Oleh Mymuslimin.com
Penampilan gerai Pak Nik Burger ™️ yang terletak di tingkat 4, Selera Street, Sunway Putra ini ringkas sahaja tetapi burgernya bukan calang-calang, ianya burger bakar gourmet! Jenama Pak Nik Burger ™️ telah diasaskan oleh pasangan Nik Shafizal dan Kak Sue pada tahun 2020 dengan memperkenalkan burger gourmet bakar dengan harga yang berpatutan.

Burger popular di sini ialah Burger Streaky (daging lembu atau kambing) yang mengandungi burger, salad, bawang, keju, sos salsa buatan sendiri, beef streaky dan mayonis. Tiada sos atau keju meleleh untuk burger ini, jadi ianya lebih mudah untuk dinikmati. Sos boleh dipicit sendiri dan tersedia di setiap meja. Antara burger lain yang menarik ialah Kahwin 2, gabungan daging lembu dan kambing dalam satu burger di antara kepingan roti brioche, roti kacukan antara pastri dan roti. Kepada mereka yang gemarkan burger meleleh, mungkin boleh mencuba burger BBQ atau double cheezy Pak Nik Burger ™️. Selain daging lembu dan kambing, burger ayam juga tersedia dalam banyak variasi dan Hip-hop Burger ialah burger ayam yang ditambah telur dan Lambenizer sering menjadi pilihan peminat daging kambing.

Burger Bakar di Pak Nik Burger ™️ ternyata lazat! Dagingnya lembut dan dibakar cukup baik berbaloi-baloi walaupun terpaksa menunggu sehingga 10-15 minit. Oleh kerana pelanggan telah diberi ‘amaran’ tentang masa penyediaan, penantian bukanlah satu penyeksaan. Kami faham burger yang baik perlu mengambil sedikit masa. Dan satu lagi istimewanya burger di Pak Nik Burger ™️ ini ialah rotinya! Bun burger di sini dibakar dengan mahir dengan sedikit berkerak di luar dan lembut di dalam.

Pak Nik Burger ™️ menawarkan bermacam-macam set yang datang bersama kentang goreng dan air soda. Selain burger, hidangan lain yang tersedia termasuk kepak ayam, nasi ayam, ayam bulgogi, ayam korea bawang putih dan sebagainya.

Untuk mereka yang berada di Sunway Putra atau di kawasan sekitar PWTC atau Chow Kit, bolehlah singgah ke gerai ini untuk menikmati burger gourmet lazat berkualiti. Tempat makan di Selera Street juga luas, bersih dan cantik, sesuai untuk OOTD!
Pak Nik Burger ™️
Lot L4.48, Tingkat 4, Selera Street,
Sunway Putra, 100, Jalan Putra, Chow Kit, 50350 Kuala Lumpur
Leave a comment