Teks Khutbah Jumaat: Derma Organ; Mulianya Sifat Kemanusiaan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua dibangkitkan dalam kalangan orang-orang yang bertakwa di akhirat kelak.

Marilah kita memberikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan dan tidak melakukan perkara yang melalaikan seperti menggunakan telefon atau berbual-bual. Semoga kita mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat.

Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Derma Organ; Mulianya Sifat Kemanusiaan”.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Syariat Islam diturunkan antaranya bertujuan untuk memelihara nyawa dan jiwa manusia. tuntutan agama bukan sahaja untuk menjaga nyawa diri sendiri, tetapi Islam juga menggalakkan apa jua usaha dan tindakan yang dilakukan umatnya untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Saranan ini sangat jelas menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 32 yang bermaksud :

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya. Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang, kemudian sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.”

(Al-Maidah 5:32)

Ilmu perubatan di zaman ini semakin berkembang seiring dengan perkembangan teknologi. Dalam aspek perubatan, pelbagai cara dan kaedah telah diilakukan dalam usaha dan ikhtiar merawat dan menyelamatkan nyawa manusia termasuklah kaedah transplan atau pemindahan organ yang diharuskan oleh syarak iaitu penggantian organ yang berpenyakit dan rosak dengan organ atau tisu yang sihat daripada penderma.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang telah bersidang pada tahun 1970 telah mengharuskan kaedah perawatan ini. Pendapat ini selari dengan institusi antarabangsa seperti Majma’ al-Fiqh al-Islami dan Lajnah Daimah Arab Saudi.

Pemindahan organ dibenarkan syarak atas alasan menjaga nyawa dan keturunan yang menjadi aspek maqasid al-Syariah. Selain itu, kaedah fiqhiyyah seperti konsep darurat membenarkan larangan iaitu ad-Dharurah tubihu al-Mahzurat dan konsep memilih darurat yang kurang antara dua darurat iaitu Akhaffu ad-Dhararain menjadi asas kepada kebenaran pemindahan organ apabila berlaku sakit yang mengancam nyawa. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud: 

“Maka sesiapa yang terpaksa (kerana darurat) sedang dia tidak mengingini dan tidak pula dia melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Al-Baqarah 2: 173)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Terdapat banyak bukti dalam bidang perubatan menunjukkan pemindahan organ yang telah dilaksanakan mencapai kejayaan. Sesungguhnya organ yang didermakan tersebut dapat memberi manfaat yang besar kepada ramai insan yang memerlukan dalam aspek menyelamatkan nyawa dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Walaubagaimanapun, masih ramai dalam kalangan kita yang masih belum merebut peluang untuk mendaftarkan diri sebagai pengikrar derma organ.

Berdasarkan statistik Pusat Sumber Transplan Nasional, Kuala Lumpur menunjukkan hanya terdapat 836 orang penderma organ kadarverik atau selepas kematian sejak dari tahun 1976 sehingga bulan Jun 2023. Daripada jumlah berkenaan, hanya terdapat 111 orang penderma organ yang beragama Islam. 

Jumlah penderma ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan jumlah pesakit kegagalan organ tahap akhir di negara ini yang berjumlah seramai 10,893 orang pesakit dalam senarai menunggu untuk mendapatkan organ baharu. Daripada jumlah tersebut, seramai 10,863 orang pesakit iaitu bersamaan 99 peratus sedang menunggu untuk mendapatkan buah pinggang baharu.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Mimbar mengajak sidang jemaah sekalian, marilah kita menyahut dan menyokong seruan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tampil menjadi penderma organ. Dapatkanlah ilmu dan maklumat berkaitan kaedah rawatan ini daripada sumber-sumber yang berautoriti untuk memastikan kita mendapat maklumat yang tepat dan daftarlah sebagai pengikrar penderma organ dengan merujuk kepada Pusat Sumber Transplan Nasional. Proses pendaftaran juga kini boleh dibuat menerusi aplikasi MySejahtera.

Semoga dengan usaha kita ini menjadi jariah yang berpanjangan sebagai bekalan kita di akhirat nanti. Di sisi Islam, para penderma dianggap telah membuat amal kebajikan yang besar dan akan beroleh ganjaran pahala yang berterusan di sisi Allah SWT. Imam al-Tirmizi telah meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu, bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud: 

“Apabila seseorang insan meninggal dunia, (pahala) amalnya akan terputus kecuali daripada tiga perkara iaitu; sedekah yang berterusan, ilmu yang diambil manfaat dengannya, dan anak soleh yang mendoakan untuknya.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Islam menuntut umatnya agar memelihara nyawa sendiri dan orang lain. Islam mengharuskan usaha-usaha perubatan yang baik dalam menyelamatkan nyawa termasuk kaedah transplan dan pemindahan organ.

Kedua: Dalamilah ilmu dan maklumat berkaitan kaedah transplan dan pemindahan organ daripada sumber-sumber yang berautoriti untuk memastikan kita mendapat maklumat yang tepat.

Ketiga: Ambillah peluang melakukan salah satu amal jariah yang baik dan menyelamatkan nyawa orang lain dengan mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ.

Mengakhiri khutbah, renungkan firman Allah SWT di dalam surah An-Najm ayat 39 hingga 42 yang bermaksud: 

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna. Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara).”

(An-Najm 53: 39-42)

Maklumat lanjut tentang DERMA ORGAN di pautan ini.

Tarikh Dibaca: 22 Safar 1445H/8 September 2023M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑