Restoran Kapitan di Penang memang restoran legenda. Kalau dah sampai Penang tak pekena Kapitan di Georgetown, memang lawatan itu ada sedikit cacat. Restoran Kapitan menghidangkan menu segalanya kari, nasi kandar beraneka lauk pilihan, protein panggang dan bakar, serta pelbagai hidangan India yang lain tetapi Kapitan sohor dengan beriani claypot, ayam tandoori dan tentunya naan mereka.

Restoran Kapitan kini sudah dibuka di TTDI, Kuala Lumpur, menampilkan reka hias moden dengan lampu-lampu di meja yang dipasang rendah, feature wall batu-bata, dihias dengan lampu fairy, meja berjubin dan kerusi yang kelihatan mewah. Berbeza feel berbanding Kapitan Penang. Namun, satu perkara yang kami perasan, apabila berjalan lantainya cukup licin! Walaupun materialnya cantik dan terkini, ia berpotensi menyebabkan kemalangan jika tidak diuruskan segera.

Di bahagian depan restoran menawarkan pelbagai jenis lauk untuk nasi kandar, rata-rata semuanya berasaskan kari. Mengerling sahaja ke arah lauk-lauk itu boleh terkecur liur dibuatnya. Namun begitu, kita pujuk hati untuk bersabar kerana reviu kali ini fokusnya ialah kepada beriani claypot, ayam tandoori dan naan sahaja.

Kelazatan nasi beriani claypot di Kapitan Penang memang tidak dapat disangkal lagi tetapi kami berpendapat ianya tiada kaitan dengan periuk claypot pun! Periuk claypot itu sekadar kosmetik sahaja, seakan gimik untuk membenarkan penggunaan nama claypot di dalam menu. Idea yang bernas kerana nasi beriani claypot Kapitan memang menjadi pujaan ramai. Yang pasti, gimik atau kosmetik, Nasi Berianinya memang mantap, sedap, padu dan jitu. Ayamnya diperap dengan rempah-rempah yang banyak tetapi apabila dinikmati, rempahnya tidak berat dan sangat sedap dipadankan dengan nasi beriani. Dhal dan coleslaw yang dititip bersama hidangan menambah rasa dan tekstur kepada seluruh hidangan. Terkesima lima minit kami dibuatnya!

Kami juga menempah hidangan Naan Kashmiri dengan Ayam Tandoori. Untuk yang tidak tahu, Naan Kashmiri ini sama seperti naan lain dari segi dohnya tetapi dimeriahkan lagi dengan buah-buahan kering, kacang, dan rempah-rempah seperti ceri glace, kismis, badam, gajus, jintan, dan halba. Naan Kashmirinya tidak lokek taburan buah-buahan kering, setiap gigitan bahan-bahan itu dapat dirasa. Naannya lembut dan sedap, padanan dengan ayam tandoori yang lembut, berempah dan perisa itu sangat tepat dan memuaskan hati.

Kualiti masakan Kapitan TTDI konsisten dengan Kapitan Penang, jadi tidak hairanlah jika Kapitan ini umpama raja tandoori, naan dan beriani di Penang sana. Di kunjungan lain, insyaAllah kami reviu Nasi Kandar Kapitan pula untuk pembaca Mymuslimin.com.
Kapitan Tandoori House Sdn Bhd (TTDI)
50, Jalan Tun Mohd Fuad 1, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur
Setiap Hari: 10:30am – 1130pm
Leave a comment