Teks Khutbah Jumaat: Bersatu Teguh, Bercerai Roboh

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam naungan Allah SWT. Khatib mengingatkan para jemaah agar memberi sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan tidak melakukan perkara-perkara yang lagha seperti menggunakan telefon dan berbual-bual. Tumpukan perhatian pada khutbah yang akan disampaikan, mudah-mudahan kita semua mendapat hidayah dan taufiq dari Allah SWT.

Khutbah pada hari ini bertajuk: “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh”.

Sebelum itu, khatib ingin mengingatkan sidang jemaah sekalian agar terus istiqamah mengimarahkan masjid, surau dan majlis-majlis ilmu, serta saling berpesan antara satu sama lain dalam usaha menyeru melakukan kebaikan dan memberi peringatan dalam mencegah sebarang bentuk kemungkaran.

Demi keharmonian negara tercinta ini, khatib juga ingin berpesan kepada seluruh umat Islam, agar sentiasa berhati-hati dengan setiap pertuturan dan tindakan yang boleh menjerumuskan diri sendiri dan orang lain ke lembah dosa, kekufuran dan kefasiqan. Ingatlah firman Allah SWT dalam Surah al-Israa’ ayat 36:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۚ إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا (٣٦)

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

(Al-Israa’ 17:36)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Tanggal 16 September setiap tahun, kita bersama-sama meraikan sambutan Hari Malaysia bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Dengan pembentukan Malaysia yang terdiri daripada 14 negeri ini, ia menambahkan lagi warna-warni dan keindahan negara ini dengan kepelbagaian adat budaya, bahasa, bangsa, dan sebagainya.

Islam menerima hakikat kemajmukan masyarakat dalam sesebuah negara. Ia bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ (١٣) 

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

(Al-Hujurat 49:13)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Ajaran Islam sangat menekankan tentang keamanan dan kedamaian. Maka oleh sebab itu, Islam menyeru umatnya untuk sentiasa mendorong manusia ke arah perpaduan dan menjaga hubungan baik antara sesama manusia. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 103:

وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًۭا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءًۭ فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًۭا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍۢ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (١٠٣)  

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”.

(Ali Imran 3:103)

Rasulullah SAW merupakan contoh teladan kita dalam menegakkan negara dengan mendahulukan konsep perpaduan rakyat dalam masyarakat majmuk, bermula dengan menyatukan umat Islam. Misi perpaduan ummah dilakukan oleh Rasulullah SAW setelah berjaya mengumpulkan orang- orang yang memeluk Islam dan beriman di Makkah.

Begitu juga selepas berjaya berdakwah dan mengIslamkan Suku Aus dan Khazraj yang menetap di Madinah serta beberapa suku kaum yang kecil dan beberapa orang individu. Pembentukan Piagam Madinah juga merupakan salah satu bukti bahawa Islam meraikan segala perbezaan yang ada dalam sesebuah negara dan mengutamakan keadilan sama rata yang berpandukan perintah Allah SWT dan syariat yang telah ditetapkan.

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Dalam konteks negara Malaysia hari ini, kita seharusnya lebih matang dalam mendepani segala bentuk cabaran dan isu yang timbul. Tumpuan juga seharusnya diberikan kepada pembangunan negara yang lebih progresif dengan memastikan rakyat tidak tercicir sama ada dalam bidang pendidikan, ekonomi, kesihatan, peluang pekerjaan, teknologi dan sebagainya.

Hentikanlah perbalahan dan persengketaan yang sia-sia kerana ia tidak mendatangkan manfaat malah menjerumuskan negara ini ke lembah kebinasaan dan kemunduran. Kasihankan rakyat yang ada sebahagiannya masih bertarung jiwa dan raga mereka untuk mendapatkan sesuap nasi untuk anak dan isteri.

Kita juga telah melihat contoh yang berlaku di negara-negara luar bahawa persengketaan yang berpanjangan telah menyebabkan sesebuah negara itu runtuh dan meragut keamanan dan kedamaian yang telah dimiliki. Maka, adakah kita juga mahu menjadi seperti itu?

Lebih baik dan lebih indah jika kita hidup saling menghormati antara satu sama lain sebagaimana perintah Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 77:

وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ (٧٧)

Maksudnya: “Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.

(Al-Qasas 28:77)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Justeru, sempena Hari Malaysia ini, marilah kita baiki dan bina hubungan yang baik antara sesama kita sama ada pemimpin, mahupun rakyat jelata sekaliannya. Peganglah agama sekuat-kuatnya sebagai asas perpaduan dan persaudaraan. Semoga kita semua terus hidup dalam aman dan damai serta saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain dalam membina negara Malaysia yang diredai dan diberkati Allah SWT. Khatib juga ingin meninggalkan beberapa pesanan:

Pertama: Islam merupakan penyelesaian yang terbaik dalam menghadapi segala macam isu termasuklah dalam konteks memelihara perpaduan negara sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Baginda Rasulullah SAW.

Kedua: Wala’ (ketaatan) kepada pemimpin perlu menjadi teras utama rakyat dan pemimpin. Namun dalam masa yang sama juga, pemimpin tidak boleh mengambil kesempatan atas wala’ yang telah diberikan untuk mengaut keuntungan peribadi atau melakukan perkara-perkara di luar batasan syariat.

Ketiga: Sikap toleransi yang tinggi dan kematangan dalam menghadapi sesuatu isu menjadi kunci kepada daya tahan sesebuah negara dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin mencengkam. Tunaikanlah kewajipan agama dan jaga hubungan antara Allah SWT, serta hubungan sesama manusia dan alam. Insya-Allah, Allah SWT akan sentiasa menolong dan melimpahkan rahmat-Nya kepada kita.

Renungkanlah Firman Allah SWT:

وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ (٤٦) 

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar”.

(Al-Anfal 8:46)

Tarikh Dibaca: 29 Safar 1445H/15 September 2023M
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑