Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Khulu’ dari segi bahasa bermaksud menanggal, mencabut atau melepaskan. Manakala, jumhur ulama’ mendefinisikan khulu’ sebagai perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’. [Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jil 19, hlm. 234]
Firman Allah SWT:
فَإِنۡ خِفۡتُمۡ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ ٱللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡهِمَا فِيمَا ٱفۡتَدَتۡ بِهِۦۗ
Maksudnya: “Jika kamu khuatir bahawa keduanya (suami isteri) tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Daripada Ibn Abbas r.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ امْرَأَةَ، ثَابِتِ بْنِ قَيْسٍ أَتَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ ثَابِتُ بْنُ قَيْسٍ مَا أَعْتُبُ عَلَيْهِ فِي خُلُقٍ وَلاَ دِينٍ، وَلَكِنِّي أَكْرَهُ الْكُفْرَ فِي الإِسْلاَمِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” أَتَرُدِّينَ عَلَيْهِ حَدِيقَتَهُ ”. قَالَتْ نَعَمْ. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” اقْبَلِ الْحَدِيقَةَ وَطَلِّقْهَا تَطْلِيقَةً ”.
Maksudnya: “Isteri Thabit bin Qais menemui Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, aku tidak pernah mencela Thabit bin Qais dari segi akhlak dan agamanya, tetapi sebagai seorang Islam, aku tidak suka mengingkari hak-hak suami. Rasulullah SAW bersabda: Bolehkah engkau memulangkan kebunnya?, dia menjawab: Ya. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada Thabit bin Qais: Engaku terimalah kebun itu dan ceraikanlah dia talak satu.”
(Riwayat al-Bukhari (5273))
Perbezaan antara talak biasa dengan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya dengan memberinya suatu kadar mas kahwin yang dipersetujui bersama. [Lihat al-Fiqh al-Manhaji, jil 4, hlm. 127]
Larangan Ke atas Isteri Meminta Cerai Tanpa Sebab
Sabda Rasulullah SAW:
أيُّما امرأةٍ سألت زوجَها طلاقاً فِي غَير مَا بَأْسٍ؛ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada alasan (sebab-sebab yang munasabah oleh syara’), maka haram ke atasnya (isteri) bau syurga.”
(Riwayat al-Tarmidzi 1187)
Hadis ini menjadi dalil bahawa seorang wanita dilarang untuk meminta cerai atau melakukan ugutan cerai kecuali jika ada alasan yang dibenarkan.
Al-Hafiz al-Mubarakfuri berkata bahawa kenikmatan yang pertama kali dirasakan oleh penduduk syurga ialah mendapatkan bau haruman syurga. Keadaan ini akan diperolehi oleh orang-orang yang berbuat baik sewaktu di dunia. Sedangkan yang disebutkan dalam hadis adalah wanita tersebut tidak mendapatkan bauan syurga itu. Kenyataan tersebut menunjukkan ancaman terhadap isteri yang memaksa minta diceraikan tanpa alasan. [Lihat Tuhfat al-Ahwazi, jil 4, hlm. 381]
Situasi Diharuskan Bagi Isteri Meminta Cerai
Hukum asal bagi penceraian (talak) adalah dibolehkan dalam Islam. Akan tetapi, ia bukanlah suatu perkara yang disukai malah dibenci oleh Allah SAW. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R. Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أبغض الحلال إلى الله تعالى الطلاق
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
(Riwayat Abu Daud: 2178)
Namun begitu, syarak mengharuskan bagi isteri meminta cerai apabila berlaku sesuatu keadaan yang tidak dapat dielak yang boleh menyebabkan berlakunya mudarat kepada isteri seperti:
- Kegagalan suami untuk menyediakan hak isteri seperti nafkah, pergaulan yang baik, dan tempat tinggal yang stabil. Isteri yang tidak diberikan hak yang disebutkan itu boleh memilih sama ada bersabar atau memohon perpisahan. [Lihat al-Mughni, jil 8, hlm. 204]
- Suami itu menghina isterinya dengan memukulnya tanpa sebab yang sah, melaknatnya dan memaki hamunnya dengan bahasa kesat. Ini termasuklah memboikotnya tanpa alasan syarak, memukulnya, dan memaki seperti mengatakan “engkau anak anjing”, “engkau anak laknat”, “engkau anak kafir” dan sebagainya. [Lihat Hasyiah al-Dusuki ‘ala Sharh al-Kabir, jil 2, hlm. 345]
- Suami suka bermusafir lama seperti 6 bulan dan isteri itu takut dirinya tidak dapat mengawal fitnah, yakni keperluan syahwatnya. Imam Ahmad pernah ditanya berapa lama seorang suami boleh meninggalkan isterinya kerana musafir? Jawabnya: 6 bulan. [Lihat al-Mughni, jil 7, hlm. 305]
- Suami dipenjarakan dalam suatu tempoh masa yang lama dan isterinya menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. [Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jil 29, hlm. 67]
- Suami berpenyakit mandul, tiada daya seksual, atau sakit berbahaya dan seumpama dengannya.
- Suami berperangai fasiq lagi buruk dengan dosa-dosa besar seperti melakukan perkara syirik, tidak solat dan berpuasa dan isteri telah bersabar lama setelah menasihatinya. Sheikh Ibn Uthaimin pernah ditanya tentang isteri meminta cerai dari suami penagih dadah kerana takut pengaruh buruknya kepada keluarga. Sheikh menjawab menuntut cerai itu dibolehkan.
- Timbul kebencian melampau dalam hati isteri walaupun tidak diketahui puncanya. Berkata Sheikh Jibrin: “Keadaan seperti ini sunat bagi suami itu menceraikannya jika dia melihat daripada keadaan kegagalan si isteri itu menahan diri, bersabar yang mana membawa kepada cerai khulu’ kerana permintaan cerai itu berpunca daripada kegelisahan dalam hatinya dan tiada dosa atas demikian itu.”
- Si suami menghalang isterinya daripada berjumpa keluarganya khususnya ibu bapanya sendiri.
Dr. Muhammad al-Zuhaili di dalam kitabnya menyebutkan bahawa talak itu sunat dalam tiga keadaan yakni; sekiranya isteri tidak dapat komited dalam melayan suaminya sehingga buruk akhlaknya, atau sekiranya suami cuai dalam memberikan hak kepada isterinya kerana benci dan selain itu, atau sekiranya isteri itu gagal menjaga kehormatan dirinya daripada lelaki lain (curang dan sebagainya). [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jil 4, hlm. 139]
Hak Jagaan Anak Setelah Bercerai
Islam telah menetapkan bahawa ibu kepada anak-anak tersebut adalah pihak yang paling layak untuk mendapat hak jagaan anak atau hadhanah setelah terbubarnya sebuah perkahwinan, selagi mana ibu tersebut belum berkahwin dengan suaminya yang baru. Hal ini adalah berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي
Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, puting susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah”.
(Riwayat Abu Daud 2276)
Namun, hak seseorang perempuan atau ibu terhadap hadhanah akan hilang sekiranya:
- Perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan,
- Perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka,
- Perempuan itu menukar permastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu,
- Perempuan itu murtad, atau
- Perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu. [Lihat Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, Bahagian VII-Penjagaan (Hadhanah atau Penjagaan Kanak-Kanak), Seksyen 84. Bagaimana Hak Penjagaan Hilang]
Keputusan ini akan diputuskan oleh pihak Mahkamah Syariah dan sekiranya si ibu didapati oleh pihak mahkamah hilang kelayakan untuk menjaga anak tersebut, maka ia akan berpindah kepada salah seorang yang berikut:
- Nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya,
- Bapa,
- Nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya,
- Kakak atau adik perempuan seibu sebapa,
- Kakak atau adik perempuan seibu,
- Kakak atau adik perempuan sebapa,
- Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa,
- Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu,
- Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa,
- Emak saudara sebelah ibu,
- Emak saudara sebelah bapa,
- Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari
Dengan syarat jagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu. [Lihat Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004, Bahagian VII- Penjagaan (Hadhanah atau Penjagaan Kanak-Kanak), Seksyen 82. Orang yang Berhak Menjaga Kanak-Kanak]
Tuntutan Harta Sepencarian
Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat ditentukan oleh hukum Syarak’. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di mahkamah yang berbidang kuasa. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. Tuntutan Harta Sepencarian ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَتَمَنَّوۡاْ مَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بِهِۦ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٞ مِّمَّا ٱكۡتَسَبُواْۖ وَلِلنِّسَآءِ نَصِيبٞ مِّمَّا ٱكۡتَسَبۡنَۚ وَسَۡٔلُواْ ٱللَّهَ مِن فَضۡلِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٗا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurniaan yang telah dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. Kerana bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan bagi perempuan (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan. Dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
(Surah al-Nisa’: 32)
Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas penceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian.
Bagi tuntutan selepas penceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 misalnya memperuntukkan bahawa Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz talak atau perintah penceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidang kuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana penceraian berlaku dan didaftarkan.
Kesimpulannya, berbalik kepada situasi yang diajukan; tidak ada hati pada suami, hal demikian masih boleh dibincangkan bersama dengan kesabaran dan hikmah bijaksana. Tidak sepatutnya penceraian terus dijadikan solusi untuk menyelesaikan masalah. Ini kerana Iblis bersukacita dengan kejayaan tentera-tenteranya yang berjaya mencerai beraikan suami isteri. Daripada Jabir ra bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ، ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ، فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً، يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا، فَيَقُولُ: مَا صَنَعْتَ شَيْئًا، قَالَ ثُمَّ يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ، قَالَ: فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ: نِعْمَ أَنْتَ
Maksudnya: Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air lalu menyeru sekalian tenteranya. Maka di bawahnya ialah tentera yang paling besar pengaruh fitnahnya. Datang seorang daripada mereka menghadap Iblis, seraya berkata: “Aku telah berbuat sekian-sekian.” Iblis menjawab: “Kamu tidak buat apa pun.” Kemudian datang seorang lagi tenteranya lalu berkata: “Aku tidak akan tinggalkan dia (mangsaku) sehingga aku berjaya memisahkan antara dia dan isterinya. Iblis membalas: “Kamu hebat”.
(Riwayat Muslim 2813)
Justeru, gunalah solusi yang lebih baik dalam memulihkan hubungan suami isteri. Malah kami sarankan agar isu ini dirujuk terlebih dahulu kepada Pejabat Agama yang terdekat untuk khidmat nasihat dan kaunseling. Adapun sekiranya segala usaha yang telah dilakukan tidak juga berhasil dan persefahaman tidak lagi dapat dicapai, serta isteri sudah tidak komited melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri terhadap si suami, maka dibolehkan untuk menjadikan penceraian itu sebagai solusi dan disyorkan untuk dirujuk kepada Mahkamah Syariah.
Untuk persoalan berkaitan hak penjagaan anak-anak setelah penceraian, ia memerlukan kepada keputusan Mahkamah Syariah. Setiap yang kami nukilkan di atas adalah berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004. Ingin kami nyatakan di sini juga bahawa walaupun sekiranya diberikan hak jagaan anak kepada si isteri (ibu), ia tidaklah menafikan hak si suami untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah kepada anak-anak tersebut. Setiap perintah mahkamah juga perlulah dihormati dan sebagai seorang mukmin yang beriman perlulah menerima setiap apa yang berlaku dengan baik dan redha dengan ketentuan-Nya.
Manakala, bagi persoalan mengenai tuntutan harta sepencarian, isteri mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian setelah bercerai tidak kira melalui apa cara penceraian sekalipun.
Tuntasnya, kami juga menegaskan sekali lagi bahawa talak merupakan jalan yang terakhir dipilih dan bukanlah jalan keluar yang terawal. Justeru, nasihat kami di sini ialah, setiap perkara yang berlaku itu perlulah dibawa berbincang dan diselesaikan terlebih dahulu sesama suami isteri demi menyelesaikan konflik dan permasalahan dalam rumah tangga.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya.
Wallahua’lam.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Makluman: Bagi permasalahan nikah, kahwin, cerai, ‘iddah, anak dan sebagainya, dinasihatkan pembaca merujuk pejabat agama negeri masing-masing untuk memperoleh jawapan tuntas. Terima kasih.
Leave a comment