Apakah hukum suami isteri yang tinggal berjauhan bagi menunaikan tuntutan nafkah batin dibolehkan membuat panggilan video seks? Adakah dibenarkan?
Penjelasan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Secara umumnya, nafkah terbahagi kepada dua iaitu nafkah zahir dan nafkah batin. Nafkah zahir meliputi keperluan asasi manusia seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Nafkah ini wajib dipenuhi oleh pihak suami mengikut kadar kemampuan suami berasaskan kepada panduan syariat. Kenyataan ini berdasarkan dalil daripada al-Quran dalam surah al-Talak ayat 7:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya
(Surah al-Talak 65:7)
Begitu juga terdapat hadis Nabi SAW yang memberi panduan kepada perkara tersebut. Hadis yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, beliau telah bertanya kepada Nabi SAW :
يا رسولَ اللَّهِ، ما حقُّ زَوجةِ أحدِنا علَيهِ؟، قالَ: أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ، أوِ اكتسَبتَ، ولا تضربِ الوَجهَ، ولا تُقَبِّح، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Beliau menjawab, “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau memukul pada wajahnya (jika terpaksa), janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.
(Riwayat Abu Daud no. 2142 dan Ibn Majah no. 1850)
Manakala persoalan nafkah batin pula adalah merujuk kepada cara muamalah yang baik antara suami isteri, menjaga perasaan serta maruah isterinya. Begitu juga kebersamaan hubungan kelamin yang baik antara suami isteri tersebut dalam memenuhi keperluan masing-masing dengan cara yang sempurna dan tidak mementingkan dirinya sendiri sahaja. Suami wajib menunaikan nafkah batin terhadap isterinya selagi mampu.
Ini berdasarkan kepada dalil dalam al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 187:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.
(Surah al-Baqarah 2:187)
Dalam Kitab Tafsir Ibn Katsir, Ibn Abbas menyatakan maksud yang dikehendaki dari ayat di atas “mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka”. Manakala dalam tafsir at-Thabari mengatakan bahawa maksud ayat ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu iaitu “bersetubuh”. (Lihat: Tafsir Ibn Katsir, Jld.3, hlm.490)
Hadis daripada Abdullah Ibn Mas’ud RA daripada Nabi SAW telah berkata:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Maksudnya: “Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya ia kahwin, kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu.”
(Riwayat al-Bukhari 5065)
Dalam kitab Ihkam Ahkam Sharah Umdah Ahkam karangan Ibn Daqiq i’d menafsirkan perkataan (الْبَاءَةَ) al-baah itu membawa maksud nikah yang bererti berkemampuan untuk memberi mahar dan nafakah. (Lihat; Kitab Ihkam Ahkam Sharah Umdah Ahkam, jld. 2, hlm. 552)
Seterusnya berdasarkan kepada hadis Abdullah Ibn Amru, Nabi SAW telah bersabda:
إن لربك عليك حقا، وإن لبدنك عليك حقا، وإن لأهلك عليك حقا، وإن لزورك عليك حقا، فأعط كل ذي حق حقه
Maksudnya: “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk badan kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak, dan untuk isteri kamu terdapatnya hak dan berikanlah setiap yang hak itu haknya.”
(Riwayat al-Bukhari no. 6139)
Berdasarkan kepada dalil-dalil di atas jelas menunjukkan bahawa pihak suami wajib menunaikan nafkah zahir mahupun batin terhadap tanggungannya semampu mungkin. Berdosa besar kepada sesiapa yang tidak menunaikan hak-hak yang telah diamanahkan kepada mereka seperti si suami yang tidak menunaikan nafkah batin terhadap isterinya.
Dalam memenuhi tanggungjawab ini, bagi pasangan yang sering tinggal berjauhan atas urusan kerja seumpamanya, bolehkan mereka menghilangkan keinginan seks dan stress masing-masing secara online sahaja?
Dalam hal ini kami berpandangan bahawa perbuatan tersebut adalah makruh dan tidak digalakkan untuk dilakukan. Antara sebab perkara ini tidak digalakkan adalah kerana;
Pertama, perbuatan tersebut akan memberi kesan kepada kesihatan mental. Ini bermakna, kesihatan mental seseorang banyak bergantung kepada kelestarian seksualnya. Begitu juga di sebaliknya.
Kedua, perbuatan melihat kepada pasangan (yang halal) sambil masing-masing menimbulkan keghairahan kemudian diikuti dengan perbuatan onani pula mempunyai hukumnya yang tersendiri.
Hukum Onani
Hukum onani bagi mereka yang tidak mampu bernikah dan takut terjatuh ke dalam maksiat adalah harus dan tidak berdosa. Bahkan kaedah fiqhiyah juga menyebut:
الضرورات تبيح المحظورات
Maksudnya: “Kemudaratan itu membolehkan apa yang terlarang”
(Lihat; Dr Abd Karim Zaidan, Qawaid Fiqhiyah, hlm. 67).
Ini merupakan pendapat yang diriwayatkan daripada Imam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim serta pendapat daripada Ibn Aqil. Bahkan pendapat ini diperkuatkan oleh Imam Ahmad dengan riwayat bahawa para sahabat terdahulu beronani dalam perang dan ketika musafir sebagai keharusan melakukan onani apabila terdesak dan perlu. (Lihat: Al-Bada’I Wal Fawa’id, jld. 2, hlm. 870).
Adapun apabila melakukan onani itu hanya kerana mencari keseronokan dan berhibur dengannya, maka hukumnya adalah haram dan ditegah. Ia termasuk dalam perbuatan yang keji dan kotor serta memudaratkan akal serta jiwa sehingga menjadikan dirinya dikuasai oleh syahwat dan dibimbangi akan terjebak kepada perzinaan.
Namun apabila syahwat itu terlalu mendesak dan menggoda, maka tidaklah mengapa beronani dengan tangan atau apa jua alatan asalkan sekadar mencukupi untuk memuaskan syahwat demi mencegah zina.
Walaubagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan dalam beronani iaitu :
a) Hukum onani akan menjadi haram apabila seorang lelaki itu menggunakan gambar lucah, atau bayangan di otaknya akan perkara kotor atau berkhayal wanita kerana ini bukan lagi beronani demi mencegah zina, sebaliknya ianya sudah bertujuan mencari kepuasan dan berseronok dan perbuatan seperti itu diharamkan. Oleh yang demikian tidak digalakkan memuaskan nafsu secara online walaupun dengan pasangan yang halal, sebab ia akan menimbulkan ketagihan dan kemungkinan akan terjebak melakukan perkara yang lebih jauh lagi, sehingga membawa kepada perkara yang diharamkan oleh syarak. Perlu diingat, tidak boleh berseronok dengan jalan atau cara yang haram.
b) Adapun sebaliknya, mereka yang terdesak cukup sahaja beronani tanpa perlu bayangan dan khayalan atau apa-apa modal yang halal atau haram kerana niatnya sekadar untuk mengurangkan tekanan seksual dan ini dibolehkan.
Begitu juga wanita yang tidak mampu menahan desakan batin maka tidak mengapa mereka beronani dengan menggunakan tangan atau apa alatan yang tidak merbahaya asalkan dibuat setelah terdesak bukan dengan sengaja atau berniat mencari keseronokan.
Firman Allah SWT:
فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُمۡ
Maksudnya: “Dan bertakwalah kamu kepada Allah semampu kamu.”
(Surah al-Taghabun 64:16)
Juga diharamkan berkhayal kotor dan menonton filem kotor kerana Islam mengharamkan perkara demikian. Sesungguhnya kelonggaran dibolehkan onani ini hanya apabila terdesak dan demi mencegah zina.
Kesimpulan
Dibolehkan apabila terdesak dan perlu untuk menurunkan tekanan syahwat dengan cara beronani, namun begitu tidak digalakkan mengghairahkannya melalui online, videocall dan sebagainya. Adalah dianjurkan supaya pasangan tersebut berusaha menjaga syahwat mereka dengan berpuasa serta berusaha menghindarkan diri daripada membayangkan kelazatan berjimak bersama pasangan.
Oleh yang demikian, hendaklah mereka berikhtiar untuk dapat berkumpul semula dan tidak tinggal berjauhan supaya tercapai matlamat perkahwinan yang telah dibina dengan ikatan yang diredhai oleh Allah SWT.
Ingatlah pesanan Allah SWT ini dan jadikanlah ia sebagai motivasi. Firman Allah SWT;
وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ ٤٠ فَإِنَّ ٱلۡجَنَّةَ هِيَ ٱلۡمَأۡوَىٰ ٤١
Maksudnya: “Adapun orang yang takut kepada kebesaran tuhannya dan menahan diri daripada hawa nafsunya maka syurgalah tempatnya.”
(Surah Al-Nazi’at 79:40-41)
Wallahu’aklam.
Sumber: Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment