William James berkata: “Kecacatan kita membantu kita sampai ke tahap yang tidak pernah kita jangka. Jika Dostoevsky dan Tolstoy tidak menjalani kehidupan yang derita, mereka tidak akan mampu menulis jurnal mereka yang tidak ditelan zaman. Oleh itu, menjadi yatim piatu, buta, miskin, atau jauh dari rumah dan keselesaan merupakan semua syarat yang boleh membawa kita kepada pencapaian dan kecemerlangan, kepada kemajuan dan sumbangan.“
Seorang penyair bermadah: “Allah boleh melimpahkan nikmatNya melalui ujian yang kecil atau besar, Dan Dia menguji mereka untuk memberi mereka sebahagian dari nikmat-Nya.“
Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).
(At-Taubah 9:55)
Setelah menjadi lumpuh, Ibn Atheer diberi peluang untuk menyiapkan dua bukunya yang terkenal, Jamay’ al-Usool dan an-Nihayah. As-Sarakhsi menulis bukunya yang terkenal, al-Mabsoot, kesemua lima belas jilid semasa dipenjarakan di dasar perigi.
Ibn al-Qayyim menulis Zâd al-Ma’ad semasa mengembara dengan binatang tunggangan, Al-Qurtubi menulis ulasan tentang Şaheeḥ Muslim semasa mengembara di atas perahu, dan kebanyakan Fatawa Ibn Taymiyah ditulis semasa dia dalam penjara.
Para ulama Hadith mengumpulkan ratusan dan ribuan hadis; ini adalah orang-orang yang miskin dan yang tidak mengenali istilah ‘rumah’. Seorang yang soleh memberitahu saya bahawa dia telah dipenjarakan untuk sementara waktu, dan di dalam tempoh pemenjaraannya, dia menghafal seluruh Al-Quran dan mempelajari empat puluh jilid besar tentang perundangan Islam.
Abu al-‘Ulâ mengimlakkan kitab-kitabnya kepada orang lain kerana dia buta. Taha Hussain kehilangan penglihatannya, dan dengan serta-merta dia mula menulis jurnal dan bukunya yang terkenal. Ramai orang pintar, apabila disingkirkan dari jawatan atau pekerjaan mereka, menyumbang kepada dunia dalam pengetahuan dan berfikir lebih mendalam berbanding yang pernah mereka lakukan sebelum ini.
Francis Bacon berkata: “Sedikit falsafah mendorong fikiran manusia kepada ateisme, tetapi mendalami falsafah membawa fikiran manusia kepada agama.”
Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.
(Al-Ankabut 29: 43)
Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.
(Fatir 35: 28)
Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: “Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal – menurut yang terkandung dalam Kitab Allah – sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); “.
(Ar-Rum 30:56)
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)”. Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).
(Saba’ 34:46)
Dr. A. A. Brill berkata: “Sesiapa yang benar-benar beragama tidak mengalami neurosis (gangguan emosi akibat konflik yg tidak dapat diselesaikan, yg dicirikan dgn keresahan (sama ada melalui pertuturan atau perlakuan tertentu).”
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.
(Maryam 19:96)
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.
(Al-Nahl 16: 97)
.. dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.
(Al-Hajj 22:54)
Iman adalah Penawar Paling Mujarab!
Salah seorang pakar psikologi terulung pada zaman kita, Dr. Carl Jung, menyebut di halaman 264 bukunya Modern Man In Search of a Soul: “Selama tiga puluh tahun lepas, manusia dari seluruh dunia telah mencari saya untuk mendapatkan nasihat. Saya merawat beratus-ratus pesakit dan kebanyakan mereka berusia pertengahan umur, atau lebih daripada tiga puluh lima tahun. Masalah setiap seorang daripada mereka kembali kepada satu isu – mencari perlindungan dalam agama, dan dengan berbuat demikian, dapat mempunyai perspektif atau pandangan hidup. Saya dengan yakinnya boleh berkata bahawa setiap daripada mereka menjadi sakit kerana mereka terlepas daripada apa yang agama tawarkan kepada orang yang beriman. Dan orang yang tidak mengembangkan iman yang benar tidak dapat disembuhkan.”

Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.
(Taha 20: 124)
Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya.
(Ali ‘Imran 3:151)
Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis – apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).
(An-Nur 24: 40)
Sumber: Don’t Be Sad by Dr Aid Al-Qarni
Terjemahan: Mymuslimin.com
Leave a comment