Mencuba Manisan Eropah Timur di Torte by Linda

Oleh Mymuslimin.com

Untuk ke LRT BK5 melalui jejantas, pasti bertembung dengan kafe ini

Jarang sekali kita menjumpai manisan dari negara-negara Eropah Timur di negara ini. Di Torte by Linda, pemiliknya menyediakan pelbagai kek dan manisan Rusia yang berasaskan madu untuk dicuba dan dinikmati orang Malaysia. Setelah mengembara di bumi Kazakhstan, Uzbekistan dan Ukraine, Linda, pemilik kafe ini begitu terpesona dengan tradisi dan rasa unik kek dan manisan di benua Eropah ini dan sejurus pulang, beliau membuka kafe Torte by Linda yang telah beroperasi sekitar 8 tahun di Selangor.

Kafe comel, bersuasana selesa

Kafe comel, halal dan selesa ini menyediakan kek dan manisan dari Eropah Timur yang diolah rasanya untuk selera Malaysia. Torte by Linda bertempat di tingkat 1, Bandar Kinrara Welcome Center, di Bandar Kinrara 5. Untuk mereka yang menaiki LRT, anda boleh turun di LRT Kinrara 5. 

Torte Classic Medovik

Torte sebenarnya ialah sejenis kek lapis. Lapisan-lapisan torte boleh diisi dengan berjenis krim, jem, dan sebagainya. Di Torte by Linda, kek yang digemari ramai ialah Torte Classic Medovik atau Kek Madu Rusia. Teksturnya ringan, rasanya lemak berkrim, mempunyai aroma vanila. Torte Classic Medovik ini sangat lazat dinikmati dengan secawan teh di petang hari. Ada juga torte yang dilapis dengan coklat dan krim madu, juga ada torte Biscoff, untuk kombinasi rasa yang berlainan. Bagi mereka yang menggemari buah beri, boleh mencuba Summer Berries Medovik. 

Banyak pilihan Medovik dan Muravenik untuk pelanggan

Selain menawarkan banyak jenis torte, Torte by Linda juga ada Muravenik atau terjemahannya kek busut (sarang semut). Muravenik di sini dibulat-bulatkan supaya senang untuk dimakan. Rasanya kenyal dan rangup seperti cornflakes yang dipadatkan tetapi bahannya bukanlah emping jagung.

Muravenik dan kek buah, dua-duanya lazat, Alhamdulillah.

Satu lagi kek yang kami cuba di sini ialah kek buah. Rupanya kelihatan sama seperti kek buah yang dilihat di pasaran tetapi kek buah di sini lebih padat dan lebih lazat, penuh buah dan tidak pecah-pecah ketika dimakan. Dipadan dengan kopi/teh panas, nyaman sekali menikmati manisan di sini. 

Produk-produk madu dan berasaskan madu yang ditawarkan di Torte by Linda

Selain kek dan manisan, Torte by Linda juga menawarkan madu di dalam botol dan produk-produk berasaskan madu seperti sabun, scrub muka, teh, marshmallow dan lain-lain lagi. 

Torte by Linda
Bandar Kinrara Welcome Center
Level 1 8, Jalan BK 5a/1, Bandar Kinrara, 47180 Puchong, Selangor
Buka 1130 pagi – 630 petang setiap hari

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑