Mymuslimin.com
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang menyebut tentang amalan-amalan yang boleh dilakukan sebelum tidur. 6 amalan yang terdapat hadis sahih tentangnya ialah:
1. Mengibas Tilam Sebelum Berbaring di Atasnya
Riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ، فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ، فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ، وَلْيُسَمِّ اللهَ، فَإِنَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا خَلَفَهُ بَعْدَهُ عَلَى فِرَاشِهِ، فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَضْطَجِعَ، فَلْيَضْطَجِعْ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، وَلْيَقُلْ : سُبْحَانَكَ اللهُمَّ رَبِّي بِكَ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي، فَاغْفِرْ لَهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama Allah (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci Engkau, Ya Allah Wahai Tuhanku, dengan namaMu aku berbaring, dan dengan namaMu aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hamba Mu yang soleh.”
(Hadis Riwayat Muslim, 2714)
2. Berwuduk Sebelum Tidur
Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Al-Bara’ Bin ‘Azib bahawa Nabi SAW bersabda :
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ وقُلْ: اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ، فَإِنْ مُتَّ مُتَّ عَلَى الْفِطْرَةِ فاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَقُولُ
Maksudnya: “Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah : Ya Allah aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan. Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan.”
(Riwayat Al-Bukhari 6311)
3. Membaca Doa Sebelum Tidur
Doa sebelum tidur dikhususkan untuk dibaca bagi memperoleh tidur yang lena tanpa sebarang gangguan baik dari manusia atau makhluk ghaib. Berdoa kepada Allah seperti mana kita meletakkan urusan kita 100% atas jagaannya selepas kita berusaha.
Dari Hudzaifah, ia berkata, “Apabila Nabi SAW hendak tidur, beliau mengucapkan: ‘Bismika allahumma amuutu wa ahya (Dengan nama Mu, Ya Allah aku ma ti dan aku hidup).’ Dan apabila bangun tidur, beliau mengucapkan: “Alhamdulillahilladzii ahyaana ba’da maa amatana wailaihi nusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada Nya lah tempat kembali).” –
(Hadis Riwayat Bukhari)
4. Membaca 3 Qul
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW daripada `Aisyah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ} ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: “Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada keduanya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua tapak tangannya it uke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala. Muka dan bahagian depan badan Baginda dan Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, 5017)
4. Berbaring Pada Sisi Kanan
Menurut Ibn Qayyim, “Tidur berbaring pada sisi kanan dianjurkan dalam Islam agar seseorang tidak susah untuk bangun solat malam. Tidur pada sisi kanan lebih bermanfaat untuk jantung. Manakala, tidur pada sisi kiri juga bagus untuk badan tetapi membuat seseorag semakin malas.” Berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW, “Berbaringlah di atas rusuk kananmu.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Adab tidur yang dianjurkan mengiring ke sebelah kanan mempunyai banyak manfaatnya dari segi sains dan kesihatan manusia seperti mengurangkan tekanan jantung, meningkatkan waktu penyerapan zat makanan, dan sebagainya.
5. Membaca Dua Ayat Terakhir Surah Al-Baqarah
Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW mengajarkan umatnya agar membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah. Daripada Abu Huraira RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.”
(Hadis Riwayat Al-Bukhari, 5009)
6. Membaca Surah Al-Mulk
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Barangsiapa membaca surah al-Mulk setiap malam, Allah SWT akan menghindarkannya dari seksa kubur dengan surah tersebut. Pada masa Nabi SAW kami menamakannya dengan al-Mani‘ah (penghalang). Ia adalah surah dalam al-Quran yang jika dibaca setiap malam, maka pembacanya akan mendapatkan banyak kebaikan.”
(HR al-Nasa’i dengan sanad yang baik)
Sebagai seorang Muslim kita sepatutnya menjadikan Baginda SAW contoh ikutan dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
(Surah Al-Ahzab 33:21)
Diharapkan dengan perkongsian ini dapat memberikan ilmu pengetahun yang bermanfaat untuk diamalkan dan disampaikan kepada orang lain.
Wallahu’alam.
Leave a comment