Ayuh Lelaki, Perkasakan Diri! Majalah dwi-bahasa yang membawa pengisian yang merangkumi tip dan panduan amalan, ilmu agama, renungan harian, isu keluarga, perhubungan, jalan dan makan, kerjaya, serta gaya hidup.
Adat bersaudara, Saudara dipertahankan, Adat berkampung, Kampung dipertahankan, Adat bersuku, Suku dipertahankan: Hidup sandar menyandar, Bagai aur dengan tebing.
Bait-bait kata ini mengalu-alukan kedatangan pelawat ke Muzium Adat di Kuala Klawang, Jelebu. Muzium yang terletak 36 km dari Bandar Seremban ini ditubuhkan pada tahun 2005 dan dirasmikan 3 tahun kemudian pada 2 Februari 2008. Muzium ini merupakan muzium pertama di negara kita yang menghimpunkan adat dari pelbagai etnik di Malaysia.
Lokasi Muzium Adat di Negeri Sembilan ini sangat bertepatan kerana negeri ini cukup dikenali dengan identitinya sebagai ‘Tanah Beradat’. Terdapat juga segmen khusus tentang Adat Perpatih yang digunapakai di Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri beradat.
Galeri Aras Bawah – Pengenalan Adat di Malaysia
Galeri ini menyentuh secara umum tentang pengenalan, definisi dan konsep adat, kategori adat serta masyarakat beradat pelbagai kaum di Malaysia.
Galeri Aras Satu – Kitar Hidup
Paparan tentang adat-adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia termasuk kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan ritual masyarakat di Malaysia serta muzik sebagai manifestasi adat.
Galeri Aras Dua – Tradisi Intelektual / Kerajaan dan Kuasa
Aras ini mempamerkan tentang kegiatan intelektual di istana dan rakyat serta institusi Kesultanan Raja-raja Melayu.
Galeri Aras Tiga – Adat Perpatih
Merupakan segmen khusus tentang adat merantau masyarakat Minang dari Tanah Minangkabau sehingga bertapak di Negeri Sembilan dan keutuhan Adat Perpatih dari sudut struktur sosial.
Buka: 9.00 pagi hingga 5.00 petang Tutup: Isnin pertama setiap bulan Masuk: Percuma Larangan: Membawa sebarang jenis beg ke dalam Muzium Adat.
Leave a comment