Oleh: AJ
Pernahkah anda menonton filem Groundhog Day yang dibintangi Bill Murray? Di dalam filem ini, watak utamanya, Phil Connors, terperangkap di dalam gelung masa dan perlu melakukan perkara yang sama setiap hari selama bertahun-tahun lamanya sehingga beliau melakukan perkara yang betul.
Kehidupan seorang mukmin itu sebenarnya persis Groundhog Day.
Setiap kali mata terjaga di kala subuh selepas diulit mimpi malam, seorang mukmin itu harus segera bangkit untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada pencipta. Seorang mukmin itu perlu melapor diri, mengakui kebesaran Allah Azza Wa Jalla seawal mata terbuka, menerima hakikat bahawa dirinya itu hanyalah seorang ibād, seorang hamba yang menyerahkan segalanya kepada Al-Rabb yang Esa, memohon nikmat dan rahmat kehidupan dari Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, sebelum dia meneruskan kehidupan sehariannya, dan untuk kekal berada di landasan yang digariskan.
Kehidupan seorang mukmin itu harus teguh berdisiplin, penuh kawalan diri, kuat kawalan emosi, stabil dan tidak harus diganggu gugat oleh elemen persekitaran yang sifatnya mengasyikkan, melekakan dan melalaikan. Seorang mukmin itu tidak boleh sarat beralasan kerana manual kehidupan baik yang dituntut itu telah diturunkan dan diperjelaskan melalui Firman Allah SWT di dalam Al-Quran serta hadis-hadis Rasulullah SAW.
Setiap hari, mukmin itu perlu berpesan-pesan kepada kebaikan, berpesan-pesan dengan kesabaran.
Apabila tibanya waktu-waktu melapor diri kepada Ilahi, seorang mukmin itu tidak harus berlengah kerana dia mengetahui hakikat bahawa Tuhannya tidak sekelumitpun memerlukan ibadahnya itu, tetapi kehidupan dia itu keseluruhannya bergantung kepada Ar-Rahman, Yang Maha Pemurah.
Rezekinya, kesihatannya, bahagianya, deritanya, amalannya, wai’ma doanya perlu disandarkan kepada Tuhan Yang Maha Esa untuk membenarkan dia berdoa kepada-Nya.
Setiap langkahnya, perbuatannya, pandangannya, pendengarannya, tuturkatanya, gerak langkahnya, gerak hatinya, seorang mukmin itu perlu sedar bahawa Allah SWT itu memerhati. Tiada apa yang terlepas dari radar dan catatan Yang Maha Kuasa, walau sekelumit pun kebaikan atau kejahatan, segalanya dirakam, direkod dengan perincian yang hebat.
Hanya taubat yang datang dari hati yang benar-benar insaf sahaja mungkin mampu memadamkan rekod-rekod dosa jelik yang ada, itupun dengan keizinan Al-Ghaffar, Tuhan Yang Maha Pengampun. Lantas, manusia itu setiap harinya perlu merayu agar rekod kehidupannya disunting agar berkurangan cacat dan celanya, di samping memohon rahmat-Nya bagi kehidupan yang sejahtera.
Setiap hari kehidupan mukmin itu ialah monotoni menuju Ilahi.
Kalau begitu dimanakah keseronokannya menelusuri kehidupan dengan lelah bertahun-tahun beribadat?
Hakikatnya, seorang mukmin itu perlu jelas bahawa kebahagiaan itu ialah mengetahui bahawa destinasi yang ingin dituju itu, lokasinya bukan di dunia yang fana ini. Seorang mukmin itu perlu maklum bahawa dunia ini ialah pentas ujian, dan bahawa sesungguhnya dia telah berusaha melakukan persiapan menuju ke alam abadi dengan sedaya upayanya ketika dia punya usia.
Untuk kekal bertaqwa kepada Allah yang Maha Esa, kesabaran itu dituntut daripada semua hamba-Nya. Oleh itu, sabar yang begitu besar ganjarannya, tidak mampu dicapai oleh keseronokan dan gemerlapan dunia yang kerdil.
Dan akhirnya, walaupun setelah beristiqamah di sepanjang hayatnya, setiap jiwa mukmin itu mengharapkan belas kasihan dan kemaafan Tuhannya, agar dia diberi kebenaran untuk menikmati kehidupan seterusnya di alam kekal yang serba magikal, menikmati kehidupan di syurga Firdausi yang abadi.
Leave a comment