Hatim Mengalahkan Seorang Yahudi

Diceritakan bahawa ketika Hatim Al-Asham1 masuk ke kota Baghdad, dikatakan kepadanya bahawa ada seorang Yahudi yang mampu mengalahkan orang bijak pandai ketika berdebat.

Hatim berkata, “Bolehkah aku bercakap sesuatu kepadanya?”

Yahudi tersebut datang ke majlisnya dengan niat berdebat.

Beliau lalu bertanya, “Apakah sesuatu yang tidak dimiliki Allah? Apakah yang tidak terdapat dalam zat Allah? Apakah yang tidak dimiliki oleh Allah dalam perbendaharaan-Nya? Apakah yang diminta oleh Allah daripada hamba-Nya? Apakah yang ditetapkan oleh Allah dan apakah yang dibebaskan oleh Allah?”

Hatim menjawab dalam bentuk pertanyaan, “Jika aku menjawab pertanyaanmu, apakah kamu akan masuk Islam?” Yahudi tersebut menjawab, “Ya.”

Hatim menjawab, “Allah tidak memiliki anak dan sekutu-Nya seorang pun. Zalim adalah yang tidak terdapat dalam zat Allah kerana Allah tidak pernah zalim. Yang tidak ada dalam perbendaharaan Allah adalah kefakiran kerana sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Kaya dan kamu semua adalah fuqara’ 2. Yang diminta Allah daripada hamba-Nya adalah apa yang dipinjamkan. Yang ditetapkan Allah adalah seksa-Nya ke atas orang kafir dan yang dibebaskan Allah pula adalah seksa tersebut ke atas hamba-hamba yang dicintai-Nya.”

Jawapan Hatim benar-benar mengejutkan Yahudi tersebut yang akhirnya menyatakan hasratnya untuk masuk Islam. 

Nota Kaki:

  1. Beliau ialah Abu Abdur Rahman Hatim bin Alwan, terkenal dengan gelar al-Asham. Termasuk ulama’ besar Khurasan. Digelar “Al-Asham” (orang yang pekak) bukan kerana beliau tidak mendengar tetapi kerana beliau pernah berpura-pura pekak untuk menjaga maruah seorang perempuan yang terkeluar angin ketika bertanya soalan kepadanya. Meninggal di Tirmiz pada 237H. ↩︎
  2. Fakir (al Fuqara) Golongan yang tiada harta pendapatan yang mencukupi untuk untuk keperluan dirinya. Tidak mempunyai keluarga untuk mencukupkan nafkahnya seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal ↩︎

Sumber: Fatasyabbahu, Teladanilah Mereka, Ustaz Muhadir Haji Jol

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑