Saya dan isteri telah bercerai talak satu dan masih di dalam tempoh iddah. Tetapi telah berlaku satu kesilapan yakni saya dan isteri telah terlanjur dan bersetubuh. Sekarang isteri memberitahu saya dia mengesyaki bahawa dirinya telah hamil. Jikalau benar isteri saya hamil apakah yang perlu kami lakukan?
Penjelasan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Apabila berlaku penceraian, setiap pasangan perlu mengambil berat soal hak dan tanggungjawab serta perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan agar tidak terjerumus melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Syarak. Antara perkara penting yang wajib diketahui ialah berkaitan hukum talak dan rujuk berserta prosedurnya mengikut ketetapan daripada Mahkamah Syariah.
Dalam perkahwinan yang sah, seorang suami mempunyai hak untuk menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Penceraian pertama dan kedua masih boleh dirujuk selagi mana masih dalam tempoh ʿiddah.
Sekiranya tempoh ʿiddah sudah tamat, suami tidak boleh rujuk isterinya kembali melainkan perlu mengulang semula akad nikah berserta maharnya sekali seperti perkahwinan pertama kali. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/180]
Dari segi hukum syarak, sejurus sahaja talak diucapkan maka talak satu akan jatuh serta-merta tidak kira sama ada lafaz talak diucapkan di mahkamah ataupun luar mahkamah. Kesannya, tidak boleh bagi bekas suami untuk tinggal bersama isteri yang telah diceraikan di dalam satu rumah apatah lagi melakukan persetubuhan, sama ada talak rajʿīe1 atau talak bain2.
Ini kerana isteri yang sudah ditalakkan adalah wanita ʿajnabi (asing) kepada bekas suami. Inilah pendapat muktamad seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam Raudhah al-Ṭālibīn (8/418).
Hukum Menyetubuhi Isteri Semasa Dalam Iddah Raj’ie
Menurut mazhab Syafie; rujuk mesti dengan ucapan rujuk dari suami. Tidak sah niat rujuk tanpa ucapan rujuk. Begitu juga tidak sah rujuk dengan perbuatan (iaitu menyetubuhi isteri atau sebagainya). Jadi menurut mazhab Syafie; berjimak ketika dalam ‘iddah tidak dikira sebagai rujuk dan perbuatan tersebut adalah dosa besar kerana melakukan jimak setelah penceraian dan belum merujuk. Ini adalah kerana, akad nikah mengharuskan istimta’ (berseronok dengan isteri), sedang penceraian (talak) pula membatalkannya, kerana itu diharamkan beristimta’ dengan isteri yang diceraikan semasa dalam iddahnya sebelum dia dirujuk (Al-Talaq, Dr. Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 75).
Imam Ibnu Hajar al-Haitami menyebutkan; “Antara dosa besar ialah menyetubuhi isteri yang ditalak raj’ie sebelum merujuknya bagi orang yang meyakini keharamannya” (Al-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair, al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami, 2/52, dosa besar ke 284).
Turut diharamkan ialah melihat auratnya, menyentuhnya dan berdua-duaan dengannya. Oleh itu, suami hendaklah keluar dari rumah apabila dia menceraikan isterinya kecualilah jika rumahnya besar dan ada mahram isterinya yang tinggal serumah dan mahram itu pula disegani oleh suami, maka haruslah suami tetap tinggal di dalam rumah yang sama.
Manakala menurut mazhab Hanafi, rujuk boleh dengan ucapan dan boleh juga dengan perbuatan (iaitu menyetubuhi, mencium, menyentuh, melihat dan sebagainya). Apabila seorang suami menyetubuhi isteri yang dicerainya dengan talak raj’ie dan masih dalam iddahnya, perbuatannya itu dikira rujuk sama ada ia ada berniat rujuk atau tidak. Begitu juga dengan mencium, menyentuh dan melihat farajnya dengan syahwat (yakni dikira sebagai rujuk). Namun begitu melakukan perbuatan-perbuatan tersebut tanpa niat rujuk hukumnya adalah makruh tanzih (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/355).
Oleh yang demikian, menurut mazhab Hanafi; ketika dalam iddah suami masih boleh beristimta’ (berseronok) dengan isteri yang dicerainya iaitu cerai talak raj’ie atau berduaan dengannya (tinggal serumah) atau menyentuhnya atau melihat auratnya, kerana selagi belum tamat iddah dia masih dalam hukum isteri, di mana suami berkuasa merujuknya pada bila-bila masa tanpa perlu persetujuannya. Dengan berlaku perbuatan-perbuatan tersebut (iaitu dengan disertai syahwat) terhasillah rujuk secara langsung.
Kesimpulan
Kesimpulannya, berdasarkan perbahasan para ulama dalam isu melakukan persetubuhan semasa dalam iddah, kami berpendapat seperti berikut:
- Berdasarkan pendapat muktamad mazhab Syafie, lelaki hendaklah keluar daripada kediaman pelaminnya untuk membiarkan bekas isterinya beriddah dan tidak boleh tinggal bersamanya kerana itu adalah bentuk mudarat ke atas dirinya. Pengecualian diberikan sekiranya terdapat mahram yang boleh menghalang daripada berlaku khalwat atau masing-masing tinggal di bilik atau tingkat berasingan, maka hukumnya makruh.
- Haram bagi suami untuk bersetubuh dengan isterinya sepanjang tempoh penceraian walaupun belum mendapat pengesahan mahkamah. Kuasa mahkamah syariah berperanan sebagai institusi kehakiman dalam melaksanakan dan memelihara hukum syarak sedia ada demi memelihara kebaikan dan kepentingan anggota masyarakat. Persetubuhan yang terjadi sebelum proses rujuk boleh dianggap sebagai zina. Suami dan isteri yang terlibat wajib bertaubat kepada Allah atas keterlanjuran yang dilakukan.
- Berdasarkan maklumat daripada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), pihak penguasa JHEAIPP memiliki kuasa untuk menangkap pasangan yang baru bercerai sekiranya didapati mereka berkhalwat kerana khalwat antara dua orang ajnabi adalah kesalahan syariah di Negeri Pulau Pinang.
- Memandangkan hal ini adalah khilaf yang muktabar sejak zaman salaf, maka kami tidak mengingkari sekiranya terdapat pasangan yang berpegang kepada pendapat ini. Khususnya menurut pendapat mazhab Hanafi yang membenarkan beristimta’ (berseronok) dengan isteri yang dicerainya iaitu cerai talak raj’ie atau berduaan dengannya (tinggal serumah) atau menyentuhnya atau melihat auratnya, kerana selagi belum tamat iddah dia masih dalam hukum isteri, di mana suami berkuasa merujuknya pada bila-bila masa tanpa perlu persetujuannya. Dengan berlaku perbuatan-perbuatan tersebut (iaitu dengan disertai syahwat) terhasillah rujuk secara langsung.
- Namun begitu, pengamalan pendapat itu akan menimbulkan fitnah dalam masyarakat di Negeri Pulau Pinang yang bermazhab Syafie. Hendaklah dijaga adab berbeza pandangan dengan tidak menimbulkan keresahan pada peringkat orang awam. Kaedah fiqh menyebut:
حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ
Maksudnya: Keputusan hakim itu meleraikan khilaf
Justeru, hendaklah pasangan yang bercerai lagi menetap di Malaysia, khususnya di Negeri Pulau Pinang, untuk mengelakkan khalwat dan melakukan persetubuhan semasa dalam proses iddah.
Status Anak Yang Dikandung Setelah Berlaku Persetubuhan Dalam Tempoh Iddah Sebelum Dirujuk
Berdasarkan pandangan mazhab Syafie, pasangan terbabit adalah dinasihatkan supaya segera merujuk semula pernikahan tersebut. Jika tidak anak tersebut akan tergolong dalam hukum watie syubhah, iaitu anak yang dilahirkan akibat persetubuhan yang berlaku bukan dalam perkahwinan yang sah akibat keraguan tertentu. Pada asalnya anak yang dilahirkan bukan daripada perkahwinan yang sah, seperti zina, tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya. Ini berdasarkan hadis Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:
الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ
Maksudnya: “(Nasab) seorang anak itu berdasarkan firasy (nikah dan perhambaan), dan bagi penzina itu hukuman rejam (atau kehinaan; tidak boleh menasabkan).”
(Riwayat al-Bukhari no. 6818)
Namun para ulama menyatakan bahawa jika seorang anak itu lahir daripada persetubuhan yang syubhah, ia dikira sama seperti hukum nikah fasid, yakni dinasabkan kepada bapa biologinya.
Apabila nasab sebagai anak terhadap seseorang itu sabit, maka begitu jugalah hak perwarisan juga sabit bersama. Seksyen 114, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, memperuntukkan tentang kesan persetubuhan syubhah iaitu tentang kesahtarafan anak:
“Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.”
Kesimpulannya, bagi menyelesaikan isu ini pasangan terbabit dinasihatkan untuk segera merujuk ke Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi menentu sahkan “rujuk” terhadap nikah terdahulu melalui persetubuhan yang telah berlaku. Keputusan hakim terhadap kes tersebut secara tidak langsung akan dapat menyelesaikan juga status anak yang dikandung.
Wallahu a’lam
Nota Kaki:
- Talak rajie bererti talak yang memungkinkan bekas suami untuk merujuk bekas isterinya tanpa memerlukan akad yang baharu seperti isteri yang ditalak satu atau dua. Rujuk al-Mutamad (4/150) ↩︎
- Talak ba’in bererti talak yang tidak memungkinkan bekas suami untuk merujuk bekas isterinya tanpa akad nikah yang baharu, sama ada kerana sudah tamat tempoh iddahnya, atau kerana sudah ditalak tiga. Rujuk Ibid. ↩︎
Sumber: Jabatan Mufti Pulau Pinang
Makluman: Bagi permasalahan nikah, kahwin, cerai, ‘iddah, anak dan sebagainya, dinasihatkan pembaca merujuk pejabat agama negeri masing-masing untuk memperoleh jawapan tuntas. Terima kasih.
Leave a comment