsiapa yang mendirikan solat di luar waktunya; tidak membaguskan wuduknya; serta tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan kekhusyukannya, solat itu naik ke langit dalam rupa wajah hitam kelam. Ia berkata, ‘Semoga Allah membiarkanmu sebagaimana kamu telah melalaikanku.’”
Dengan kehendak Allah solat itu dilipat sebagaimana pakaian manusia dilipat, lalu dipukulkan ke wajah orang itu.
Baginda juga pernah bersabda: “Seburuk-buruk manusia adalah yang mencuri dalam solatnya.”
Ibn Mas’ud berkata: “Solat itu adalah takaran. Barangsiapa menyempurnakannya, sempurnalah ia. Akan tetapi, barang siapa yang mengurangkannya, hendaklah ia tahu firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Celakalah orang-orang yang mengurangkan timbangan.”
(Al-Mutaffifin 83:1)
Ulama mengatakan: “Perumpamaan orang yang solat itu seperti pedagang yang tidak memperoleh untung sebelum habis modalnya. Demikian pula solat, tidak diterima sunnahnya sebelum ditunaikan fardhunya.”
Abu Bakar r.a. berkata: “Jika tiba waktu solat, berdirilah di hadapan api (murka) Tuhanmu yang kamu nyalakan. Lalu padamkanlah.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Solat itu ketenangan dan kerendahan hati.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang solatnya tidak mencegahnya dari perbuatan keji dan mungkar, nescaya tidak bertambah dari Allah selain kejauhan. Solat orang yang lalai tidak dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Betapa ramai orang yang berdiri untuk solat tetapi tidak memperoleh selain letih dan lelah dan tidak mendapatkannya selain orang yang lalai.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiadalah seorang hamba memperoleh sesuatu dari solatnya selain yang dilakukannya dengan kesedaran.”
Ahli makrifat berkata: “Solat itu adalah empat perkara, iaitu dimulakan dengan ilmu, berdiri dengan rasa malu, ditegakkan dengan keagungan dan keluar darinya dengan rasa takut.”
Sementara seorang guru sufi berkata: “Barangsiapa yang hatinya tidak menyatu dengan hakikat, rosaklah solatnya.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di dalam syurga ada sebuah sungai bernama al-Afyah. Di situ terdapat bidadari-bidadari yang Allah ciptakan dari za’faran yang bermain dengan mutiara dan yakut. Mereka memuji Allah dengan tujuh puluh ribu bahasa. Suara mereka lebih indah daripada suara Daud a.s. Mereka mengatakan, ‘Kami adalah milik orang-orang yang mendirikan solatnya dengan khusyuk dan kehadiran hati.’ Allah s.w.t. lalu berfirman, ‘Pasti aku tempatkan ia di rumah-Ku dan menjadikannya berada di samping-Ku.'”
Diriwayatkan bahawa Allah s.w.t. mewahyukan kepada Nabi s.a.w.: “Katakan kepada orang-orang derhaka di antara umatmu yang tidak mengingati-Ku, ‘Di mana saja kamu mengingati-Ku, berzikirlah kepada-Ku sementara kamu menghentikan anggota badanmu (dari melakukan maksiat). Ketika berzikir kepada-Ku, jadilah orang yang khusyuk dan tenang. Apabila kamu berzikir kepada-Ku, jadikanlah lidahmu di belakang hatimu. Jika kamu kamu berdiri di hadapan-Ku; berdirilah seperti berdirinya hamba yang hina serta bermunajat dengan hati yang takut dan lisan yang benar.'”
Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Allah s.w.t. mewahyukan kepada Nabi s.a.w.: “Katakan kepada orang-orang yang derhaka di antara umatmu yang tidak mengingati-Ku, ‘Aku telah bersumpah kepada diri-Ku bahawa sesiapa sahaja yang mengingati-Ku, Aku akan mengingatinya. Akan tetapi, jika mereka tidak mengingati-Ku, Aku akan mengingati mereka dengan laknat.’”
Ini tentang orang derhaka yang tidak lalai berzikir kepada Allah. Lantas, bagaimana halnya jika berkumpul pada dirinya kemaksiatan dan kelalaian? Seorang sahabat berkata: “Pada hari kiamat manusia dikumpulkan seperti keadaan mereka dalam solat berupa ketenangan dan ketenteraman, serta rasa kenikmatan dan kelazatan dalam menunaikannya.
Nabi s.a.w. melihat seseorang yang bermain janggutnya ketika sedang solat. Baginda lalu bersabda: “Kalau hati orang ini khusyuk, nescaya khusyuk pula anggota-anggota tubuhnya.”
Selanjutnya baginda bersabda: “Barangsiapa yang hatinya tidak khusyuk, ditolaklah solatnya.”
Allah s.w.t. memuji orang-orang yang khusyuk dalam solat tidak hanya dalam satu ayat. Allah s.w.t. berfirman yan ertinya:
“laitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. ”
(Al-Mukminun 23:2)
Allah s.w.t. berfirman yang ertinya:
“… dan mereka selalu memelihara solatnya.”
(Al-An’am 6:92)
Allah s.w.t. berfirman yang ertinya:
“… mereka itu tetap mendirikan solatnya.”
(Al-Ma’arij 70:23)
Ada yang mengatakan bahawa orang yang mengerjakan solat itu ramai, tetapi orang yang khusyuk dalam solatnya itu kurang. Orang yang menunaikan haji itu ramai, tetapi yang mabrur itu kurang. Burung itu banyak, tetapi bulbul itu sedikit. Orang berilmu itu ramai, tetapi yang beramal itu jumlahnya kurang.
Solat adalah tempat ketundukan hati, kepasrahan dan kekhusyukan. Ini adalah tanda diterimanya amalan. Amalan sunat itu ada syaratnya dan penerimaan pun ada syaratnya. Syarat amalan sunat adalah ditunaikan fardhunya, sementara syarat diterima amalan adalah kekhusyukan, sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bererti:
“Sesungguhnya beruntunglah kaum beriman, (iaitu) orang orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna.”
(Al-Mukminun 23:1-3)
Dengan ketakwaan, seperti firman Allah s.w.t. yang ertinya:
“… sesungguhnya Allah hanya menerima amalan dari orang-orang yang bertakwa.”
(Al-Maidah 5:27)
Tentang ini Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang mendirikan solat dua rakaat dengan menghadapkan hatinya kepada Allah, ia keluar dari dosa-dosanya seperti pada hari ia dilahirkan ibunya.”
Ketahuilah, tidak ada yang membuat lalai dari solat selain fikiran yang sibuk. Jadi, hal itu harus dihilangkan. Kadangkala boleh dilakukan dengan solat dalam kegelapan atau di tempat yang sunyi, jauh dari kebisingan, tidak menggunakan sejadah yang berwarna-warni, dan tidak memakai pakaian yang bercorak yang dapat menarik perhatiannya ketika sedang solat.
Diriwayatkan, Nabi s.a.w. memakai gamis bercorak yang diberikan Abu Jahm, lalu baginda solat. Setelah selesai solat, baginda menanggalkannya dan berkata: “Bawalah gamis ini kepada Abu Jahm. Pakaian ini telah melalaikanku dari solatku.”
Nabi s.a.w. pernah pula memperbaharui tali kasutnya. Kemudian ketika sedang solat, baginda selalu memandangnya. Setelah selesai solat, baginda memerintahkan agar tali itu dilepas dan diganti dengan tali yang lama. Selain itu, Nabi s.a.w. pernah memakai cincin emas pada jarinya sebelum perkara itu diharamkan. Lalu ketika duduk di atas mimbar, baginda melemparkannya dan berkata: “Ini telah menyibukkanku dengan sesekali memandangnya dan sesekali memandang kamu.”
Seorang sahabat solat di rumahnya dekat dinding, sementara pohon kurma di samping rumahnya sedang berbuah lebat. Sesekali dia memandang buah kurma itu dan berasakan ketakjubannya. Lantas dia lupa berapa rakaat telah dia kerjakan. Kemudian perkara tersebut disampaikan kepada Uthman r.a. Uthman memerintahkan agar buah kurma itu disedekahkan di jalan Allah. Orang itu segera menjualnya dengan harga lima puluh ribu.
Sementara itu, seorang ulama salaf berkata: “Ada empat perkara dalam solat yang merupakan kesia-siaan; berpaling, mengusap wajah, meniup debu (pada tempat sujud) dan solat di jalan tempat lalu-lalang orang.”
Ditegaskan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya: “Allah s.w.t. menghadap kepada orang yang solat selama ia tidak berpaling.” Oleh itu, jika sedang solat, Abu Bakar as-Siddiq r.a. berdiri seperti tiang. Sementara sahabat yang lain apabila sedang rukuk nampak tenang seperti benda mati sehingga tidak terasa burung-burung yang hinggap di belakangnya. Semua itu merupakan sikap yang dituntut di hadapan orang besar dari penghuni dunia. Lantas, bagaimana tidak dituntut di hadapan raja segala raja?
Di dalam Taurat termaktub: “Wahai anak Adam, janganlah berasa lemah untuk berdiri di hadapan-Ku dalam keadaan solat sambil menangis. Aku adalah Allah yang dekat kepada hatimu dan dalam ghaib kamu melihat cahaya-Ku.”
Abu al-‘Aliyyah ditanya tentang firman Allah s.w.t. yang ertinya:
“..Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -orang-orang yang lalai dalam solatnya.”
(Al-Ma’un 107:4-5)
Dia menjawab: “Orang-orang yang lalai dalam solatnya sehingga tidak mengetahui apakah ia pada rakaat genap atau pada rakaat ganjil.”
Sementara Al-Hasan berkata: “Maksudnya adalah orang-orang yang lalai terhadap waktu solat sehingga berlalu.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, ‘Hamba-Ku tidak selamat dari (murka)-Ku kecuali dengan menunaikan apa yang Aku wajibkan kepadanya.'”
Sumber: Mendidik Hati Mendekati Ilahi, Imam Al-Ghazali
Leave a comment