Solat dan Ibadah Berdasarkan Tradisi – Hati-Hati Hasutan Iblis 

Berkata Imam Al-Jauzi yang maksudnya:

“Muslihat Iblis terhadap manusia secara umum adalah kebiasaan mereka yang mengikuti adat resam, dan ini termasuk faktor kerosakan mereka yang paling menonjol. Antara kerosakan tersebut adalah mereka mengikuti bapa dan moyang mereka dan agama Islam yang mereka anuti hanya berdasarkan adat dan cara mereka dibesarkan semenjak kecil. Ada antara mereka itu yang sudah hidup selama lima puluh tahun dengan hanya mengikuti apa yang diwarisi daripada amalan bapanya dan tidak pernah terfikir apakah amalan yang diikuti itu benar ataupun salah. Seperti pegangan Yahudi, Nasrani, dan orang jahiliah yang yang selalu mengikuti amalan nenek moyang mereka, orang Muslim juga tidak jauh beza. Mereka melaksanakan solat dan ibadah hanya berdasarkan tradisi. Dia solat bertahun-tahun dengan hanya melihat cara orang ramai melakukan solat. Bacaan Fatihahnya tidak betul dan tidak tahu kewajipan-kewajipan yang berkait dengannya. Walhal, seandainya dia ingin berdagang, sebelum dia bertolak lagi dia pasti akan bertanya tentang bagaimanakah cara perniagaan akan dilakukan di negeri yang ditujuinya (iaitu dengan ilmu bukan ikut-ikutan, begitu juga dalam hal agama, mesti ada hujah dan ilmu sebelum beramal). Kemudian mereka lihat ada di antara mereka yang rukuk sebelum imam dan sujud sebelum imam, dan dia tidak mengetahui sekiranya dia rukuk sebelumnya (imam), maka dia telah menyalahi rukun. Sekiranya dia bangun sebelumnya (imam), maka dia telah menyalahi dua rukun. Maka terbatal solatnya.”

Syarah dan Tahqiq:

Tipu daya Iblis terhadap orang awam juga adalah dengan:

  • Menghasut mereka supaya mengikuti adat resam orang-orang terdahulu secara membuta tuli.
  • Mereka menganggap adat-adat yang telah diterapkan kepada mereka sejak kecil semuanya benar dan boleh diamalkan.
  • Mereka juga enggan mengkaji kesahihan adat resam orang-orang dahulu.

Padanya, orang-orang terdahulu lebih mengetahui daripada mereka. Sedangkan, pemikiran-pemikiran sebegini adalah pemikiran yang telah diracuni oleh tipu daya Iblis. Iblis sentiasa meracuni pemikiran mereka supaya mereka  mentaati sahaja adat resam yang telah dicipta oleh orang-orang terdahulu tanpa mempersoalkan kesahihannya.

Walhal, orang-orang terdahulu pun belum tentu sahih imannya. Masyarakat Melayu juga tidak terlepas daripada adat resam dan pantang larang yang tiada asas. Contohnya seperti larangan duduk di atas bantal. Orang terdahulu melarang keras duduk di atas bantal. Dibimbangi punggungnya dijangkiti bisul. Sedangkan dakwaan ini tiada asas dan dalilnya dari pandangan Islam. Bukan itu sahaja, dari sudut sains juga tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir masyarakat Melayu yang cukup berpegang dengan pantang larang ini, sehingga berasa takut untuk duduk di atas bantal. Walhal, mungkin terdapat maksud tersirat di sebalik larangan ini. Mungkin larangan ini bermaksud tidak elok jikalau meletakkan punggung di atas bantal kerana bantal adalah tempat untuk meletak kepala. Masyarakat Melayu khususnya, amat menghormati kepala sebagai tempat letaknya otak dan akal yang digunakan untuk berfikir.

Namun begitu, bukanlah semua pantang larang masyarakat Melayu itu tiada asasnya. Cuma, kita haruslah menyelidikinya dahulu supaya kita tahu kesahihannya. Jikalau ia bercanggah dengan pegangan Islam, akal fikiran, ataupun hukum alam, maka tidak menjadi kesalahan untuk kita menolaknya.

Begitu juga terdapat segelintir manusia yang solat berdasarkan ikutan daripada keturunannya sahaja. Sedangkan, solat yang diamalkan oleh nenek moyangnya itu pun belum tentu benar-benar seperti yang diajarkan oleh baginda Nabi. Tetapi oleh kerana kemalasannya dalam menuntut ilmu, maka dia hanya mengikuti cara nenek moyangnya sahaja. Maka rosaklah solatnya dan begitu juga solat anak cucunya jikalau mereka juga bersikap sepertinya.

Janganlah terlampau taasub dan beriman terhadap kepercayaan orang-orang terdahulu. Sehingga apa yang dibawakan oleh Islam pun sanggup dia tentangi kerana terdapat percanggahan dengan kepercayaan nenek moyang mereka.

Hal ini berlaku pada kaum jahiliah pada zaman awal-awal Islam yang dibawakan oleh baginda Nabi. Oleh kerana terlampau taasub terhadap ajaran nenek moyang mereka, maka mereka sanggup menentang Islam yang dibawakan oleh baginda Nabi. Sedangkan ajaran nenek moyang mereka adalah sesat dan ajaran yang dibawa oleh Nabi yang akan menyelamatkan mereka kelak.

Sumber: Belitan Tipu Daya Iblis Dr Zaharuddin Abd. Rahman

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑