Roti Sarang Burung Daging Selambak di Roti Canai Pokok Cempedak 

Oleh Mymuslimin.com

Dari Kuala Lumpur, perjalanan ke Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan melalui lebuhraya LEKAS hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam 20 minit. Perjalanan ini menelusuri lebuhraya Temiang yang viral satu ketika dulu kerana kata orang ada vibe permandangan New Zealand yang menakjubkan. Kuala Klawang merupakan pekan terbesar di Jelebu yang berjarak hanya 36km dari Seremban. 

Pokok Cempedak menaungi gerai ini

Selepas Subuh, kami turun sebentar ke Kuala Klawang untuk menikmati sarapan di Roti Canai Pokok Cempedak. Dalam Waze, tempat ini ialah Nasi Lomak Daun Kuala Klawang dan kemudiannya ditukar kepada Laman Pokok Cempedak sebelum dikenali sebagai Roti Canai Pokok Cempedak kerana lokasi gerainya di bawah pokok cempedak. 

Menu Roti Canai Pokok Cempedak

Apa yang menariknya makanan di sini? Selain Roti Canai, Roti Bom, Roti Cheese, Roti Canai Sarang Burung di sini ‘wajib’ dicuba. Kerak yang dihasilkan di luar roti sarang burung ini memberi tekstur rangup tetapi rotinya masih lembut untuk menyerap kari yang dihidangkan bersama. Roti Sarang Burung Daging Selambak ada variasi ayam dan daging RM8. Daging cincang dan sambal dilambak di atas roti sarang burung bersama sebiji telur dadar separuh masak. Dengan tekstur yang pelbagai dan campuran kuah serta protein yang berlainan, Roti Sarang Burung Daging Selambak lazat untuk dinikmati. 

Roti Sarang Burung Daging Selambak

Nasi lemak di Roti Canai Pokok Cempedak juga menampilkan kelainan dengan kehadiran keropok dan ikan masin! Pertama kali makan nasi lemak dengan ikan masin. Nasi lemak biasa dibalut daun pisang berharga RM2, nasi lemak biasa dengan telur rebus atas pinggan RM2.50, nasi lemak telur mata RM3.50. Ada juga nasi lemak pattaya yang dibungkus di dalam telur dadar berharga RM5, dan untuk lauk tambahan seperti kari kambing atau ayam goreng, harganya RM8. Nasi lemaknya cantik berlemak, sambalnya penuh bawang merah, tidak pedas sangat dan tidak manis. Kari daging yang dipadan dengan nasi lemak sedap juga tetapi jika dipanaskan sedikit lebih baik kerana lemak di daging sudah mula mengeras kerana sejuk. 

Nasi Lemak Kari Kambing

Gerai ini dibuka di tanah lapang di hadapan rumah dan dipayungi pohon-pohon rendang. Ada mata kucing dan rambutan yang sedang berbuah. Namun, jangan main petik, minta kebenaran tuan rumahnya dahulu. Di hadapan gerai ini ada dijual petai dan durian Jelebu yang popular kerana baunya yang menyengat dan rasanya yang lebih sedap berbanding durian ‘tanah rata’. Tak sempat kami nak merasa, pusing sekali lagi dah sold out dibeli pelanggan.

Durian, petai untuk dijual

Sama ada anda on the way ke Seremban atau sekadar pusing-pusing cari makan, bolehlah cuba Roti Canai Pokok Cempedak di Kuala Klawang ini. 

Roti Canai Pokok Cempedak
Jalan Kampung Sungai Kepong, Kampung Sungai Gunung Daun, 71600 Kuala Klawang, Negeri Sembilan
Buka – 7 pagi -12 tengahari setiap hari
Tutup – Rabu

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑