Utamakan kebenaran dalam setiap keadaan dan kau akan memperoleh manfaatnya
Kebenaran adalah sumber cahaya dan petunjuk. Kewujudan kita di dunia ini sebahagian besarnya ialah pendedahan kepada perubahan-perubahan sebagai ujian kepada tahap kebenaran diri kita. Kita harus jujur kepada Tuhan, diri sendiri, dan orang lain semasa kita menelusuri kehidupan. Jika kita mampu berbuat demikian, kita akan sentiasa mendapat manfaat daripada situasi yang kita tempohi, tidak kira betapa berat dugaannya.
Allah SWT berfirman di dalam Qur’an yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut 29:2-3)
Jauhi diri daripada sifat keterlaluan dan kau akan selamat
Allah SWT telah menetapkan keseimbangan dalam mengatur segala sesuatu dalam ciptaan-Nya. Kesederhanaan dalam urusan kita adalah wajar kerana ia membantu kita mengekalkan keseimbangan yang telah ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Sifat keterlaluan itu merosakkan. Jadi elakkan makan berlebihan, kesihatan anda akan selamat; elakkan bercakap berlebihan, hati anda akan selamat; elakkan tidur berlebihan, ibadah anda akan selamat.
Salah satu nikmat Ramadan yang besar ialah ia membantu kita mengurangkan ketiga-tiga kerosakan ini. Kita kurang tidur kerana melakukan solat Tarawih dan bangun lebih awal daripada biasa untuk bersahur. Kita kurang makan kerana kita berpuasa, dan jika kita mengetahui adab-adab puasa kita akan kurangkan bercakap. Ini adalah latihan praktikal yang baik untuk diri kita, dan kita perlu melakukannya selama satu bulan dalam setahun.
“Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada keredhaan Allah Yang Maha Tinggi. Berdusta membawa kepada kemaksiatan dan kemaksiatan mendatangkan kemurkaan Allah.” (Bukhari 6094; Muslim 2607)
Seperti yang telah disebutkan, kita mesti jujur kepada Tuhan, diri kita sendiri, dan orang lain. Kejujuran membawa kepada keredhaan Allah SWT. Kejujuran adalah salah satu ciri yang menentukan seorang mukmin. Nabi SAW menyebut bahawa seorang Muslim boleh menjadi banyak perkara, tetapi dia tidak boleh menjadi pendusta.1
Kejujuran adalah salah satu bekalan penting yang perlu kita bawa untuk perjalanan kita menuju Ilahi
Oleh itu, kejujuran adalah salah satu bekalan penting yang perlu kita bawa untuk perjalanan kita menuju Ilahi. Salah satu nama Allah ialah Kebenaran (al-Haqq). Bukanlah satu kebetulan bahawa kejujuran adalah salah satu persediaan terbesar yang perlu kita bawa untuk perjalanan kita kepada Allah SWT, Yang Maha Benar.
Pembohongan memusnahkan etika unggul yang menjadi landasan agama kita. Apabila keunggulan itu hilang, semua tindakan yang dikaitkan dengan pencapaian dan pengekalan keunggulan itu menjadi tidak bermakna. Inilah sebabnya mengapa seorang Muslim tidak boleh menjadi pembohong, kerana orang yang sentiasa berbohong tidak mempunyai standard etika yang lebih tinggi dan hanya mencari cara untuk memajukan kepentingannya. Jika pembohongan berfungsi untuk memajukan kepentingan itu, dia bersedia untuk berbohong. Pendekatan hidup seperti itu adalah intipati kemunafikan, kerana orang munafik adalah orang yang hidup dalam kebohongan.
Oleh itu kita dapati bahawa tidak ada yang lebih terdedah kepada kemurkaan Allah daripada orang-orang munafik. Allah SWT berfirman dalam al-Quran, “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” (An-Nisa’ 4:145)
Abdullah ibn ‘Abbas berkata, “Janganlah kamu membicarakan perkara-perkara yang tidak penting bagimu, dan tinggalkan banyak perkara yang terkait denganmu. Dan jangan berdebat dengan orang-orang bodoh atau orang yang lemah-lembut dan penuh belas kasihan. Hanya ceritakan tentang saudaramu itu dengan cara yang kamu suka disebutkan tentang diri kamu.”
Apa yang perlu kita bimbangkan ialah perkara yang mempunyai beberapa manfaat yang dibenarkan oleh hukum Ilahi. Apa yang perlu kita perlu titikberatkan ialah apa yang membantu kita ke arah mencapai Syurga. Jika percakapan kita tidak mengandungi apa-apa yang berfaedah, lebih baiklah berdiam diri. Peraturan am untuk lidah kita ialah diam. Kita hanya perlu meninggalkan peraturan am itu atas sebab yang sah. Oleh itu, kita hanya perlu bercakap atas sebab yang munasabah. Sebab-sebab itu termasuklah untuk meraikan sesuatu.
Nabi SAW berjenaka, tetapi baginda tidak pernah berbohong ketika bergurau. Baginda SAW berusaha menceriakan keadaan dalam banyak situasi; Baginda bermain dengan isteri-isterinya. Baginda berlumba dengan mereka dan menghiburkan mereka. Baginda juga menceriakan para Sahabat. Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik pembimbing. Oleh itu, tidak ada salahnya berlawak jenaka, asalkan tidak keterlaluan, sentiasa dan semberono.
Jangan buang masa berdebat dengan si bodoh
Apabila kita berdebat dengan orang bodoh, kita membuang masa kerana si bodoh tidak mempunyai keupayaan mental untuk memahami hujah. Dalam perdebatan itu dia mungkin menyusun semula hujah-hujah anda dalam bentuk yang berbelit-belit sehingga anda sendiri menjadi keliru dan kehilangan keupayaan untuk membuat hujahan yang koheren.
Apabila kita berhujah dengan orang yang lemah lembut dan penuh belas kasihan, walaupun mereka tidak bersetuju dengan kita, jika mereka merasakan tidak ada kepentingan dalam menyangkal atau membetulkan kita, maka kerana menghormati atau kerana malu mereka mungkin memilih untuk mendengar sahaja. Walau bagaimanapun, mereka tidak akan menerima hujah yang tidak berasas atau lemah. Walau apa pun, kita telah membuang masa berharga yang mungkin boleh digunakan untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk jiwa.
Hidup ini terlalu singkat untuk membuang masa yang berharga
Hidup ini terlalu singkat untuk membuang masa yang berharga. Kita perlu meneruskan kerja-kerja yang memberi manfaat kepada kehidupan kita dan terus bergerak ke jalan yang membawa kita kepada Allah SWT.
Jangan bercakap tentang orang dengan cara yang negatif. Melakukannya hanyalah akan mengundang perkara yang sama ke atas diri kita dari lidah orang lain. Seperti yang telah disebutkan, tindakan yang sewajarnya bagi kita dari segi pertuturan ialah diam melainkan ada kepentingan untuk bercakap. Oleh itu, kita harus “bercakap dengan baik atau berdiam diri.” Melakukan sebaliknya adalah mendedahkan diri kita dosa-dosa mengumpat, memfitnah dan perbuatan lain yang bukan sahaja merupakan dosa besar lidah, tetapi juga pelanggaran berat terhadap hak dan kehormatan orang lain.
Nota:
- Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, Awjaz al-Masalik ila Muwatta al-Imam Malik (Damascua: Dar al-Qalam 1424/2003) 17:507, no: 1800 ↩︎
Sumber: Treaties for the Seekers of Guidance, Al-Muhasibi’s Risala Al-Mustarshidin
Leave a comment