Refleksi: 3 Cara Perbaiki Diri

Pertama: Elakkan Semua Yang Kau Tidak Suka Pada Orang Lain

Diriwayatkan bahawa orang Islam adalah cerminan saudaranya. (Abu Dawud, no. 4918) Antara maksudnya ialah kita melihat sifat-sifat pada saudara (atau saudara perempuan) kita yang mungkin kita tidak nampak dalam diri kita sendiri. Setiap kali kita melihat sesuatu yang kita tidak suka pada orang lain, di samping memberi nasihat yang ikhlas kepada orang itu dengan cara yang terbaik, kita harus berusaha keras memastikan bahawa tiada siapa yang akan melihat sifat yang sama dalam diri kita.

Dengan menunjukkan kepada kita sifat itu pada orang lain, dan dengan mempamerkan kepada kita betapa keji dan terkutuknya sifat tersebut, sebenarnya Allah SWT telah memberikan kita nikmat yang besar. Apabila kita gagal bertindak untuk menghilangkan sifat-sifat tersebut dari diri kita, kita telah menolak salah satu daripada nikmat Allah.

Ditekankan sekali lagi bahawa orang yang beriman adalah orang yang berusaha untuk menyatakan kesyukuran mereka kepada Allah SWT. Kita tidak mahu menjadi seperti doktor yang boleh mengenali dan merawat penyakit orang lain, tetapi gagal menangani penyakit yang sama dalam dirinya. Abu al-Aswad al-Du’ali menggambarkan orang seperti itu:

Wahai kau yang sibuk mengajar orang lain!
Sudah tiba masanya kau mengajar diri sendiri.

Mulakan dengan dirimu sendiri dan laranglah dirimu dari kemungkarannya.
Jika dirimu berhenti, maka kau akan menjadi doktor yang sebenar.

Ada orang yang mendengar preskripsimu dan disembuhkan dengan kata-katamu dan mendapati ajaranmu bermanfaat.

Janganlah kau melarang suatu sifat yang keji kemudian melakukan yang sama.
Sungguh memalukan dirimu jika kau berkelakuan sedemikian,’

(Shaykh Muhyiddin ‘Abdul Hamid menyebut ayat-ayat ini dalam ulasannya Qatr al-Nada. Lihat Ibn Hisham 100)

Kedua: Jauhkan Diri Daripada Mereka Yang Tidak Menambah Kebaikan Dirimu Setiap Hari

Dunia ini adalah perjalanan menuju Ilahi. Ia adalah satu perjalanan yang sangat sukar. Allah SWT berfirman dalam al-Quran,

Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).”

(Al-Insyiqaaq 84:6) 

Salah satu cara terbaik untuk membantu kita dalam perjalanan menuju Allah SWT ialah persahabatan yang baik. Nilai sebenar seorang sahabat terletak pada keupayaannya untuk menjadikan kita manusia yang lebih baik. Apabila kita menemui seorang rakan yang menjejaskan kedudukan kita dengan Allah SWT, sudah tiba masanya untuk kita meninggalkan pergaulan dengan orang itu. Nabi SAW memberi amaran terhadap kesan buruk pergaulan.

 “Seseorang itu berada di atas agama temannya. Oleh itu, hendaklah setiap daripada kamu meneliti teman yang disimpan.”

(Tirmidhi no. 2378)

Ketiga: Belajar untuk Memaaf dan Mengampunkan Orang

Keupayaan untuk memaafkan orang lain adalah salah satu sifat terbesar yang boleh dilakukan oleh seseorang. Nabi SAW, diperintahkan dalam Al-Quran untuk memaafkan dalam banyak keadaan. Penekanan yang Allah SWT berikan pada sifat ini dalam komunikasi-Nya dengan Nabi SAW adalah cara untuk menyedarkan kita tentang kepentingan bermaaf-maafan. Allah SWT berfirman:

Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu….

(Ali Imran 3:159)

Firman-Nya lagi:

Maksudnya:Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).” 

(Al-A’raf 7:199)

Intipati pelajaran ini ialah kita tidak boleh gelisah dan keluh kesah dengan caci-maki manusia. Kita tidak seharusnya membuang masa dan tenaga kita yang berharga kerana taksub mencari cara untuk membalas dendam terhadap mereka yang telah menyinggung perasaan kita.

Nabi SAW menasihati ‘Uqbah bin Amir,

“Bergaullah dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, berikan (kebaikan) kepada orang yang mendustakanmu, dan abaikanlah orang yang menzalimimu.”

 (Ahmad, Musnad, no. 17334) 

Mengambil pendekatan hidup yang sedemikian melibatkan nilai positif yang tertinggi. Inilah standard etika Islam diseru untuk kita capai. Kita harus meningkatkan diri dan sentiasa bercita-cita untuk mencapai tahap kesucian dan kesempurnaan manusia yang lebih tinggi.

Kita perlu memahami bahawa inilah salah satu cara terbaik untuk berkuasa. Apabila kita memaafkan kerana Allah, kita tidak akan pernah direndahkan martabat sebagai akibatnya. Sebaliknya, Nabi SAW bersabda,

“Allah pasti menambahkan kemuliaan kepada seorang hamba yang memiliki sifat memaafkan.”

(Muslim, no. 2588)

Bermaaf-maafan juga merupakan salah satu kunci untuk mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam al-Quran,

Maksudnya:Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? .. ”

(Al-Baqarah 24:22)

Ayat ini diturunkan mengenai Abu Bakar. Salah seorang lelaki yang telah memfitnah anak perempuannya, ibu kita ‘Aisha, setelah dia dibawa masuk ke Madinah oleh seorang lelaki bujang setelah terpisah dari kafilah, adalah sepupunya, Mistah. Abu Bakar telah banyak memberi bantuan dan menyokongnya, dan apabila dia mengetahui tentang fitnahnya terhadap ‘Aisha, dia ingin menghentikan sokongannya kepada Mistah. Walau bagaimanapun, beliau dengan senang hati menerima nasihat yang diberikan dalam ayat ini, dan memberikan contoh yang baik kepada kita dengan mematuhi standard tinggi yang disyorkan etika Islam.

Allah SWT mengingatkan kita melalui ayat ini bahawa Dia akan memperlakukan kita sebagaimana kita memperlakukan orang lain. Jika kita berbelas kasihan dan mempunyai kemampuan untuk memaafkan orang lain, beginilah cara kita diperlakukan oleh-Nya. Apakah insentif yang lebih besar yang boleh kita miliki untuk menjadi pemaaf, penyabar, belas kasihan, dan lemah lembut dalam urusan kita (dengan insan lain)?

Sumber: Treaties for the Seekers of Guidance, Al-Muhasibi’s Risala Al-Mustarshidin

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑