Rahsia Bahagia: Cinta Utuh Kerana Konsistensi Dalam Membuat Keputusan

Oleh: Ida Natasha

Definisi Cinta

Apakah yang dinamakan cinta? Ada yang mendakwa cinta itu turun dari mata ke hati, pandangan pertama membibitkan rasa cinta dan kasih di sanubari. Ramai juga yang mengaitkan perasaan cinta dengan aksi romantis apabila pasangan kerap menghadirkan layanan istimewa di hari-hari bermakna. Tak kurang juga yang berkata cinta itu hadir dengan kemewahan, kemampuan, dan kesudian untuk memberi apa sahaja kepada pasangan pada bila-bila masa. Jadi, apakah sebenarnya cinta? 

Agak sukar untuk mendefinisikan kalimah cinta dalam beberapa bait kata. Waima Dewan Bahasa dan Pustaka juga mengalami kesukaran untuk memberi takrifan tentang cinta dalam Kamus Dewan Bahasa kerana mereka menggunakan lebih 400 perkataan untuk merungkai makna cinta dalam bahasa. 

Baru-baru ini seorang selebriti membuat pengakuan bahawa beliau tidak mahu menjalin hubungan dengan lelaki yang tidak berpoket tebal kerana dia tidak gemar ‘bercinta’ dengan biawak hidup. Cinta bagi beliau terkait kemewahan material. Ketika seorang selebriti bernikah dengan hantaran beratus-ribu ringgit, berbondong-bondong netizen menulis komen bersetuju bahawa kemewahan harta benda itu membuktikan dalamnya cinta lelaki tadi kepada isterinya. Di sebaliknya, tidak kurang juga yang sanggup lari dari rumah walau sehelai sepinggang asalkan dapat mengikut si cinta hati. Buang emak buang saudara kerana kasih hamba turutkan, kata mereka. 

Masalahnya, apabila ‘cinta’ ini disatukan, mula pula episod penuh gelora yang mengakibatkan banyak perkahwinan tidak dapat bertahan. Pasangan yang dijunjung bagai minyak yang penuh tadi tiba-tiba bertukar sebaliknya, seolah wujudnya garisan halus yang membezakan antara cinta dan perasaan benci. Jadi apa sebenarnya cinta dan bagaimana mengekalkan cinta agar ianya mekar dan kukuh bertahun-tahun lamanya.

Cetuskan Perasaan Suka, Suka, Suka!

Perasaan cinta yang tulen itu lahir daripada perbuatan, tindakan dan keputusan kecil yang dilakukan pasangan selama bertahun-tahun dengan penuh ikhlas dan konsisten. Apabila pasangan kita sentiasa membuat keputusan yang baik ketika berurusan dengan kita, hati akan mencetuskan rasa suka. Tidak kira sekecil atau sebesar mana keputusan tersebut, sekiranya dibuat dengan baik tanpa mengabaikan perasaan dan peranan pasangan, impaknya akan positif kepada perhubungan. Perasaan suka, suka, suka ini apabila terlalu banyak maka terhasillah cinta. 

Contohnya, suami membelikan makan malam dan kemudian menambah sepapan Panadol dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja apabila tahu bahawa isterinya tidak sihat. Suami yang sedang duduk menonton televisyen diurut kakinya oleh isteri tanpa dipinta, hati mana yang tak ceria? Tatkala berdepan cabaran di pejabat, pasangan memahami dan sudi berkongsi telinga untuk mendengar keluhan, mereda tekanan, mengembalikan senyuman. Suami tidak lokek berbelanja untuk keluarga manakala isteri pula bijak mengatur pengurusan rumahtangga. Masalah yang hadir diselesai bersama di sebalik tabir, tidak dijaja-jaja di mana-mana sehingga anak-anak pun tidak tahu ada masalah yang melanda. Melihat sahaja pasangan, senyum terukir. Sedih hati si dia, kita pun terasa sama.

Konsisten Dengan Keputusan Yang Baik

Ketekalan atau konsistensi pasangan untuk membuat keputusan bijak dalam perhubungan akan mewujudkan rasa suka yang akhirnya dikumpul menjadi cinta yang kukuh lagi utuh. Pasangan begini, insyaAllah, mampu berdepan dengan cabaran yang mendatang, melayari ombak perkahwinan dengan penuh tenang, sabar dan tawakkal. 

Jika kita bercerita tentang kecintaan kepada Allah SWT, hamba yang bertaqwa tidak akan mengabaikan tanggungjawabnya dalam mengerjakan amal makruf, nahi mungkar. Ketekalan, konsistensi kita dalam mengerjakan solat, puasa, dan sebagainya bukan hanya dipenuhi pada hari-hari istimewa sahaja. Semuanya perlu konsisten dalam menzahirkan rasa cinta kita kepada Sang Pencipta Yang Maha Esa. Kecintaan kita kepada Rasulullah SAW juga dizahirkan dengan mengamalkan sunnah-sunnah Baginda SAW, di samping minda dan hati yang tidak lekang berselawat mengingati kekasih Allah Azza Wa Jalla. 

Cinta itu memerlukan konsistensi serta disiplin yang tinggi untuk terus mengambil keputusan yang baik di setiap masa dalam semua hal bersangkut pasangan dan keluarga. Tentu sekali tiada siapa yang sempurna dan setiap kita pasti berdepan dengan suasana yang mencabar di dalam perhubungan. Namun, jika kita tersilap 1 dalam 100 keputusan, adakah perasaan cinta itu akan hilang dan pudar serta-merta? Rasa cinta sebaliknya akan hambar jika kita sering membuat keputusan bodoh, culas dan mementingkan diri sendiri berbanding membuat keputusan yang baik. Andai dalam 100 keputusan, 60% daripadanya menyakitkan dan melukakan hati pasangan, cinta yang tercipta juga nazak disebabkannya.  

Mengapa ada perhubungan yang bahagia dan penuh cinta, manakala ada yang berantakan walaupun baru sahaja berumahtangga? Sebabnya ialah, apabila hidup berdua banyak keputusan yang dibuat dalam kehidupan seharian tidak menepati jangkaan pasangan, dan apabila perasaan ini membuak, maka tercetuslah pertengkaran dan pertelingkahan yang berpanjangan. Oleh kerana cinta itu belum kukuh akibat perhubungan yang baru terbina, pasangan tidak ada tiang seri untuk berpaut untuk menyelamatkan mahligai mereka.

Kesimpulan

Rahsia bahagia itu terbit dengan hadirnya konsistensi dalam membuat keputusan dalam perhubungan. Antara merajuk dan berbincang, mana keputusan yang lebih baik? Antara bertengkar dan mendengar, keputusan mana yang akan membuahkan rasa yang lebih aman? Antara menghormati isteri dan mengerling ke arah wanita di luar sana, yang mana satu pilihan yang lebih baik?

Keputusan-keputusan yang baik ini perlu hadir dari kedua belah pihak untuk melahirkan rasa hormat dan cinta yang utuh di dalam hati masing-masing. Jangan hanya kerana ego, perkara kecil diperbesarkan sehingga meruntuh perkahwinan yang dibina. Fikirkanlah bagaimana untuk menambah cinta dengan membuat keputusan yang baik bagi perhubungan serta keluarga. Insya-Allah.  

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑